|
SEMENJAK rancangan Akademi Fantasia atau lebih dikenali sebagai AF mula disiarkan pada tahun 2003 di saluran Astro Ria, ternyata rancangan yang menggunakan format realiti televisyen telah mendapat tempat di kalangan penonton televisyen di Malaysia.
Merupakan rancangan realiti TV pertama di negara ini yang diadaptasi daripada sebuah rancangan di Mexico iaitu La Academia, Malaysia juga menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang memiliki versi sendiri dan diikuti Thailand dan Indonesia.
Boleh dikatakan rancangan yang sudah ke udara sebanyak sembilan musim itu menjadi satu fenomena baharu dalam industri hiburan tempatan serta menjadi kegilaan ramai terutamanya golongan muda.
Atas kejayaan yang ditempa oleh rancangan AF yang sememangnya mendapat sambutan luar biasa, maka lahirlah pelbagai lagi rancangan hiburan yang turut menggunakan format sama.
Malah, kewujudan pelbagai rancangan realiti TV ini juga dilihat semakin menyemarakkan lagi dunia hiburan tanah air dengan kemunculan begitu ramai artis yang berbakat besar.
Jika sebelum ini kebanyakan rancangan yang dihasilkan adalah bertujuan untuk mencari pelapis kepada penyanyi, pelakon ataupun komposer tempatan, kini telah lahir pula sebuah rancangan yang agak unik.
Dikenali sebagai MasterChef Malaysia, ia merupakan sebuah rancangan realiti TV yang berbentuk masakan dan bertujuan untuk mencari jurumasak atau lebih sinonim dengan panggilan chef yang diterbitkan oleh Astro.
Ia merupakan sebuah rancangan yang telah bermula di Australia pada tahun 2009 dan telah mengukir sejarah yang tersendiri apabila mencatatkan jumlah penonton tertinggi di negara tersebut untuk rancangan bukan sukan dengan jumlah empat juta penonton.
Melihat kepada sambutan penonton yang diraih di negara berkenaan, fenomena hebat tersebut diteruskan lagi MasterChef UK yang telah disiarkan di 145 buah negara. Turut menjadi perhatian adalah MasterChef US dan MasterChef France.
Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh berkata sebagai sebuah saluran hiburan yang unggul, Astro Ria sangat bangga dan berbesar hati kerana bakal menayangkan sebuah rancangan yang sememangnya sangat dinantikan oleh rakyat Malaysia.
Ketika berucap di majlis pengenalan lima orang juri MasterChef Malaysia baru-baru ini, Khairul menjelaskan menerusi rancangan terkini ini akan memberi peluang kepada orang ramai untuk mencungkil bakat mereka dalam bidang masakan.
“Setelah sekian lama kita hanya menonton kehebatan peserta dari negara lain seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia, kini sudah tiba masanya untuk kita tonjolkan bakat anak tempatan.
“Untuk pertandingan ini kesemua peserta akan dilatih oleh mereka yang berpengalaman dalam dunia masakan dan salah seorang daripada peserta akan dinobatkan sebagai MasterChef Malaysia yang pertama,” ujarnya.
Menurut Khairul, walaupun rancangan MasterChef ini baru kali pertama diperkenalkan di Malaysia, namun sambutan yang diterima ternyata sangat menggalakkan terutamanya pada sesi uji bakat yang diadakan sebelum ini.
Ujarnya lagi, sesi uji bakat pada bulan Mac yang lalu telah dilakukan di beberapa buah negeri di Malaysia seperti Pulau Pinang, Sabah, Johor, Terengganu dan Kuala Lumpur.
“Apa yang boleh saya katakan memang ramai yang berkeinginan untuk menonjolkan bakat dalam bidang masakan. Sepanjang sesi ujibakat yang dilakukan pihak kami telah menerima penyertaan yang banyak termasuk dari kaum Cina dan India.
“Bagaimanapun, seramai 40 peserta sahaja yang dipilih untuk menyertai rancangan ini bagi merebut gelaran juara selepas saringan yang cukup ketat dilakukan,” jelasnya.
Tambah Khairul, kesemua peserta yang akan bersaing itu akan diletakkan di sebuah tempat yang diberi nama Bootcamp dan mereka terpaksa mengharungi beberapa siri rintangan dan penyingkiran.
Ujarnya lagi, selepas beberapa sesi penyingkiran dilakukan, hanya 24 peserta terbaik yang akan berjaya meneruskan perjalanan mereka dan cuma seorang peserta yang akan dinobatkan sebagai MasterChef Malaysia.
“Lebih menarik lagi, kesemua peserta yang akan bersaing nanti adalah terdiri daripada mereka yang mempunyai pelbagai latar belakang seperti pelakon, doktor gigi, pereka fesyen, pelajar universiti dan penoreh getah,” ujarnya.
Sementara itu, Khairul turut memberitahu bahawa peserta yang akan muncul juara juga tidak ketinggalan untuk membawa pulang hadiah yang cukup lumayan daripada pihak Astro.
Jelasnya, juara MasterChef Malaysia akan meraih hadiah wang tunai sebanyak RM100,000 serta bakal mempunyai sebuah rancangan memasak yang akan dikelolakan sendiri oleh pemenang.
Akan memulakan siaran pada 22 Oktober ini di saluran Astro Ria, rancangan MasterChef Malaysia bakal bersiaran sebanyak 60 episod selama 10 minggu pada setiap hari Isnin, Selasa, Rabu, Jumaat, Sabtu dan Ahad.
Juri profesional
Memandangkan rancangan MasterChef Malaysia buat julung-julung kalinya diadakan di Malaysia, maka pihak Astro telah melantik lima orang juri profesional yang mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam bidang masakan.
Khairul menjelaskan, kelima-lima orang juri tersebut bukan sahaja akan menilai keupayaan dan perkembangan peserta, malah mereka turut bertindak untuk mengemudi rancangan tersebut.
“Dengan melantik lima orang juri profesional ini, setiap peserta pastinya akan lebih berpeluang untuk menimba lebih banyak ilmu dan teknik-teknik tentang cara memasak yang lebih baik.
“Saya juga percaya dengan kehadiran barisan juri yang disegani ini akan memberi impak yang terbaik bukan sahaja kepada para peserta, malah kepada penonton yang akan menonton rancangan ini nanti,” ujarnya.
Antara juri profesional yang dilantik adalah seperti Mohd. Johari Edrus (Chef Jo), Priya Menon (Chef Priya), Yahaya Hassan (Chef Yahaya), Zubir Md. Zain (Chef Zubir) dan Mohd. Nadzri Redzuawan (Chef Riz).
Salah seorang juri iaitu Chef Jo berkata, rancangan MasterChef ini sememangnya sangat sesuai untuk diadaptasikan di negara ini memandangkan Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai pelbagai jenis masakan.
Bekas Presiden Persatuan Chef Malaysia itu turut meluahkan rasa kagumnya terhadap kesungguhan dan keazaman yang telah ditunjukkan oleh mereka yang telah menghadiri sesi ujibakat sebelum ini.
“Boleh dikatakan para peserta yang terpilih untuk menyertai rancangan ini adalah bertaraf amatur dan sememangnya tidak mempunyai latar belakang dalam bidang masakan.
“Bagaimanapun, saya yakin mereka mampu untuk menjadi seorang chef yang baik pada masa akan datang dengan tunjuk ajar, bimbingan dan dorongan yang akan diberikan oleh kami nanti,” ujarnya.
Menurutnya lagi, kesemua peserta yang bersaing juga turut berdepan dengan beberapa cabaran tertentu yang harus ditempuhi sebelum salah seorang layak untuk digelar sebagai MasterChef Malaysia yang pertama.
“Selain diberi had masa tertentu untuk menyiapkan sesuatu makanan, para peserta juga akan diuji untuk memasak makanan antarabangsa. Ia bertujuan untuk membuktikan yang para peserta tempatan juga mampu untuk menyediakan pelbagai jenis hidangan termasuk masakan negara lain,” ujarnya.
Sementara itu, juri termuda dalam rancangan ini iaitu Chef Riz yang berusia 29 tahun berkata, dia sendiri tidak menyangka apabila diberi peluang oleh pihak Astro untuk menjadi juri.
Mengakui seorang peminat setia rancangan MasterChef, peluang untuk menjadi salah seorang juri adalah satu peluang yang sangat baharu buat dirinya dan berhasrat untuk berkongsi segala ilmu dan pengalaman yang diperolehi kepada peserta.
“Sebenarnya bidang masakan ini bukan hanya kepada mereka yang bergelar chef kerana semua orang sebenarnya boleh memasak. Namun, menerusi rancangan ini para peserta akan diberi tunjuk ajar tentang cara dan teknik masakan yang lebih baik.
“Pada masa yang sama, saya juga ingin membuktikan kepada orang ramai bahawa bidang masakan ini boleh dijadikan kerjaya profesional dan boleh memperoleh pendapatan yang lumayan,” ujar anak kepada chef terkenal Malaysia iaitu Chef Wan.
|
|
Kolaborasi
Selain saluran Astro Ria yang akan menjadi penyiar rasmi untuk rancangan MasterChef Malaysia yang akan berlangsung selama 10 minggu, pihak Astro juga telah menjalinkan kolaborasi dengan Fox International Channels.
Pada majlis tersebut, Khairul memberitahu bahawa dengan kolaborasi yang terjalin di antara kedua-dua pihak, ia bermakna rancangan tersebut juga akan turut disiarkan di saluran STAR World (Astro 711).
“Pihak kami sudah tentu sangat berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan Fox International Channels memandangkan rancangan ini akan dapat disaksikan oleh penonton luar negara.
“Ini bermakna rancangan Masterchef Malaysia sudah tentu akan dapat ditonton oleh penggemar rancangan masakan di beberapa buah negara Asia yang lain seperti Indonesia, Thailand, Filipina dan Hong Kong,” ujarnya.
Jelasnya lagi, dengan kolaborasi tersebut juga dilihat sebagai satu langkah yang cukup positif terutamanya untuk pihak luar dapat mengetahui dengan lebih mendalam tentang keunikan budaya yang ada di negara ini termasuklah melalui masakan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: