SAMBUTAN...Ismail memotong pulut kuning sambil diperhatikan Dr Syed Jalaludin (kiri) dan Kamaruzzaman (kanan), semalam.
BANK Kerjasama Rakyat (M) Berhad (Bank Rakyat) yakin mampu mencapai keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM2 bilion bagi tahun kewangan berakhir Disember 2011, sekali gus melebihi sasaran awal.
Pengerusinya, Tan Sri Datuk Dr Syed Jalaludin Syed Salim berkata, keyakinan itu didasari prestasi menggalakkan Bank Rakyat bagi kebanyakan produk dan perkhidmatan ditawarkan.
“Tahun lalu kita mencatat keuntungan sebelum cukai dan zakat berjumlah RM1.72 bilion dan keuntungan tertinggi pernah dicapai sejak penubuhan, jadi bagi tahun ini kami yakin mencapai perolehan sehingga RM2 bilion.
“Kami juga menaruh kepercayaan besar peningkatan pendapatan ini dapat dikekalkan bagi tahun-tahun berikutnya,” katanya ketika berucap pada Majlis Ulang Tahun Bank Rakyat ke-57 dan Sambutan Aidilfitri di Kuala Lumpur, semalam.
Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Mengulas lanjut kenyataan Dr Syed Jalaludin, Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Kamaruzzaman Che Mat berkata, pihaknya meletakkan sasaran awal perolehan pendapatan bank bagi tahun ini adalah sekitar RM1.85 bilion. “Bagaimanapun enam bulan pertama tahun ini kami memperoleh RM980 juta (pendapatan sebelum cukai dan zakat) dan suku ketiga tahun kewangan 2011 pula hampir berakhir,” katanya.
“Sama ada keuntungan penuh mampu melebihi sasaran yang diletakkan, hanya akan diketahui apabila prestasi kewangan suku ketiga diketahui, sekali gus diumumkan Oktober nanti. Buat masa ini kita tak dapat rumus secara spesifik lagi,” katanya.
Kamaruzzaman berkata, segmen yang menjadi penyumbang utama keuntungan adalah pembiayaan runcit yang mencakupi 80 peratus daripada jumlah pendapatan, manakala selebihnya daripada komersial.
Beliau turut memberitahu, jangkaan pertumbuhan pembiayaan keseluruhan bank sebanyak 11 peratus menjelang akhir tahun, dengan setakat Jun lalu sudah mencatat RM47 bilion.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: