Friday, September 30, 2011

Pesta membakar 2,500 lemang


PESTA membakar lemang bakal menjadi acara tahunan di Pekan, Pahang.


JIKA penduduk Negeri Sembilan mengadakan pesta memantai bergotong-royong menyembelih haiwan ternakan setiap kali perayaan, berbeza pula di Pekan, Pahang apabila masyarakat di negeri itu membakar beribu batang lemang.

Lemang yang dibakar pula memiliki rasa yang seimbang antara lemak santan dan masin garam, bertambah enak apabila dicicah bersama rendang daging tradisi Pahang.

Bertempat di gugusan Felda Chini dekat Pekan, Pahang baru-baru ini, sebanyak 2,500 batang lemang dibakar serentak di atas bara api sepanjang lebih 30 meter.

Untuk menyiapkan 2,500 lemang tersebut, sebanyak 1,000 biji kelapa digunakan untuk diambil santannya, manakala beras pulut pula sebanyak 750 kilogram.

Bermula dengan menebang, memotong, membersihkan buluh, membilas beras pulut, memerah santan sehingga proses membakar lemang, semua dilakukan secara bersama oleh penduduk felda tersebut sejak pagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Datuk Abu Bakar Harun yang menganjurkan pesta lemang itu berkata, sekurang-kurangnya 2,000 batang lemang dibakar dalam acara itu pada setiap tahun.

"Dalam kegiatan kemasyarakatan seperti ini, kita lebih mengutamakan semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat dan ia berupaya menggalakkan orang ramai supaya menjalin perpaduan yang lebih bermakna.


ACARA membakar lemang dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk di Pekan, Kuantan dan Rompin, Pahang.


"Ia menjadi sesuatu (acara) yang ditunggu-tunggu oleh masyarakat di sini pada setiap kali penghujung musim perayaan Aidilfitri," kata beliau.

Meskipun kawasan membakar lemang kelihatan bara api menyala-nyala dan bahang api menggigit kulit, namun ia sedikit pun tidak menghalang penduduk untuk meneruskan aktiviti mereka.

Acara yang diselaraskan dengan konsep rumah terbuka itu bukan sahaja dimeriahkan oleh 2,000 penduduk di sekitar Chini, malah turut dihadiri oleh penduduk dari daerah-daerah berhampiran seperti Rompin dan Kuantan.

Lemang yang siap dibakar pula dimakan terus ketika masih panas oleh para pengunjung dan sebahagiannya pula dihidang dalam majlis rumah terbuka yang diadakan pada keesokan harinya.

Menurut seorang peneroka, Majid Mat, 48, acara sedemikian juga bukan bertujuan untuk makan-makan sahaja, bahkan dapat menyemarakkan semangat bekerjasama dalam kalangan masyarakat.

"Golongan muda-mudi belasan tahun pada hari ini kebanyakannya sudah tidak gemar acara bermasyarakat seperti ini walaupun ada juga belia yang hadir tetapi tidak ramai.

"Sebilangan mereka (belia) mungkin terlupa, acara seperti ini sebenarnya menjadikan kita saling mengenali dan bantu membantu tanpa mengira usia dalam hidup bermasyarakat," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: