BILA bercakap mengenai negeri Sabah pasti keindahan pulau dan pantainya terbayang di kotak fikiran sukar untuk dicari di Semenanjung Malaysia.
Industri pelancongannya pesat membangun dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini juga membuatkan reputasi Sabah sebagai salah satu destinasi eko-pelancongan melonjak naik.
Tempat-tempat seperti Tapak Warisan Dunia, Taman Kinabalu, Warisan Sabah dan gunung Kinabalu semuanya terletak disini.
Peluang menjejakkan kaki ke sana baru-baru ini atas tajaan AirAsia dengan kerjasama Jabatan Pelancongan Negeri Sabah meninggalkan pelbagai kenangan manis buat penulis.
Walaupun penerbangan daripada Tawau ke Kota Kinabalu sedikit mendebarkan akibat cuaca buruk tetapi keterujaan untuk menikmati keindahan Sabah tidak mati begitu sahaja.
Kepesatan pembangunan di Sabah juga cukup mengagumkan tetapi masih mengekalkan banyak warisan dan sarat dengan budaya mereka yang diwarisi turun temurun.
Kenali sejarah Sabah
Pertama kali menjejakkan kaki ke Kota kinabalu, program Heritage Walk adalah peluang terbaik bagi mengenali sejarah dan warisan negeri itu.
Menariknya mengenai program ini, peserta bukan sahaja diberi penerangan mengenai sejarah negeri itu tetapi juga dibawa berjalan kaki untuk melihat sendiri beberapa tapak yang masih kukuh untuk tatapan generasi akan datang.
Melalui Heritage Walk, selain melawat tapak sejarah, pelancong akan didedahkan dengan sejarah awal Sabah, maklumat mengenai peperangan dan era selepas kemerdekaan.
Sebuah buku panduan disertakan untuk setiap peserta, pemandu pelancong berpengalaman akan menerangkan dengan terperinci mengenai sejarah awal Sabah yang dulu dikenali sebagai Borneo Utara.
Bermula di Padang Merdeka, perjalanan mengambil masa hampir dua jam saiz kumpulan juga dihadkan kepada beberapa kumpulan kecil supaya penerangan lebih berkesan.
Antara peninggalan sejarah yang masih kekal di sana adalah seperti Menara Jam Atkinson, Australia Place, Pusat komuniti, Bangunan Pelancongan Sabah, Hotel Jesselton, Gaya Street, Taman Pocket, Malaysia Momumen, Bangunan Majlis Bandaraya dan Tapak Peringatan Peperangan Borneo Utara.
Tempat-tempat tersebut kini menjadi antara harta paling bernilai kerana tempat bersejarah lain telah banyak musnah akibat peperangan melanda.
Pada akhir perjalanan juga rombongan sempat singgah ke Muzium Kopitiam bagi menikmati kopi botol dan biskut yang pernah menjadi makanan rutin para tentera semasa memperjuangkan keamanan di negeri itu.
Di muzium itu juga sambil pengunjung menikmati makanan, terdapat juga pelbagai gambar dan info menarik mengenai Sabah yang boleh dipelajari. Gambar-gambar yang dipaparkan juga ada di antaranya tidak dapat dijumpai di tempat lain.
Harta karun di ‘Gaya Street’
Bagi mengelakkan semua peserta Heritage Walk berasa bosan, pemandu pelancong mengambil inisiatif untuk mengadakan pencarian harta karun di Gaya Street.
Di sepanjang lorong itu menempatkan bangunan-bangunan lama termasuk Hotel Jesselton yang pernah menjadi tempat penginapan oleh banyak pemimpin negara dan selebriti termasuk peninju terkenal, Mike Tyson.
Selain mencari harta karun tersembunyi di sepanjang jalan tertua di Kota Kinabalu itu, pelancong dapat mempelajari fakta-fakta sejarah dan beramah mesra dengan penduduk tempatan yang cukup ramah.
Pengalaman mencari harta karun di Sabah cukup menyeronokkan kerana semua peserta dapat bekerjasama antara satu sama lain bagi menyelesaikan tugasan.
Paling menarik diakhir pertandingan, peserta pertama berjaya menyelesaikan permainan menerima hadiah istimewa daripada penganjur.
Pasar Filipina syurga membeli-belah
Selain ‘Heritage Walk’ kunjungan ke Pasar Filipina adalah menjadi satu kemestian ketika berkunjung ke Kota Kinabalu kerana disana ia penuh dengan barangan yang bakal membuatkan pengunjung rambang mata.
Ia merupakan pasar paling terkenal di Bandaraya Kota Kinabalu. Terletak di Jalan Tun Fuad Stephen bertentangan dengan Kompleks Sinsuran, antara cenderamata dijual di sini adalah seperti mutiara, rantai, kerongsang, gelang, kain selain makanan ringan seperti amplang, kuih cincin dan sebagainya.
Dibuka pada awal tahun 70-an, ia pada asalnya terletak di kawasan Kampung Air dan pada tahun 1978 ia dipindahkan ke belakang bangunan Bank Negara sebelum dipindahkan ke bangunan Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).
Bangunan itu yang sebelum ini menjadi penempatan sementara pelarian warga Filipina melarikan diri ke Sabah sewaktu perang meletus di Selatan Filipina sekitar 1970-an.
Atas sebab itulah ia kekal sehingga ke hari ini dengan nama Pasar Filipina bagi mengenangkan pelarian yang pernah menetap di situ.
Penulis tidak ketinggalan mendapatkan beberapa barangan seperti cenderahati dan makanan kering seperti ikan kering, ikan bilis dan sebagainya.
Tawar menawar juga senang dilakukan dan penulis lebih bertuah kerana salah seorang peserta rombongan adalah anak kelahiran tempatan dan harga ditawarkan lebih jauh lebih murah.
Pelancong juga tidak perlu risau untuk membeli dalam kuantiti yang banyak kerana setiap peniaga akan memastikan ia dibungkus dengan baik dan sedia untuk terus dibawa pulang ke tempat asal.
gambar paling atas tu bukan bangunan lama sebenarnya bangunan itu bangunan baru cuma desgin nya bentuk bangunan lama
ReplyDelete