Friday, September 30, 2011

Lima sekawan urus acara


PADA Ramadan lalu, OneHeart Solution mengadakan aktiviti amal dengan membikin klip video mengenai kebaikan bulan puasa.


SEGALA-GALANYA bermula apabila lima orang sahabat tahun akhir pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Sebagai pelajar yang aktif dengan aktiviti kokurikulum seperti Majlis Perwakilan Pelajar, Kelab Maaruf dan Persatuan Kejuruteraan memberi pendedahan kepada mereka menguruskan sesebuah majlis.

Menyedari mereka memiliki pengalaman, seorang pelajar itu pasti akan berkira-kira tentang masa hadapan. Sebaik sahaja tamat pengajian, mereka menubuhkan OneHeart Creative Solution.

OneHeart dimiliki oleh Ahmad Huzaifah Ahmad Shahrir, Suhairil Izham Suroya, Nur Shahidat Mohamed, Hidayatul Karimah Mohd. Mahyuddin dan Ahmad Taufiq Iqbal Abd. Rani.

Lebih gemar memanggil ‘bayi’ baharu mereka itu sebagai OneHeart, syarikat tersebut menjadikan pengurusan majlis dan pembekal perkhidmatan teknikal sebagai perniagaan utama.

Kesemua mereka berumur 24 tahun kecuali Izham yang berusia 25 tahun. Selain itu, mereka juga mampu menyediakan 30 orang pekerja separuh masa yang terdiri daripada rakan-rakan dari UIAM bergantung kepada situasi.

Selepas yakin dengan keputusan yang dibuat, mereka pun duduk bersidang di salah sebuah bilik kuliah di UIAM bagi membincangkan konsep dan idea syarikat yang bakal beroperasi itu.

Menurut Huzaifah, suasana perbincangan sekitar bulan Februari 2010 itu persis sekumpulan pelajar sedang mengadakan perbincangan dalam kumpulan.

Hasil mesyuarat itu, mereka berjaya mengadakan sebuah konsep yang terdiri daripada nama syarikat dan logo yang telah diguna pakai sehingga kini.

“Sasaran pertama kami waktu itu adalah menghebahkan kewujudan kami di laman sosial Facebook. Ideanya adalah jika seorang daripada kami mempunyai kira-kira 2,000 kenalan maka sudah 10,000 orang mengetahui OneHeart,” terang Huzaifah ketika ditemui di Batu Caves, Selangor baru-baru ini.

Tanpa modal


DARI kiri: Taufiq, Huzaifah, Shahidat, Hidayatul dan Izham merupakan tulang belakang OneHeart Solution.


Huzaifah yang bertindak sebagai Ketua Pegawai Eksekutif OneHeart mengakui memulakan perniagaan tanpa memiliki sebarang modal permulaan amat sukar.

“Cuma pengalaman dan pengetahuan sahaja yang dijadikan sebagai bekalan kami. Malah, ibu bapa kami juga tidak menaruh kepercayaan,” luah Huzaifah yang turut sama diakui ahli yang lain.

Namun, tatkala mereka menganjurkan majlis bertajuk, Seminar Buat Duit Cara Mawardee pada bulan Mac lalu, kepercayaan orang ramai mula meningkat.

Tambah Shahidat, Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011 anjuran akhbar Kosmo dan Daisy yang berlangsung selama sebulan pula benar-benar mencabar tahap kemampuan OneHeart tetapi ia amat berbaloi.

“Kesannya, ibu bapa kami yang skeptikal pada peringkat permulaan sudah menaruh kepercayaan dan langkah kami seterusnya lebih yakin,” ujar wanita yang bertugas sebagai Eksekutif Komunikasi OneHeart.

Sehingga kini, perniagaan mereka bukan sahaja memfokus kepada pengurusan majlis tetapi telah berkembang dengan menyediakan perkhidmatan lain seperti fotografi, rakaman suara dan kedai buku secara talian.

Pada bulan Jun lalu, kelima-lima anak muda itu sudah boleh melakukan kerja-kerja pengurusan syarikat dengan lebih selesa apabila sudah berpindah ke premis tetap dengan keluasan ruang kira-kira 46 meter persegi.

Meskipun sudah boleh dikatakan sudah berada di kedudukan yang selesa tetapi ujar Karimah, mereka perlu meletakkan OneHeart sebagai keutamaan. Terutama apabila ia melibatkan pengurusan wang dan keuntungan.

“Kami mempunyai satu amaun gaji yang diterima setiap bulan tetapi tidak semestinya tetap setiap bulan. Apabila tiba bulan yang kurang mendapat projek, gaji mungkin tidak diberi tetapi elaun dalam jumlah yang kecil menjadi pengganti,” terang Karimah yang menjaga kewangan syarikat. Walaupun baru setahun OneHeart ditubuhkan, mereka amat bersyukur kerana sehingga kini akan ada projek yang perlu dilaksanakan.

“Kami sedang berbincang dengan sebuah syarikat yang berpusat di United Kingdom untuk menguruskan sebuah acara anjuran di sini,” terang Huzaifah.

Jelasnya, syarikat itu sedang dalam perancangan untuk mengadakan acara jelajah dunia, Young Entrepreneur Summit (YES) di beberapa destinasi dan Malaysia adalah salah satu lokasinya.

Bidang videografi


HUZAIFAH dan Taufiq (kanan) meneliti hasil kerja di pejabat mereka yang terletak di Batu Caves, Selangor.


Kelak, jika ia terlaksana dan kerjasama itu terjalin, OneHeart akan menguruskan majlis tersebut seluruhnya daripada pengurusan sehingga kepada menyediakan pentas dan alatan audio. Acara yang berbentuk seminar yang dirancang akan diadakan di Kuala Lumpur itu bakal diadakan pada bulan Disember ini. Selain itu, Huzaifah menambah, dalam bidang videografi pula pihak OneHeart bakal mengadakan kerjasama dengan badan bukan kerajaan, Islamic Relief Malaysia (IRM) untuk membuat rakaman video.

“Video tersebut akan dimuatkan dalam blog mereka sebagai salah satu interaktif baharu yang lebih dikenali sebagai vlog (video blog). “Perbincangan sudah mencapai 80 peratus tanda persetujuan dan kami berasa amat bertuah kerana bakal berjumpa dengan bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad,” ujarnya dengan wajah yang teruja. Beliau ialah salah seorang daripada tetamu undangan yang akan muncul dalam blog IRM itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: