MENANG...Ahmad Salim (tengah) bersama pemenang (dari kiri) Shamsul, Aminudin, Sakinah dan Mardziah.
PELBAGAI ragam dapat dilihat sebaik acara pertandingan masakan dimulakan. Sepanjang satu jam pertandingan berlangsung di gerai Hati sempena Karnival Gegaria Harian Metro 2011 pada 24 September lalu, ia tidak hanya menarik kunjungan peserta perempuan, malah lelaki mengambil peluang menunjukkan kehebatan masing-masing.
Pertandingan dimulakan dengan penerangan daripada Chef Harun Mat Yusof mengenai syarat dan cara menyediakan hidangan. Kesemua peserta perlu menyiapkan menu berdasarkan buku masakan Nyaman, Uniknya Rasa Penambat Selera tulisan Chef Harun yang diterima peserta ketika mendaftar untuk dijadikan panduan.
Setiap peserta diberi dua menu untuk disiapkan iaitu daging goreng petai dan sandwic berulam menggunakan bahan yang kesemuanya disediakan pihak penganjur.
Pelbagai gelagat mencuit hati termasuk batang pisau patah ketika memotong sayur dan daging hangit ketika menggoreng, membuatkan pengunjung tidak kering gusi menyaksikan aksi peserta.
Jika ada peserta yang tenang menyiapkan masakan, ada juga yang kelam-kabut dan bimbang masakan tidak menjadi. Tidak kurang juga yang pantas menyediakan semua bahan masakan tanpa menghiraukan pesaing lain terutama bagi peserta berpengalaman.
Acara digamatkan lagi dengan kehadiran pengacara bekas peserta program Raja Lawak musim kelima, Mohd Nazmi Md Isa yang menceriakan suasana dengan pelbagai lawak spontannya.
Pemenang utama Aminudin Dollah, 36, kelihatan begitu tenang menyiapkan hidangan walaupun diserikan dengan keriuhan serta gelagat peserta dan pengunjung lain.
Menerima wang tunai RM300 dan hamper, Aminudin memasak cukup berhati-hati, hasil pengalaman dikutip sebelum ini. Dia juga bijak menggunakan kemahiran yang dimiliki untuk menarik perhatian juri.
“Memang niat saya datang ke karnival untuk menyertai pertandingan memasak. Namun apabila menu tidak diketahui, memang saya tertanya-tanya dan agak takut untuk menyertainya.
“Tetapi apabila anak-anak memberi sokongan, saya pun teruskan niat untuk bertanding,” katanya yang biasa menolong rakan di gerai untuk memasak selama dua tahun.
Minatnya memasak juga membuatkan dia sering menyelak dan membaca majalah masakan yang dibeli isteri untuk mempelajari hiasan yang sering digunakan.
“Jadi, saya praktikkan apa yang saya baca dan pelajari itu pada pertandingan petang ini,” katanya yang berasa bertuah kerana menyertai pertandingan itu.
Sementara itu, Nur Sakinah Ali Piah, 15, yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM200 dan hamper adalah peserta paling muda pada pertandingan kali ini.
Bakatnya sengaja diuji selain sokongan ibunya yang meminta Nur Sakinah mencuba nasib dalam pertandingan berkenaan.
“Ibu memberi galakan untuk saya menyertai pertandingan memasak pada hari ini kerana saya pernah menjuarai pertandingan memasak peringkat sekolah ketika di Kelantan sebelum berpindah ke Ipoh dua tahun lalu.
“Selain itu, saya memang gemar memasak dan sering membantu ibu di rumah menyediakan hidangan untuk keluarga,” katanya yang turut mempunyai kemahiran memasak nasi ayam dan mi goreng mamak.
Tambahnya, walaupun tidak mengetahui hidangan yang bakal dimasak sebelum pertandingan, asas kemahiran memasak yang dipelajarinya menjadi panduan yang digunakan sepanjang pertandingan berlangsung.
Bagi pemenang ketiga, Shamsul Redzuan, 27, dia menganggap kemenangannya pada petang Sabtu itu sebagai rezeki.
“Ini pertama kali saya menyertai pertandingan memasak dan gementar apabila melihat peserta lain yang lebih yakin, memang saya takut pada mulanya.
“Sebelum ini, saya gemar memasak untuk rakan dan mereka akui hidangan yang saya sediakan sedap sekali gus menyuruh saya untuk menyertai pertandingan memasak.
“Kebetulan pada hari ini ada sesi pertandingan memasak, saya pun terpanggil untuk mencuba,” katanya.
Peserta keempat, Mardziah Raziah Abd Rashid turut mendapat hadiah sagu hati berupa hamper.
Hadiah disampaikan oleh Pengarang Eksekutif (Pengeluaran) Harian Metro, Ahmad Salim Bachok pada pertandingan yang disertai 12 peserta terdiri daripada lima lelaki dan tujuh perempuan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: