![]() |
| Siti Natasya Roslan dengan beraneka corak kain ela yang dijualnya menerusi online. |
SITI Natasya Roslan, 28, mungkin masih baru dalam bidang usahawan tetapi dia dapat melihat sendiri berbaloinya pulangan hasil perniagaan di Internet.
Dia menceburi bidang itu secara sambilan pada tahun lepas namun tidak terlalu mendalam memandangkan komitmen terhadap kerjanya dalam bidang perhubungan awam.
Melihatkan perniagaan kain yang diusahakan di www.ardiniboutique.blogspot.com atau www.facebook.com/ardiniboutique semakin meningkat maju, dia mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan meneruskan perniagaannya.
Menerusi perniagaan online ini Siti Natasya memilih perniagaan kain-kain kapas ela Inggeris yang diimportnya dari Turki, United Kingdom dan Bangkok.
Apa yang membanggakan, pelanggan yang membeli kainnya bukan sahaja akan menerima kain ela, tetapi juga sepasang baju yang telah siap.
Ini kerana selain menawarkan kain ela, Siti Natasya turut memberikan perkhidmatan menjahit pakaian dan mereka fesyen yang pelanggannya kehendaki.
''Sekiranya pelanggan mahu membeli kain ela kosong sahaja kita akan hantarkan, tetapi jika mereka mahu kita siapkan sekali kain berkenaan menjadi baju, kita juga akan lakukan.
''Dalam tempoh dua minggu (bermula dari tarikh pembelian) pelanggan akan diminta memberikan ukuran badan, apa jenis fesyen yang dikehendaki dan seterusnya pihak kami akan jahitkan.
''Sekiranya pelanggan buntu untuk rekaan baju apa yang dikehendaki, saya turut menawarkan pereka fesyen yang akan memberikan cadangan rekaan fesyen yang bersesuaian dengan kehendak pelanggan, setelah siap kami akan hantarkan menerusi pos," jelasnya panjang lebar.
Siti Natasya dibantu oleh kaum keluarganya dalam menjahit pakaian dan pereka fesyennya juga terdiri daripada adik-beradiknya yang mempunyai kepakaran dalam bidang itu.
''Perkhidmatan yang saya tawarkan ini memang berlainan. Pelanggan saya bukan sahaja dapat membeli baju dan kain, malah mereka juga dihantar barangan yang sudah siap, menunggu untuk disarung sahaja dan bergaya dengannya," kata ibu kepada dua cahaya mata ini.
Katanya, pelanggannya berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan, tambahan pula corak yang ditawarkan juga berbeza dan eksklusif. Harganya juga tidak mahal dalam lingkungan RM50 ke RM350 sahaja sepasang.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: