Wednesday, September 14, 2011

YSD beri perhatian


MESRA... (Dari kiri) Yatela Zainal Abidin, Caroline Russel, Dr. Benoit Goosses dan Dr. Senthilvel Nathan selepas majlis penyerahan dana RM1.5 juta oleh pihak YSD kepada Pusat Penyelidikan Danau Girang bagi pemuliharaan monyet Proboscis di Sandakan, Sabah, baru-baru ini.


POPULASI monyet Proboscis yang semakin terancam akibat industri pertanian dan penebangan hutan untuk pembalakan mendapat perhatian yang bukan sedikit daripada Yayasan Sime Darby (YSD).

Baru-baru ini, YSD telah menyampaikan dana sebanyak RM1.5 juta kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah bagi projek pemuliharaan haiwan berkenaan yang akan dilakukan oleh Pusat Penyelidikan Danau Girang, Sandakan Sabah dan Universiti Cardiff, United Kingdom.

Dana yang akan menaungi projek pemuliharaan yang akan memakan masa selama tiga tahun itu termasuk aktiviti pemasangan tag satelit, pengumpulan corak, darah dan sebagainya untuk kajian selain usaha-usaha penempatan semula dan menyelamat monyet-monyet berkenaan.

Ini juga merupakan tanggungjawab sosial korporat (SCR) syarikat berkenaan dalam memastikan alam sekitar terus dilindungi dan sentiasa terpelihara.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif YSD, Yatela Zainal Abidin, usaha-usaha pemuliharaan itu adalah satu cabang projek sokongan daripada lima cabang tunggak YSD yang termasuk dalam usaha untuk memulihara alam sekitar dan melindungi ekosistem.

Menerusi cabang itu, yayasan telah memberikan komitmennya untuk menjaga dan memulihara alam sekitar dan ekosistem serta melindungi haiwan dan habitat asal mereka.

Tujuan inisiatif itu terutamanya untuk melindungi haiwan-haiwan yang semakin pupus dan terancam.

''Projek memulihara monyet ini bersesuaian dengan kehendak lima cabang YSD dan merupakan sebahagian daripada 9 Kempen Utama YSD iaitu untuk memulihara lapan lagi haiwan yang semakin pupus di negara ini iaitu burung enggang, gajah Borneo, tembadau, badak Sumatera, harimau bintang clouded, orang utan, beruang matahari dan harimau Malaya.

''Sebelum ini yayasan juga telah memberikan dana -dana tertentu untuk memulihara kelapan-lapan haiwan berkenaan yang dikenal pasti semakin berkurangan populasinya akibat ancaman pelbagai faktor alam sekitar," katanya.

Yatela turut memberitahu, antara lima cabang tunggak utama lain yang dibangunkan YSD dalam usaha membantu komuniti dan alam sekitar selain menjaga dan memulihara alam sekitar dan ekosistem ialah Pembangunan komuniti, pembangunan remaja, sukan dan rekreasi serta kesenian dan kebudayaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: