Thursday, September 29, 2011

Rahmat di sebalik bencana


AYA menyiapkan salah seorang anaknya, Noa yang kurang upaya di kediaman mereka di Fukushima, Jepun.


Sebelum kedatangan 11 Mac 2011, iaitu sebelum berlakunya bencana tsunami dan gempa bumi di Fukushima, Jepun, Aya hidup dalam keadaan penuh derita.

Dia diceraikan oleh suaminya yang merupakan seorang kaki pukul dan meninggalkannya bersama dua anak yang masih kecil.

Dalam kehidupan berumah tangga, Aya sering dipukul oleh suaminya walaupun berpunca daripada hal-hal yang remeh.

Kini selepas enam bulan berlalu, ibu tunggal berusia 26 tahun itu meneruskan hidup bersama dua cahaya mata yang masih kecil tanpa belaian seorang suami dan ayah kepada anak-anaknya.

Dia sekarang menetap di sebuah rumah yang terletak sembilan kilometer dari kawasan berbahaya iaitu tempat berlakunya letupan loji nuklear kesan daripada tsunami dan gempa bumi yang melanda wilayah itu.

Biarpun hidup di kawasan yang udaranya dicemari radiasi nuklear, hati Aya lebih tenang dan gembira kerana tidak lagi dipukul dan ditendang oleh suami.

"Biarpun tinggal bersendirian dan dalam kesusahan kerana tidak mempunyai pekerjaan, tetapi hati saya tenang dan bahagia kerana bebas daripada gangguan suami yang sering menzalimi saya dan anak-anak,'' ujarnya yang enggan memberitahu nama sebenar bagi mengelak dikesan suaminya.

Tetapi tsunami dan gempa bumi yang berlaki bagaikan memberi rahmat kepada Aya apabila dia memperoleh semula kehidupannya yang bebas dan tanpa di selubungi rasa takut.

Dalam malapetaka yang melanda Fukushima pada 11 Mac itu, lebih 20,000 orang hilang atau meninggal dunia.

Kejadian itu umpama sudah jatuh ditimpa tangga kerana sejak awal lagi kebanyakan penduduk di kawasan tersebut hidup dalam kemiskinan dan malapetaka yang berlaku telah memburukkan lagi keadaan hidup mereka.

Dalam kejadian itu Aya dan dua anaknya yang masih kecil terselamat meskipun kediaman mereka musnah dihanyut tsunami.

Mereka tiga beranak kemudian dipindahkan ke pusat penempatan sementara di sebuah gimnasium.

Beberapa hari kemudian mereka terpaksa dipindahkan ke kawasan baru di luar Fukushima kerana anak sulungnya, Noa yang berusia empat tahun mengalami sakit tulang belakang dan memerlukan rawatan perubatan.

Di kawasan baru kehidupan agak perit kerana kekurangan kemudahan termasuk sekolah untuk anak keduanya Kurea, yang berusia enam tahun.

Dalam keadaan hidup tidak menentu, buat seketika Aya mengambil keputusan untuk kembali kepada suaminya yang ditemui semula di tempat penempatan mangsa bencana.

Aya mengharapkan lelaki tersebut telah berubah dan menjadi lebih bertanggungjawab. Sangkaan tersebut meleset kerana suaminya kembali dengan tabiat lama yang suka mendera.

Malah dalam tempoh itu Aya menjadi sasaran sepak terajang suaminya.

Keperitan hidup berumah tangga membuatkan Aya nekad untuk meninggalkan semula suaminya dan kembali ke Fukushima biarpun wilayah tersebut masih diancam radiasi.

"Biarpun bahaya mengancam diri kerana berdekatan dengan kawasan radiasi namun saya gembira dengan kehidupan tanpa suami,'' ujarnya yang kembali menetap di Fukushima

Di wilayah itu, Aya tinggal di sebuah pangsapuri sederhana yang turut menempatkan beberapa lagi mangsa bencana yang terselamat.

Ketika ini Aya tidak bekerja secara tetap kerana terlalu sukar mencari pekerjaan dalam keadaan yang masih kucar kacir.

Bagaimanapun dia tetap berusaha dengan melakukan apa saja pekerjaan sambilan yang mampu memberi pendapatan untuk demi mencari sesuap nasi untuk dirinya dan anak-anak.

"Selepas bencana banyak perniagaan musnah menyebabkan sukar untuk mencari pekerjaan.

"Saya terpaksa melakukan apa saja yang boleh mendatangkan wang bagi memberi makan anak-anak dan membayar rawatan perubatan anak sulong saya,'' ujarnya yang pernah bekerja sebagai agen insurans.

Seperti mangsa bencana yang lain, Aya turut menyalahkan kerajaan kerana tidak bertanggungjawab sepenuhnya terhadap mangsa bencana alam di Fukushima.

Baginya, kerajaan harus bertanggungjawab dengan apa yang telah berlaku dan mengambil nasib rakyat yang dalam kesusahan.

Biarpun apa terjadi, dia mengharapkan ada pihak yang lebih bertanggungjawab melihat keperitan yang di alami selain dapat membantu dirinya bersama mangsa-mangsa lain supaya mendapat kehidupan yang lebih terurus.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: