Wednesday, September 28, 2011

Orang ramai perlu berhenti memberi


Sifat pemurah rakyat Malaysia membuatkan kegiatan mengemis sukar untuk dihentikan. - Gambar hiasan


KITA di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memang menyedari akan kehadiran pengemis jalanan warga asing ini, malah ada kes sebelum ini kami dapati mereka ini masuk ke Malaysia atas tiket sebagai pelancong."

Itu antara kenyataan awal yang diberikan oleh Pengarah Bahagian Warga Tua dan Keluarga, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Mohd. Fazari Mohd. Salleh, apabila ditanya mengenai kewujudan pengemis warga asing di negara ini.

Malah katanya lagi, pihaknya pernah mengendalikan satu kes di mana individu tersebut merupakan pelancong dari China tetapi masuk ke negara ini untuk mengemis.

Ini sekali gus menjadikan Malaysia bukan sahaja sebuah negara untuk dilawati malah tempat untuk mereka mencari rezeki.

Untuk itu, pihaknya dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain telah mengambil tindakan tetapi kehadiran mereka hari ini didapati semakin meningkat.

"Walaupun mereka ini (pengemis) warga asing, mereka boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 3 (4) Akta Orang Papa kerana akta ini tidak merujuk kepada warga tempatan ataupun warga asing, jadi kita akan gunakan akta ini juga untuk warga asing

"Mereka ini akan ditempatkan di Rumah Seri Kenangan selama 30 hari sementara siasatan dilakukan.

"Tetapi kebanyakan mereka ini didapati tidak mempunyai kad pengenalan diri dan ini menyukarkan siasatan kami," ujarnya ketika ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Begitupun katanya, pengemis warga asing ini akan dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya dalam tempoh masa 24 jam.

Ulasnya lagi, walaupun JKM mempunyai kuasa untuk menahan pengemis warga asing tetapi ia menjadi tanggungjawab Jabatan Imigresen untuk mengendalikan mereka .

Berbicara lanjut mengenai pengemis-pengemis jalanan ini, tambah Mohd. Fazari, kehadiran mereka mengemis di sekitar persimpangan lampu isyarat merupakan satu trend baru untuk mereka mendapat simpati daripada orang ramai

Ini kerana sebelum ini warga tempatan yang mengemis hanya menjadikan jejantas, pasar malam serta kaki lima sebagai tempat untuk mengemis.

Senario ini secara tidak langsung menjadikan Malaysia sama seperti di Indonesia, Filipina, China dan India.

Mengikut statistik yang diambil sehingga sehingga Mei 2011, sebanyak 502 orang papa/pengemis ditahan di seluruh negara.

Daripada jumlah tersebut 369 adalah lelaki dan 133 orang perempuan.

"Bilangan tersebut merupakan bilangan pengemis yang telah diselamatkan oleh JKM dan jumlah tersebut termasuk pengemis-pengemis warga asing.

"Biasanya, pengemis-pengemis ini diselamatkan di bawah Akta Orang-Orang Papa 1977 dan bila kita ambil mereka, kita gunakan kuasa pegawai JKM dalam tempoh 24 jam.

"Dalam tempoh tersebut pengemis-pengemis ini diletakkan di bawah jagaan kita," katanya lagi.

Susulan daripada itu, menurut Mohd. Fazari lagi, pihaknya akan melakukan siasatan bagi memastikan sama ada pengemis tersebut mempunyai waris atau sebaliknya.

Jika mereka dikenalpasti masih mempunyai keluarga atau waris, JKM akan lepas dan bebaskan kembali pengemis-pengemis ini kepada keluarga masing-masing dalam masa 24 jam.

Tetapi sekiranya mereka memerlukan siasatan lanjut, JKM akan tempatkan mereka di bawah Seksyen 3 (2) Akta Orang Papa dengan perintah mahkamah.

"Daripada situ, mereka ini boleh ditempatkan sementara selama 30 hari di institusi kita sama ada di rumah Seri Kenangan, Seremban atau Desa Bina Diri di Kuala Kubu Bahru.

"Dalam tempoh tersebut, siasatan akan dilakukan. Sekiranya betul mereka memerlukan penjagaan dan perlindungan, tiada tempat tinggal, tiada pendapatan ataupun tiada kerja, mereka ini boleh ditempatkan di institusi di bawah peruntukan Sekyen 3 (4) Akta Orang Papa selama tiga tahun untuk jalani pemulihan," katanya.

Sementara itu menurut Mohd. Fazari lagi, bagi pengemis warga emas pula mereka akan ditempatkan di rumah Seri Kenangan dan sekiranya berumur bawah 60 tahun akan ditempatkan di Desa Bina Diri.

"Akta Orang Papa hanya dikenakan kepada pengemis yang berumur 18 tahun ke atas sahaja," ulasnya lagi.

Mohd. Fazari turut menyatakan bahawa hanya terdapat satu cara sahaja untuk membanteras gejala pengemis iaitu dengan mengubah sikap masyarakat awam

"Ini kerana selagi ada orang menawarkan (memberi) selagi itu pengemis semakin menjadi-jadi.

"Jika tiada yang memberi tiada yang mengemis dan oleh yang demikian kita kena sedarkan orang ramai untuk tidak begitu mudah memberi," katanya mengakhiri bicara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: