Friday, September 30, 2011

Buku sifu seni Emi



JARI-JEMARINYA cermat membengkokkan dawai-dawai perak menggunakan playar sehingga menjadi bentuk yang menarik.

Formasi daripada dawai-dawai logam berharga yang dipateri kemas itu kemudian diserikan dengan hiasan batu-batu permata. Lalu, terhasillah aksesori yang berestetika hasil kreativiti seorang pria.

Melihat Mohd. Hilmi Kamarulzaman, 26, membentuk dawai-dawai logam menjadi aksesori kelihatan mudah, ia tidak semudah yang dilihat.

Menyingkap profil anak sulung daripada dua beradik yang berasal dari Keramat, Kuala Lumpur itu minatnya terhadap seni gubahan dawai atau wire art bermula enam tahun lalu.

“Cinta saya pada seni gubahan dawai ini bermula ketika mengunjungi kedai buku Kinokuniya selepas membelek buku mengenainya.

“Saya sangat berminat terhadap seni ini dan belajar mengenai asasnya melalui buku sahaja sebelum mula bereksperimen membuat aksesori perhiasan wanita,” kata graduan Universiti Tun Abdul Razak (Unitar), Kelana Jaya dalam jurusan Pengurusan Hospitaliti.


MEMBUAT seni gubahan dawai perlukan kesabaran, ketekunan dan daya kreativiti yang tinggi.


Sebelum berkecimpung dalam seni gubahan dawai ini, Mohd. Hilmi atau lebih dikenali dengan nama seninya Emi Kaz terlebih dahulu berjinak-jinak dalam bidang solekan pada umur 19 tahun.

Beliau mempelajari ilmu solekan ketika mengambil Diploma Solekan Kecantikan Profesional di Akademi Solekan di XpressionMaster sebelum melanjutkan pengajiannya di Unitar.

Setelah tamat diploma solekan, Emi ‘bertatih’ dengan mengutip pengalaman demi pengalaman sehingga namanya dikenali.

“Saya menggemari bidang fesyen tetapi saya tidak tahu menjahit, melukis pun tidak tahu. Jadi saya mengambil keputusan bergiat serius dalam seni gubahan dawai ini.

“Saya tidak mengikuti mana-mana kelas untuk mempelajari mengenai seni ini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menjadikan buku sebagai sifunya 100 peratus, Emi mula membina keyakinan meneruskan survival hidup melalui seni yang mula ‘membeli’ hatinya itu.

Emi mengambil masa tiga tahun untuk menguasai asas selain membina kemahirannya sendiri dalam seni tersebut dan mula membuat aksesori yang lebih rumit serta kompleks sejak tiga tahun lalu.

“Saya juga membuat tutorial dalam talian yang kini merupakan salah satu tutorial seni gubahan dawai yang terlaris di Asia.

“Sebetulnya saya mula serius menjalankan bisnes ini empat tahun lalu. Bermula dengan menjual aksesori hasil seni gubahan dawai pada rakan-rakan ibu saya, kawan-kawan dan ahli keluarga selebihnya lebih kepada mengajar asas seni gubahan dawai kepada mereka yang berminat,” ujarnya.

Kelas seni


ANTARA peralatan yang digunakan untuk membuat seni gubahan dawai.


Menurutnya, bisnes tersebut tidak memerlukan modal yang besar seperti bisnes-bisnes yang lain.

“Ia juga membolehkan saya mengekspresikan diri dalam berkarya.

“Banyak masa saya dihabiskan melakukan tutorial dalam talian selain melakukan kelas seni gubahan dawai ini pada hujung minggu mengikut permintaan di beading.com.my di Wangsa Maju,” katanya memberitahu kelas hujung minggu selama empat hingga lima jam itu dikenakan yuran sebanyak RM138 turut menyediakan material dan peralatan.

Tidak lokek untuk berkongsi ilmu, Emi mempunyai ramai pelajar yang terdiri daripada orang tempatan dan orang luar dari Singapura, Korea dan Mauritius yang berminat untuk mempelajari mengenai seni gubahan dawai.

Mendapat sokongan penuh keluarganya, Emi tidak merasakan dirinya kecil apabila menceburi bidang yang diminatinya sedang kawan-kawan lain punya profesion kolar putih.

“Saya bangga dengan apa yang saya lakukan. Terasa betapa sukarnya mencari duit titik peluh sendiri sebagai modal membeli dawai-dawai logam berharga seperti perak, tembaga, emas dan batu-batu permata seperti topaz dan ametis tanpa membuat sebarang pinjaman dari bank.

“Semua kepayahan berbayar apabila ada orang menghargai aksesori yang dijual. Seni ini jarang diketengahkan di negara ini, jadi ambil masa sedikit untuk menarik minat orang ramai,” ujarnya.

Logam berharga


SALAH satu cara digunakan untuk menghasilkan aksesori daripada seni gubahan dawai.


Ketika ditebak soalan mengenai apakah keistimewaan Emi Kaz berbanding mereka yang menceburi seni gubahan dawai ini, Emi dengan yakin memberitahu, bahawa dia satu-satunya individu di Malaysia yang membuat seni gubahan dawai menggunakan dawai logam berharga.

Kerumitan menghasilkan sesuatu aksesori itu membuatkan ia mengambil masa yang lama.

Aksesori yang rumit mengambil masa seminggu sementara yang lain boleh disiapkan dalam masa empat hari sahaja, manakala aksesori yang mudah boleh disiapkan sebanyak enam unit dalam masa sehari.

Harga aksesori yang diperbuat daripada dawai logam dijual pada harga antara RM80 hingga RM300. Jualan dalam talian pula kebanyakannya dibeli oleh pelanggan dari Amerika Syarikat.

“Setiap kali membuat sesuatu aksesori itu, perasaannya berbeza-beza dan kerana itu jugalah ia tidak ada duplikasi, jika ada yang sama pun cuma 70 peratus persamaan.

“Jika berlaku sedikit kecacatan, saya akan buka balik apa yang telah dihasilkan kerana tiada istilah cincai dalam kamus hidup saya apabila menghasilkan sesuatu aksesori. Bagi saya, setiap aksesori yang dihasilkan itu menggambarkan siapa saya,” katanya sambil memberitahu seseorang yang mahu menjadi artis seni gubahan dawai perlu ada minat, kreativiti, kesabaran dan ketelitian.

Tambahnya, saki-baki dawai logam berharga tersebut tidak dibuang begitu sahaja kerana ia boleh dilebur untuk diguna semula.

Bagi meningkatkan kemahirannya dalam seni gubahan dawai, Emi sering menjadikan majalah sebagai sumber utama menjana idea-idea baharu. Dia sanggup membelanjakan antara RM30 hingga RM300 sebulan untuk membeli majalah yang berkaitan dengan seni gubahan dawai.

“Saya mahu buktikan walaupun melibatkan diri dalam bisnes ini, saya mampu mengukir nama dan dikenali melalui hasil kerja saya selain menyimpan cita-cita untuk membuka akademi seni gubahan dawai ini dalam tempoh sedekad.

“Buat masa ini saya hanya membuat aksesori untuk dihantar di beberapa kedai dan butik seperti Butik Kita-Kita selain sibuk membuat rekaan untuk koleksi terbaharu,” ujarnya yang memperoleh pendapatan antara RM2,500 hingga RM4,500 sebulan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: