SEGALA yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW dalam bentuk wahyu yang terdapat dalam al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad SAW disebut sebagai syariat. Ditinjau daripada segi bahasa, syariat bermaksud jalan atau tempat keluarnya air untuk diminum.
Bangsa Arab cenderung mentakrif syariat sebagai jalan lurus yang harus diikuti. Pada umumnya terdapat dua golongan yang mentakrif syariat. Golongan pertama melihat syariat daripada aspek hukumnya.
Golongan ini mentakrif syariat sebagai hukum dan peraturan yang disyariatkan oleh Allah s.w.t kepada hamba-Nya, baik yang berkaitan dengan akidah, ibadat, akhlak mahupun kemasyarakatan.
Tujuan utama syariat adalah untuk memelihara dan mewujudkan kebaikan dan menghindari kerosakan.
Agama dan syariat
Pada mulanya syariat diertikan sebagai agama, namun kemudian pengertian syariat dikhususkan untuk hukum yang bersifat praktis.
Pengkhususan ini dimaksudkan untuk membezakan agama daripada syariat. Agama itu satu dan berlaku secara universal, sedangkan syariat tidak berlaku secara universal kerana syariat antara umat yang satu dan umat yang lain berbeza sesuai dengan adat dan tradisinya.
Selain itu, syariat bersifat abadi dan menjangkau setiap zaman untuk selama-lamanya hingga hari kiamat. Dalam perkembangan selanjutnya, kata "syariat' digunakan untuk menunjukkan hukum Islam, baik yang ditetapkan langsung oleh al- Quran dan sunnah, mahupun yang diperolehi melalu pemikiran dan ijtihad.
Wahyu Ilahi itu terbahagi kepada dua jenis, iaitu wahyu yang berupa al-Quran dan sunnah. Umat Islam harus tunduk kepada ketentuan al-Quran dan sunnah tersebut.
Cakupan syariat
Syariat Islam mencakup dua aspek penting kehidupan manusia, iaitu aspek hubungan sesama manusia. Ketentuan syariat yang berkaitan dengan hubungan antara manusia dengan Allah SWT disebut sebagai ibadat.
Ibadat mempunyai pengertian yang bukan sahaja terbatas pada solat, puasa, zakat dan haji, tetapi semua kegiatan manusia yang tidak bertentangan dengan hukum Allah SWT dan dilakukan dengan niat untuk mendapatkan keredaan-Nya.
Aspek yang berkaitan dengan hubungan antara sesame manusia disebut sebagai muamalah. Dalam hal muamalah, syariat Islam hanya menyebut prinsip umum yang menjadi landasan dalam penyelesaian pelbagai masalah.
Akidah dan syariat, syariat dan fikah
Akidah dan syariat mempunyai hubungan yang sangat erat. Akidah merupakan dasar yang paling penting dalam Islam.
Dalam al-Quran, akidah dirumuskan dengan kata iman. Syariat dirumuskan dengan kata amal soleh, sesuai dengan firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik." (Q.16:97)
Syariat dan fikah juga tidak dapat dipisahkan, walaupun berbeza. Fikah merupakan pemahaman, pentafsiran dan penjelasan terhadap syariat. Fikah sentiasa berubah seiring dengan perubahan masa dan tempat.
Oleh sebab itu, nama fikah diambil daripada nama mujtahid yang merumuskannya, misalnya Fikah Hanafi. Usaha menanam semula hutan dan memelihara bumi merupakan contoh ibadat yang sesuai dengan syariat.
Hukum syariat
Apabila ditinjau dari aspek hukum, syariat Islam mencakup dua hal. Pertama, hukum yang ditetapkan oleh nas al-Quran dan sunnah.
Hukum ini merupakan dasar syariat secara keseluruhan. Kedua, hukum yang ditetapkan melalui ijtihad oleh ulama fikah. Hukum ini merupakan wilayah kajian ilmu fikah dan bidang yang digarap oleh ulama ahli fikah.
Melalui metod ijtihad, para ulama merumuskan ketentuan yang terperinci menyangkut perilaku manusia, yang boleh dikelompok ke dalam lima kategori hukum: wajib, sunat, haram, makruh, dan mubah.
Seluruh perbuatan manusia sentiasa berada dalam salah satu daripada lima kategori hukum itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: