Thursday, September 29, 2011

Parah dihujani peluru mafia


LOKASI Subramaniam terkena tembakan ala mafia di Jalan Metro Prima, Kepong, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Dua lelaki yang bersenjatakan sepucuk pistol bertindak ala mafia apabila melepaskan 12 das tembakan ke arah seorang penarik kereta menyebabkan mangsa dan dua orang awam cedera dalam kejadian di Jalan Metro Prima, Kepong di sini semalam.

Kejadian yang menggemparkan pada pukul 5.40 petang itu berlaku ketika mangsa yang dikenali sebagai Subramaniam, 43, sedang minum di sebuah kedai di situ. Dia mempunyai dua rekod jenayah lampau.

Tanpa diduga, salah seorang daripada dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha RXZ dan memakai topi keledar berpenutup terus melepaskan 12 das tembakan tanpa henti ke arah mangsa pada jarak kira-kira 20 meter.

Dua tembakan itu mengenai perut dan tangan lelaki itu manakala bakinya tersasar lalu terkena pada dua orang awam. Dua mangsa itu terkena serpihan peluru pada kaki masing-masing.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, kejadian itu bermotifkan dendam berdasarkan cara suspek menyerang mangsa yang seolah-olah ingin membunuh lelaki itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: