Thursday, September 29, 2011

Shardatul perkenal kain kendong bayi


Shardatul Adila Abdul Hamid menunjukkan cara memakai kendong kain.


Menggendong bayi menggunakan kain batik yang diselempangkan pada bahu merupakan amalan biasa di kalangan ibu atau nenek kita suatu masa dahulu.

Sambil si ibu 'ligat' membereskan kerja-kerja rumah si kecil pula lena dalam kendongan. Ia secara tidak langsung sebenarnya turut mewujudkan ikatan akrab antara ibu dan anak.

Seiring peredaran masa, amalan tradisional mengendong bayi dengan kain batik sedikit demi sedikit semakin dilupakan sehinggalah akhir-akhir ini apabila muncul semula pelbagai alat menggendong bayi yang diberi sentuhan moden.

Shardatul Adila Abdul Hamid, adalah antara ibu moden yang gemar menggunakan kain untuk mengendong anak-anak sambil membuat kerja.

Bagi ibu kepada tiga cahaya mata itu, kain kendong bukan sahaja memudahkan pergerakan malah ia senang untuk dikendalikan dan mudah untuk disimpan.

Lebih menaik kain kendong yang digunakan dibuat sendiri oleh Shardatul.

"Saya terfikir untuk menjahit sendiri kain kendong anak-anak saya ialah apabila alat mengendong bayi yang dibeli di pasaran sebelum ini tidak sesuai dengan saya mahupun anak-anak saya.

"Ia bukan sahaja menjadikan bahu saya lenguh dan sakit tetapi anak-anak saya pun tidak mahu duduk di dalamnya.

"Daripada situ saya mula melayari Internet dan terjumpa dengan bahan bacaan mengenai alat kendong bayi daripada kain.

"Berpandukan pada bahan bacaan tersebut akhirnya saya reka dan jahit sendiri," katanya sambil menunjukkan kain kendong ciptaannya.

Tambahnya lagi, kain mengendong bayi yang dihasilkannya telah diberi nafas baru dan mengikut kesesuaian ibu-ibu pada hari ini.

Tali pengendong yang dihasilkan boleh dilaras mengikut kesesuaian individu yang menggunakannya manakala gegelang yang digunakan dibuat daripada bahan berkualiti dan tidak mudah patah.

Lebih istimewa fabrik yang digunakan pula 100 peratus kain kapas bagi mengelakkan alahan pada bayi selain ia tahan lasak dan sejuk apabila digunakan.

"Kebanyakan bahan yang saya gunakan merupakan barangan tempatan kecuali gegelang dan kancing yang saya import dari luar negara," kata wanita kelahiran Sungai Rokam, Ipoh, Perak itu.

Bermula untuk kegunaan sendiri, kini Shardatul berkongsi produk inovasinya bersama orang ramai melalui kedai Internet yang ditubuhkannya, Big Eyes Shop.

"Di Big Eyes Shop saya beri pilihan kepada pengguna untuk memilih jenis kain mengendong bayi yang bersesuaian untuk mereka seperti ring sling, mei tai atau pouch sling untuk membawa bayi yang baru lahir.

"Kesemua kain mengendong bayi ini boleh digunakan di bahagian belakang atau hadapan mengikut keselesaan masing-masing.

"Setiap jenis kain mengendong bayi ini mempunyai cara pemakaian masing-masing tetapi jangan susah hati kerana saya turut menyertakan cara-cara pemakaiannya," katanya.

Big Eyes Shop merupakan salah satu kedai online yang turut menawarkan pelbagai barangan bayi yang lain antaranya pelapik menyusukan bayi, beg kanak-kanak, pin rambut kanak-kanak dan sebagainya.

Jelas Shardatul, sejak beroperasi Oktober 2008, produk yang dihasilkannya sendiri itu semakin mendapat tempahan dan sehingga hari ini ia semakin berkembang maju.

"Alhamdulillah, produk Big Eye Shop semakin dikenali dan barangan yang ditawarkan di sini sudah pastinya berkualiti.

"Ia merupakan produk buatan tangan yang saya hasilkan sendiri dan sudah tentunya saya inginkan yang terbaik buat pelanggan," tambahnya lagi.

Hari ini, Big Eyes Shop bukan sahaja menawarkan pelbagai barangan keperluan bayi kepada orang ramai tetapi ia turut menjadi pengedar kepada beberapa buah butik bayi di sekitar Petaling Jaya, Alor Setar dan Pahang.

Orang ramai yang berminat untuk melihat barangan yang dipasarkan di Big Eyes Shop ini, boleh layari bigeyesshop.blogspot.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: