Thursday, September 29, 2011

TH tingkat khidmat haji


Syed Salleh Syed Abdul Rahman mengucap selamat jalan kepada para petugas Tabung Haji di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya, Selangor, baru-baru ini.


MENGURUS bilangan manusia yang mencecah 28,000 orang bukan mudah. Lebih-lebih lagi bakal-bakal haji yang datang dari seluruh pelosok negara mempunyai pelbagai latar belakang. Seperti kata pepatah Melayu banyak udang banyak garam, banyak orang banyak ragam.

Tetapi melalui pengurusan yang cekap dan perancangan yang rapi, Tabung Haji (TH) yang ditubuhkan pada 1969 bagi menguruskan jemaah haji dari negara ini telah membuktikan keupayaan mereka memastikan kelancaran rakyat Malaysia mengerjakan rukun Islam kelima itu di Tanah Suci.

Bukan itu sahaja, operasi TH di Mekah dan Madinah juga mendapat pengiktirafan kerajaan Arab Saudi. Hingga model pengurusan haji Malaysia dijadikan contoh oleh beberapa negara Islam lain.

Melalui pengurusan haji yang sempurna dan sistematik, jemaah haji boleh menumpukan sepenuh perhatian kepada pelaksanaan ibadat tanpa perlu memikirkan hal seperti tempat tinggal, makan, pengangkutan dan sebagainya.

Keselesaan itu diharap membolehkan jemaah memperoleh haji mabrur. Ia sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: Haji Mabrur itu tiada ganjarannya kecuali syurga. (riwayat Bukhari dan Muslim).

Sehubungan itu, TH sentiasa berusaha mempertingkat kemampuan dan kemudahan baik di tanah air mahu pun di Mekah dan Madinah.

Matlamatnya, memastikan segala urusan berkaitan haji, bermula daripada ketibaan sehinggalah kepulangan ke tanah air berjalan lancar.

Pengurus Besar Kanan (Haji) TH, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, pihaknya sentiasa menawarkan khidmat yang terbaik dan berusaha meningkatkan prasarana untuk memudahkan jemaah.

Sebab itu ia bermula daripada perkara asas melalui penganjuran kursus dan kelas persediaan untuk menambah kefahaman dan keyakinan bakal haji.

Pada masa sama, katanya, TH menghantar 800 petugas ke beberapa lokasi untuk membantu melancarkan perjalanan jemaah.

Menurut beliau, para petugas yang ditempatkan di Jeddah, Madinah dan Mekah itu terdiri daripada kumpulan pembimbing ibadah haji, perubatan, teknologi maklumat (IT) dan pengangkutan.

"Daripada jumlah itu, 70 peratus adalah petugas berpengalaman dan 30 peratus lagi petugas baru.

"Kita berharap perjalanan jemaah haji akan lebih teratur dan sistematik dengan adanya khidmat petugas ini.

"Selain itu terdapat petugas yang ditempatkan bersama-sama setiap kumpulan jemaah haji untuk dijadikan rujukan atau dihubungi apabila berlaku kecemasan," katanya.

Beliau ditemui pada pelepasan kedua petugas TH ke Mekah di Kompleks TH Kelana Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Pada hari itu, seramai 80 orang yang terdiri daripada petugas Kementerian Kesihatan, guru agama, kaunselor dan Jabatan Pendaftaran Negara berlepas ke Mekah.

Kumpulan media pula berlepas pada 24 September lalu. Kumpulan petugas pertama berlepas pada 21 September dengan membabitkan 45 petugas unit IT.

Syed Saleh memberitahu, pada tahun ini, TH dengan kerjasama kerajaan Arab Saudi membuat penambahbaikan sistem perhubungan petugas dan jemaah haji menerusi perkhidmatan laman web.

"Menerusi sistem ini, segala urusan dan komunikasi semasa kecemasan antara jemaah dan petugas lebih mudah dan cepat tidak kira di mana mereka berada," jelasnya.

Daripada 800 petugas, 250 adalah petugas perubatan di mana 30 adalah doktor pakar dan 19 lagi doktor.

Bukan itu sahaja, kemudahan penginapan jemaah haji turut ditingkatkan. Mereka ditempatkan di hotel yang lebih luas selain mempunyai kelengkapan perhubungan, kaunter pengeluaran wang dan kafeteria yang baik.

Dalam pada itu Syed Saleh berkata, TH sentiasa menjaga kebajikan dan meningkatkan mutu perkhidmatan dari semasa ke semasa bagi menjamin keselesaan para jemaah haji.

Katanya, antara usaha itu adalah melancarkan tiga lagi kompleks TH untuk memudah dan menyempurnakan urusan jemaah haji iaitu di Sepang, Terengganu dan Alor Setar.

"Kompleks itu akan beroperasi setiap masa bukan sahaja untuk kegunaan haji. Ia juga boleh dijadikan hotel selain mempunyai dewan orang ramai," katanya.

Bagi membantu jemaah haji yang uzur dan mempunyai masalah kesihatan, Syed Saleh berkata, TH menempatkan mereka di kawasan khusus.

"Diharap dengan segala kemudahan dan kelengkapan yang disediakan ini dapat menanamkan rasa cinta untuk menunaikan ibadah haji dengan sepenuh keyakinan.

"Seterusnya memperoleh haji mabrur tidak kira umur dan masalah yang dihadapi bakal haji," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: