Ramli dan Ito bersedia untuk menggegarkan Stadium Merdeka.
SABTU ini ialah hari yang dinantikan. Baik Sweet Charity mahu pun Blues Gang, masing-masing tidak mampu menyembunyikan rasa teruja untuk kembali beraksi di gelanggang yang pernah menyatukan mereka 27 tahun lalu, Stadium Merdeka.
Ramli Sarip selaku penyanyi Sweet Charity berkata, sokongan ramai antara pemangkin hingga projek yang sudah lima tahun dirancang ‘menjadi’, selain kesungguhan Netzah Productions Sdn Bhd dan Rasamusic Sdn Bhd merealisasikan konsert itu.
“Umpama sebuah keluarga, setiap individu pasti punya sikap dan kecenderungan tersendiri namun apabila membabitkan kepentingan Sweet Charity, kami tetap sehati. Hubungan kami lebih daripada seorang rakan, begitu juga dengan teman sealiran seperti Blues Gang.
“Konsert ini juga bukan untuk kepuasan sendiri, sebaliknya didedikasikan kepada penyokong yang menjadi nadi utama hingga tercetusnya sebuah lagi sejarah dalam industri muzik tanah air,” katanya mengenai konsert yang hanya mengenakan tiket pada kadar RM73.
Walau sepatutnya berlangsung 9 Julai lalu, tetapi ia terpaksa ditangguhkan gara-gara perhimpunan BERSIH, dan vokalis yang sudah menjangkau usia 59 tahun itu melihat situasi terbabit dari sudut positif.
Awal dulu timbul rasa terkilan namun apabila difikirkan semula, di sebalik sesuatu kesulitan pasti ada hikmahnya sekali gus ujian untuk mereka melipatgandakan usaha dalam memberikan yang terbaik.
“Muzik adalah aliran yang ada pusingannya. Apabila mendapat peluang keemasan berkongsi pentas sekali lagi dengan band sezaman, ia rezeki yang cukup kami syukuri kerana pada saat penyanyi lain sukar mendapat ruang seperti ini, Sweet Charity dan Blues Gang masih punya tempat tersendiri.
“Justeru dugaan yang mendatang kami lalui dengan hati terbuka kerana paling penting, jangan mudah berputus asa malah ia menguatkan semangat kami ditambah sokongan peminat di luar sana,” katanya.
Biarpun belum berlatih bersama kumpulannya disebabkan faktor jarak Kuala Lumpur-Singapura, tunjang kumpulan yang ditubuhkan pada 1967 iaitu Rosli Mohalim (gitar), Ahmad Jaffar Jawahir (keyboard) serta Rahman Sarbani (dram) turut melakukan rejim sama di Kota Singa.
Akui Ramli, sudah pasti konsert ini begitu bermakna apatah lagi setiap lagu daripada 10 album studio yang dihasilkan bersama menyimpan memori tersendiri hingga sukar memilih 20 lagu yang bakal dipersembahkan pada malam itu.
“Ada 60 lagu kami senaraikan pada awal-awal dulu. Selepas ditapis berkali-kali, cuma 20 yang dapat disampaikan walaupun kami sedar pendengar punya selera tersendiri. Sudah tentu ada perubahan dari segi susunan muzik kerana ini konsert secara langsung tetapi senarai lagu, kita perlu lihat rentak penonton.
“Macam kereta, kita tidak boleh terus memecut. Soal lagu mana dulu yang hendak disampaikan, muzik umpama makanan kami dan setiap melodi sudah melekat di sanubari, jadi ia bukan masalah besar untuk melompatkan giliran. Apa pun kebiasaannya sorakan penonton yang menentukan situasi, sekali gus menyemarakkan semangat kami untuk lebih agresif dan itulah jangkaan kita untuk konsert kali ini,” ulasnya lagi yang mengakui melakukan persiapan mental dan fizikal tidak sesukar memilih lagu untuk konsert berkenaan.
Enggan membiarkan masyarakat melihat usia sebagai penentu momentum di pentas, katanya mereka adalah penyanyi dan pemuzik sepenuh masa malah persembahan langsung, walau hanya majlis kecil, menjadi sebahagian daripada rutin latihan.
Ungkapnya penuh maksud mendalam, seiring peningkatan usia, mungkin ini adalah persembahan bersama mereka yang terakhir kerana setiap manusia melalui transisi hidup yang ada kalanya jauh lari daripada rutin asal.
“Ya... Usia kami semakin bertambah. Walau ia sedikit pun tidak menjunamkan semangat, siapa tahu hari mendatang kerana pasti antara kami mahu menumpukan perhatian terhadap urusan hakiki,” tambahnya ringkas.
Jaga stamina dengan berkebun
TEMAN seperjuangan, Ito Mohamad, 60, melihat Konsert 2 Raksasa sebagai simbolik kepercayaan penganjur dan penaja terhadap ‘orang lama’, sekali gus pencetus semangat kepada kumpulan baru untuk membuktikan keupayaan mereka.
Katanya selama ini peminat muzik lebih banyak disogokkan dengan konsert penyanyi dan band baru sedangkan penggemar muzik berusia atas 40-an masih mendambakan dendangan 80-an yang disajikan dalam medium seperti konsert.
“Blues dan rock tidak akan mati. Macam lagu kami, ia berunsur nusantara yang begitu unik diperdengarkan manakala liriknya juga menjurus kepada kemanusiaan begitu juga lagu Sweet Charity yang menyentuh masyarakat.
“Apabila diberi amanah, kepercayaan pihak yang merealisasikan konsert ini tidak mungkin kami persiakan. Malah ia umpama penanda aras untuk melihat sejauh mana kemampuan orang lama. Jika kami mampu bertahan hingga kini, band baru juga dapat melakukannya asalkan ada kesungguhan,” ulas datuk kepada lima cucu itu.
Selain Ito, Blues Gang yang ditubuhkan akhir 70-an dengan dianggotai Shaik Abdul Karim Shaik Ahmad (dram), Jim Madasamy (bes), Abdul Ghani Talip (keyboard) dan Julian Mokhtar (gitar) bakal mempersembahkan 13 lagu.
Diminta berkongsi soal persediaan, dedahnya, paling utama adalah memastikan kesihatan terpelihara untuk memastikan stamina di pentas malah aktiviti masa senggang, jika tiada undangan menyanyi, seperti berkebun dianggap sebagai senaman mengeluarkan peluh.
“Saya masih aktif menyanyi manakala rakan lain juga sama rancak mengatur perjalanan mereka sebagai pemuzik. Kerjaya sepenuh masa dalam industri ini mampu mempertajamkan skil namun seiring peningkatan usia, stamina tetap perlu dijaga.
“Syukur setakat ini kami masih diberi kekuatan untuk mencari rezeki dalam arena seni. Mungkin orang pelik kenapa orang lama seperti saya masih aktif menyanyi. Apa pun rezeki saya di sini dan saya masih melakukan aktiviti yang saya sukai, berkebun yang menyihatkan,” kata anak jati Tampin, Negeri Sembilan itu.
Berbicara soal persediaan, Brown Black Studio di Hartamas menjadi medan mereka mempertajamkan skil vokal dan permainan muzik sebelum tiba malam kemuncak yang turut diabadikan dalam DVD.
Menyentuh perancangan bersama Sweet Charity, kumpulannya bertuah apabila teman segandingan rancak mengatur strategi termasuk menghasilkan baju T edisi terhad dalam empat rekaan yang dijual pada harga RM43 hanya untuk konsert itu sebagai koleksi kenangan.
Sementara itu, pembeli tiket VIP berharga RM500 berpeluang memenangi tiga hadiah menarik berupa gitar eksklusif yang ditandatangani anggota kedua-dua kumpulan, sebuah buku dan sehelai baju T edisi terhad.
Pembeli tiket berharga RM73 pula layak memenangi cabutan bertuah yang menawarkan tiga buah motosikal Naza Blizt 150cc.
INFO
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: