Melihatkan aksinya yang bersahaja dan personalitinya yang gila-gila sudah pasti membuatkan kita senang berdampingan dengan wanita berusia 37 tahun ini.
Biarpun sudah 10 tahun melibatkan diri dalam bidang seni namun pelakon, pengacara dan penyampai radio Suria FM ini masih rancak menerima tawaran seni.
Menyelongkar rahsia kejayaannya, Sharifah Shahirah berkata, kebahagiaan rumah tangga menjadi tonggak dalam setiap kejayaan yang dikecapinya. Malah, Shahirah yang lebih senang digelar Shiera ini bersyukur dengan apa yang dimilikinya kini.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana dikurniakan keluarga yang bahagia, walaupun sibuk dengan karier tetapi saya akan cuba meluangkan masa dengan anak-anak dan suami,” ujar ibu kepada Allisya, 13, Airell, 7, Airra, 5, dan Auddra, setahun.
Menurut isteri kepada pelakon Ijoy Azhari ini, sekarang kariernya lebih tertumpu di Suria FM. Bagaimanapun dia tidak menolak pelawaan untuk berlakon mahupun menjadi pengacara sekiranya berkesempatan.
“Biasanya Ijoy akan melihat setiap tawaran kerja yang diterima oleh saya, lagipun saya memerlukan izinnya kerana banyak kerja yang saya terima membuatkan masa bersama keluarga agak terhad.
“Saya pula memang suka mengikuti aktiviti kebajikan, sehinggakan ada kalanya saya terlupa bahawa sekarang saya sudah mempunyai anak yang ramai dan mereka lebih memerlukan saya.
“Jadi dengan bantuan suami, lebih mudah saya melihat apa yang perlu ataupun tidak, lebih-lebih lagi dia mahu saya luangkan lebih masa dengan anak-anak yang sedang membesar,” katanya kepada Zass.
Dikenali sebagai wanita berkerjaya, Shiera tidak menolak bahawa dia perlu pandai membahagikan masa antara karier dan keluarga.
“Kepentingan saya adalah keluarga, jika tawaran kerja yang diterima tidak kena masa dan tempat, saya perlu menolaknya. Malah saya akan membawa mereka bersama sekiranya perlu
"Saya juga sangat bertuah kerana Ijoy sudi meluangkan masa membawa anak-anak bertemunya di tempat kerja sekiranya saya tidak berkesempatan berjumpa anak-anak di rumah.
“Masa yang ada itulah kami akan makan bersama-sama. Inilah antara detik-detik manis kami bersama,” katanya.
Bercerita mengenai suaminya, Shiera berkata, Ijoy mempunyai sifatnya yang tersendiri yang sukar difahami.
“Saya tidak pernah menghalang dia untuk keluar bersama teman-teman lagipun dia adalah seorang bapa yang baik kepada anak-anak kami.
“Sepanjang saya sibuk, dia banyak mengambil alih masa bersama anak-anak, malah Ijoy sangat menekankan kepentingan anak-anak dan mahu saya sentiasa bersama keluarga,” ujarnya yang tidak menafikan gembira kerana Ijoy menjadi suami dan bapa kepada anaknya.
Beralih kisah anak-anaknya, kata Shiera, dia sangat gembira melihat keletah anak-anaknya yang sedang membesar.
"Anak-anak mempunyai perangai yang sama seperti saya. Riuh suasana di rumah jika kami berkumpul, bayangkanlah anak-anak saya juga kuat bercakap seperti saya,” katanya.
Mahu anak ramai
Dikurniakan empat cahaya mata sepanjang perkahwinannya merupakan anugerah yang paling berharga buat Shiera, malah dia tidak menolak untuk menambah bilangan anak sekiranya diizinkan ALLAH SWT.
“Memanglah sekarang pun agak kelam kabut sebab kurang masa dengan anak-anak, kalau ibu-ibu lain mempunyai waktu untuk memasak dan menjaga anak-anak mereka sebaliknya saya jarang berpeluang berbuat demikian.
“Bagaimanapun semua itu tidak pernah menghalang saya untuk menolak anugerah ALLAH, lagipun saya memang suka anak ramai,” katanya.
Namun kata Shiera, dalam masa setahun dua ini, dia dan Ijoy, tidak merancang untuk menambah cahaya mata memandangkan dia terlalu sibuk dengan tugas barunya sebagai penyampai di breakfast @ Suria bersama Halim Othman dan Zizi.
“Memanglah kami merancang tetapi jika dikurniakan anak, kami tidak menolak, bagaimanapun rasanya biarlah anak-anak saya membesar dahulu buat masa sekarang” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: