MUDAH...Abdul Wahid (kanan) menerangkan antara kemudahan yang disediakan di cawangan baru Maybank di Petaling Jaya sambil diperhatikan Lim, semalam.
MALAYAN Banking Bhd (Maybank) akan terus memperkukuhkan kedudukannya di negara ini, sekali gus menyasarkan peningkatan pendapatan bagi segmen perbankan pengguna dan perniagaan RM12 bilion menjelang 2015 berbanding RM6 bilion yang dicatatkan setakat ini.
Timbalan Presiden dan Ketua Perkhidmatan Kewangan Komunitinya, Lim Hong Tat berkata, pihaknya yakin jumlah itu dapat dicapai didorong dengan pembukaan cawangan baru dan cawangan yang sudah melalui transformasi.
Katanya, Maybank juga akan memperluaskan perkhidmatan kewangan komuniti (CFS) iaitu cawangan lebih besar yang merangkumi segmen perbankan perniagaan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perbankan pengguna.
“CFS menyumbang kira-kira 50 peratus daripada keseluruhan pendapatan kumpulan perbankan dan kami akan menjalankan proses transformasi cawangan bulan depan apabila membuat pembaharuan di lima cawangan iaitu di SS2 Petaling Jaya, Cheras Selatan, Kompleks Bandar (Jalan Klang Lama), Alor Gajah dan cawangan utama Melaka.
“Kami akan membelanjakan RM150 juta hingga RM200 juta dalam tempoh lima tahun akan datang untuk mengubah sekurang-kurangnya 150 cawangan dan lebih 2,000 (touch points),” katanya pada sidang media sempena perasmian cawangan pertama yang melalui transformasi dengan identiti korporat yang diperbaharui di Petaling Jaya, semalam.
Hadir merasmikannya ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Seri Abdul Wahid.
Lim berkata, setiap tahun pihaknya menyasarkan untuk membuka antara lapan hingga 10 cawangan baru manakala bagi proses transformasi Maybank memperuntukkan lebih kurang RM1.2 juta hingga RM1.8 juta bagi satu cawangan.
Beliau berkata, cawangan utama baru Maybank di Kota Damansara itu juga adalah cawangan ke-17 yang turut dilengkapi dengan kemudahan mesra bagi pelanggan orang kelainan upaya (OKU) dan warga tua termasuk lot letak kereta khas, tanjakan untuk kerusi roda ke pintu masuk utama dan pintu automatik.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: