RESTU kedua ibu bapa dalam melakukan sesuatu pekerjaan sangat memberi impak kepada diri setiap individu.
Doa, keazaman dan dorongan keluarga itu akan menjadi pemangkin kepada seseorang untuk terus berjaya dan memberikan yang terbaik dalam prestasi kerjaya yang diceburi.
Dengan memberikan dorongan yang jitu kepada seorang anak perempuan untuk menyertai badan beruniform Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah satu yang cukup besar dan perlu dihargai oleh sang anak.
Bagi Asisten Supritendan Aida Irwana A. Shukor, kerjaya sebagai pegawai polis bukanlah minat asal dirinya kerana beliau pada awal dahulu pernah bercita-cita untuk menjadi seorang pensyarah.
Namun, cintanya terhadap kerjaya polis bermula apabila bapa kesayangannya A. Shukor amat mengharapkan salah seorang daripada mereka tiga beradik menyarung baju beruniform PDRM suatu masa kelak.
Jelasnya, segala persiapan dari pengambilan borang hingga pemeriksaan kesihatan termasuk temuduga fizikal semuanya adalah hasil daripada dorongan dan sokongan bapanya.
"Ayah yang mengambilkan borang, menghantar saya ke tempat temuduga di IPK (Ibu Pejabat Polis Kontinjen) Johor pada waktu itu hingga saya berjaya menjadi pegawai polis.
"Bagaimanapun akhirnya, saya sangat menyukai kerjaya ini dan inilah satu cara untuk membuatkan ayah gembira," jelasnya riang.
Ibu kepada seorang cahaya mata itu memberitahu, persefahaman di antara suami tercinta sangat dihargai dan merupakan pengikat kasih sayang mereka berdua.
Beliau berkata, pernah pada Hari Raya tahun 2009 suaminya merajuk apabila Aida sibuk dengan siasatan kes bunuh pada hari raya pertama.
"Jam pada waktu itu menunjukkan pukul 7.30 pagi (hari raya pertama) apabila saya mendapat panggilan mengenai kes berkenaan. Saya pun bergegas ke lokasi.
"Saya sampai ke rumah kira-kira pukul 12 tengah malam kerana menyiapkan semua kerja hingga ke laporan bedah siasat. Sampai di rumah, dia (suami) merajuk dan macam tak mahu bercakap," katanya yang kini hamil anak kedua.
Tambahnya, suami tercinta sanggup menemaninya di pejabat sekiranya beliau bekerja 24 jam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: