Pelbagai usaha diambil bagi memastikan kanak-kanak bermasalah termasuk austime memperoleh pendidikan yang dapat memenuhi keperluan mereka.
Biarpun dilahirkan dalam keadaan yang kurang sempurna, golongan ini juga berhak untuk mengecapi kehidupan sempurna seperti kanak-kanak normal lain.
Menyedari tanggungjawab sosial itu, Drypers, jenama lampin pakai buang utama mengambil inisiatif untuk membantu membangunkan Pusat Kreatif Kanak-kanak Autisme bagi tujuan pembangunan minda golongan tersebut.
Usaha tersebut hasil kerjasama jangka panjang dengan Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) yang bertujuan mewujudkan persekitaran yang lebih baik bagi kanak-kanak tersebut.
Pengurus Pemasaran Kanan SCA Hygine Marketing, Evelyn Chan berkata, melalui kerjasama tersebut Drypers akan bertindak mengumpul dana bagi melengkapkan pusat kreatif berkenaan yang dikendalikan oleh NASOM.
Katanya, melalui dana itu nanti pusat tersebut bakal dilengkapi dengan pelbagai aktiviti merangkumi seni dan kraf tangan, muzik, terapi, drama dan sebagainya.
"Dengan cara ini diharap selepas ini kanak-kanak tersebut dalam mengenal pasti minat dan membangunkan kemahiran masing-masing.
"Selain itu pusat ini juga akan menjadi satu lagi platform pendidikan dan komunikasi bagi membolehkan ibu bapa berhubung dan memahami anak-anak mereka," katanya pada majlis mengumumkan kerjasama Drypers dan NASOM di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Hadir sama Pengerusi NASOM, Teh Beng Choon.
Sebagai sebahagian daripada kolaborasi tersebut, pelbagai acara telah dirancang termasuk pungutan derma sempena Bengkel Jelajah Seni dan Kraf Tangan Keluarga pada November ini.
Selain itu turut diadakan ceramah pendidikan bertajuk Penglibatan Keluarga Dalam Kehidupan Kanak-Kanak Autisme, acara Walkathon sempena Hari Autisme Sedunia dan konsert kanak-kanak NASOM.
Kesemua acara tersebut dijadual berlangsung pada tahun depan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: