Thursday, September 29, 2011

Wajah baharu Moscow


WARGA Moscow kini terpaksa berhadapan dengan debu dan bunyi bising hampir setiap hari berikutan kerja-kerja pembinaan yang dilaksanakan.


LONGGOKAN batu-bata memenuhi jalan raya, bunyi gerudi yang memeningkan tanpa henti dan suku daripada kaki-kaki lima di Moscow telah bertukar menjadi serpihan.

Ia merupakan musim panas yang paling trauma kepada warga Moscow yang tidak dapat melarikan diri dari bandar raya itu dan keluar bercuti seperti lazimnya.

Kerja-kerja pembinaan kini giat dilakukan secara besar-besaran di seluruh bandar raya itu. Ia bertujuan menggantikan turapan di laluan kaki lima berwarna kelabu kepada warna kelabu lembut dan merah sekali gus menjadikannya mirip kepada sebuah kota moden di Eropah berbanding sebuah metropolis yang berusia lebih 11 juta tahun.

Kerja-kerja yang dilakukan merupakan perubahan paling ketara yang dicetuskan oleh Datuk Bandar Moscow yang baharu, Sergei Sobyanin. Beliau kini dalam misi untuk mengubah wajah keseluruhan bandar raya itu yang sebelum ini berhadapan dengan pelbagai masalah.

Sejak menjawat jawatan baharu itu, Sobyani juga berusaha untuk mengatasi salah satu masalah yang berakar umbi di bandar raya itu iaitu kesesakan lalu lintas, kemusnahan bangunan bersejarah dan memperbaiki perkhidmatan seiring pertambahan mendadak penduduknya.

Peningkatan populasi

Malah beliau juga bercita-cita tinggi, termasuk merancang untuk memperluaskan sempadan Moscow 2.5 kali ganda daripada saiz asalnya iaitu merangkumi pertambahan lebih 160,00 hektar di kawasan sekitarnya.

"Kami mempunyai sebab berbuat demikian memandangkan populasi penduduk di Moscow 1.5 kali ganda daripada penduduk di Hong Kong," kata perancang bandar, Vyacheslav Glazychev yang terlibat di dalam strategi berkenaan.

"Ia merupakan proses panjang, tetapi seseorang perlu memulakannya. Sayang sekali, apa yang saya ingin lihat itu berlaku hanya selepas 15 tahun," katanya.

Dilantik oleh Kremlin pada Oktober selepas penjawat terdahulu, Yury Luzhkov dipecat akibat skandal rasuah, Sobyanin merupakan bekas pegawai tertinggi Perdana Menteri, Vladimir Putin selepas berkhidmat sebagai gabenor di wilayah Siberian, Tyumen.

Beliau sangat menjaga pergerakannya dan jarang tersenyum, bercakap dengan nada seorang pegawai berbeza dengan penjawat terdahulu, Luzhov. Salah satu hobinya ialah berburu.

Sebagai penyelesaian untuk jangka masa panjang, dewan bandaraya Moscow mahu membina Moscow yang lebih hebat atau Big Moscow iaitu perkembangan pertamanya sejak tahun 1961. Peta kasar mengenainya dan pembekuan jualan tanah telah dilakukan di kawasan yang disasarkan bagi tujuan itu.

Apa yang pasti, pelan itu jelas menunjukkan ia telah dinaungi pemimpin peringkat tertinggi.

"Moscow tidak boleh membangun melebihi had yang ditetapkan," kata Putin.

Dramatiknya, Presiden Dmitry Medvedev telah memanggil institusi-institusi kerajaan untuk mengeluarkan bandar raya itu daripada had yang telah ditetapkan.

Kawasan di tengah-tengah bandar raya itu akan dijadikan kawasan pelancongan bersejarah, kata seorang pakar yang terlibat dalam strategi itu, Alexander Savchenko kepada majalah Ogonyok.

"Kami berpendapat bangunan pejabat baharu tidak perlu dibina di dalam kawasan Garden Ring, malah bangunan-bangunan bersejarah juga tidak perlu dimusnahkan."

Bagaimanapun, cadangan itu telah mengundang pelbagai kontroversi daripada beberapa pihak.

Warga Moscow langsung tidak berasa kagum dengan kerja-kerja turapan yang dilakukan. Malah sepanjang tempoh itu mereka terpaksa mengharungi debu dan kesesakan lalu lintas apabila laluan-laluan di kaki lima tidak boleh digunakan selama beberapa hari.

Biarpun idea itu tampak menarik, namun pakar-pakar pendapat ia dilakukan secara tergesa-gesa dan tidak diselia dengan baik.

"Ia melibatkan kemahiran yang tinggi dan mereka yang melakukannya kurang berpengalaman," kata Glazychev.

"Saya bimbang sekiranya terdapat bahagian-bahagian penting dalam projek ini yang perlu dilakukan semula."

Malah terdapat satu cerita lucu yang berkisar tentangnya: "Apabila Luzhkov pergi, dia menanam seluruh hartanya di bawah laluan kaki lima dan Sobyanin pula cuba mencarinya."

Pelan yang dicadangkan itu telah merebak ke seluruh Moscow dan ia telah menimbulkan rasa curiga dalam kalangan penduduk yang terlibat.

"Sehingga kini belum ada perancangan bagi meminta pendapat penduduk setempat sama ada mereka bersetuju untuk menyerahkan daerah-daerah yang terlibat di Moscow melalui bajet serantau," kata ketua parti liberal Yabloko, Sergei Mitrokhin dalam satu kenyataan.

Sementara itu, banyak pihak yang ragu-ragu dengan kenyataan Sobyanin sebelum ini untuk menghentikan aktiviti merobohkan bangunan sebaliknya beliau berjanji mahu memastikan aspek pemuliharaan dititikberatkan dalam proses pembuatan keputusan.

Kumpulan arkitek pemuliharaan Arkhnadzor, Konstantin Mikhailov berkata, beliau tidak melihat sebarang dokumen mengenainya termasuk menghentikan aktiviti merobohkan bangunan dan hanya selepas arahan itu dikuatkuasakan selama beberapa bulan, ia kini telah dilaksanakan semula.


TRANSFORMASI yang sedang dilaksanakan bakal mengubah Moscow kepada salah sebuah bandar raya yang moden di Eropah.


Kesesakan lalu lintas

"Secara jelas ia menunjukkan pihak berkuasa tidak bermaksud untuk berkordinasi dengan aspek pemuliharaan. Mereka cenderung untuk membuat keputusan bersendirian," katanya, sambil memberi amaran keputusan itu akan menimbulkan keraguan dan kekaburan berhubung pelan yang dilaksanakan.

Sebelum ini, Sobyanin pernah memberitahu, beliau mahu berdiri di atas bangunan untuk melihat kesesakan lalu lintas sebaik dilantik menjadi Datuk Bandar.

"Namun selepas hampir setahun, tiada apa yang telah dilakukannya," kata Alexander Shumsky, yang mengetuai Pusat Moscow bagi Menangani Trafik dan Kesesakan Lalu Lintas iaitu sebuah kumpulan pendesak.

Secara purata, kadar kelajuan trafik di Moscow menurun kepada 16 kilometer sejam tahun lalu.

"Ketika Sobyanin membina lebih banyak tempat meletak kenderaan, beliau gagal di atas percubaanya memperkenalkan lorong-lorong bas," ujar Shumsky.

Di Moscow, dakwaan terhadap rasuah tidak pernah surut. Sebaik sahaja kempen membaik pulih kaki lima bermula, terdapat khabar angin mengenai penglibatan isteri Sobyanin, Irina Rubinchik dalam perniagaan batu-batu turap itu, seperti juga isteri Luzhkov yang pernah mengetuai sebuah syarikat pembinaan.

"Isteri saya merupakan seorang pengasuh di tadika. Dia tidak mempunyai kaitan dengan sebarang perniagaan," tegas Sobyanin menafikan tuduhan tersebut seperti yang disiarkan dalam akhbar.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: