Thursday, September 29, 2011

Dua pengarah bakal bergelar doktor


(Dari kiri) Dr. Mohamed Mustafa Ishak dan Fadillah Yusof sempat berbual mesra dengan A. Razak Mohaideen dan Ahmad Idham Nadzri selepas majlis penyerahan watikah di Hotel Sri Pacific, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


Dua pengarah prolifik tanah air, Prof. Madya A. Razak Mohaideen dan Ahmad Idham Nadzri merupakan antara barisan sutradara tempatan yang telah banyak menghasilkan karya masing-masing.

Melalui filem yang mereka hasilkan, tidak dinafikan, ia mempunyai mesej-mesej tertentu sama ada yang tersurat mahu pun yang tersirat untuk disampaikan kepada audiens.

Apa yang pasti, filem-filem karya mereka bersifat mendidik dan pada masa yang sama, mampu menghiburkan penggemar filem Melayu.

Jika dilihat secara total, tidak keterlaluan jika dikatakan industri filem tempatan belum mampu untuk berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan pelbagai genre filem asing walau dari negara jiran sekali pun untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

Walaupun berjaya mencatat kutipan box office, Idham menerusi filem Hantu Bonceng dan A. Razak, Raya Tak Jadi, kedua-dua pengarah itu mengakui hakikat bahawa filem Malaysia sebenarnya belum mempunyai elemen daya saing yang boleh diangkat ke peringkat global.

Lantas, bagi mengkaji formula untuk menembusi pasaran luar, A. Razak dan Idham sanggup melonggarkan jadual kerja seni mereka demi memberi tumpuan untuk menghasilkan tesis doktor falsafah (PhD) masing-masing.

Sesuatu yang membanggakan apabila kedua-dua pengarah itu ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat PhD di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah.

A. Razak dengan filem terbarunya, Raya Tak Jadi yang ditayangkan pada 15 September lalu berkata, tujuannya menyambung pengajian bukanlah semata-mata mahu bergelar doktor falsafah.

Sebaliknya beliau berhasrat untuk membantu industri perfileman negara yang pada pandangan mata kasarnya, agak jauh ketinggalan berbanding dengan negara Asia yang lain.

"Selain menambahkan pengetahuan, saya berharap dengan tesis yang bakal saya hasilkan, ia mampu mencari penyelesaian masalah terhadap apa yang sedang dihadapi oleh industri filem tempatan.

Bajet

"Berdasarkan pengalaman dan pengamatan saya sebagai pengarah dan warga industri filem amnya, industri kita bergelut dengan masalah peruntukan atau bajet.

"Kita perlu bajet bukan setakat menerbitkan filem tetapi juga untuk memasarkan produk (filem) ke tahap yang lebih tinggi selain daripada edaran di pasaran domestik," katanya pada satu majlis penerimaan watikah tawaran melanjutkan pelajaran ke peringkat PhD di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Majlis tersebut dihadiri oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Fadillah Yusof dan Naib Canselor UUM, Profesor Dr. Mohamed Mustafa Ishak dan beberapa individu lain yang turut menerima tawaran sama daripada UUM.

A. Razak yang membentangkan kertas kajian bertajuk Perniagaan Filem Malaysia Abad ke-21 menyimpan hasrat mahu melihat filem tempatan mampu bersaing di peringkat global seperti mana filem-filem negara jiran.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: