Thursday, September 29, 2011

Angun & Gah Majlis Resepsi Persandingan Norman, Memey

KUALA LUMPUR: Malam kemuncak majlis resepsi kedua bagi meraikan pasangan pengantin baru Memey Suhaiza dan Norman Hakim berlangsung dengan meriah di Hotel Crowne Plaza Mutiara, di sini, malam Rabu.

Pada majlis yang berkonsepkan persandingan ala “New York Look” itu, Memey kelihatan anggun dengan pakaian berwarna putih rekaan empat pereka terpilih daripada jenama barangan kemas Rafflesia yang bernilai RM500,000.

Begitu juga dengan Norman, pelakon itu tampak segak bergaya dengan mengenakan sut bewarna hitam dengan nilai RM10,000 rekaan Lord’s Taylor.

Suasana dewan dihiasi dengan tema hitam dan putih sementara lantai dewan ditabur dengan kelopak bunga ros.

Bermula pada pukul 8.30 malam, pasangan mempelai tiba dengan iringan persembahan nyanyian kumpulan koir, RTeez.De.Chorale Choir.

Sepanjang berlangsungnya majlis yang dikendalikan oleh hos yang juga merupakan perunding perkahwinan, Billbora, pasangan pengantin dan tetamu turut dihiburkan dengan persembahan daripada penyanyi-penyanyi hebat seperti Fauziah Latiff, Azhar Osman, Amanda Imani dan Farhan.

Selain itu seramai 12 orang selebriti iaitu, Afiq Muiz, Fizz Fairuz, Didi Riyadi, Samuel Rizal, Miera Liyana, Julia Ziegler, Fathia dan Eina turut menjadi pengapit pasangan merpati dua sejoli itu.

Bagi acara potong kek pula, Memey mengenakan gaun pengantin rekaan Vera Wang rona tanah ala Bohemian manakala pasangannya memakai sut ‘tail coat’ bertemakan klasik yang ditaja oleh Lord’s Tailor.

Memey turut disaluti dengan aksesori barangan kemas daripada Rafflesia bernilai RM1 juta.

Pada majlis perkahwinan yang dianggap sebagai “Wedding of The Year”, ia turut dihadiri kira-kira 200 orang tetamu yang terdiri daripada pihak media dan selebriti.

Antara selebriti yang kelihatan seperti Kila Fairy, Nubhan, Marsha, Syafinaz Selamat, BKay, Fazley Zainal, Dynas Mokhtar, Sazzy Falak, Datuk Yusof Haslam, Datuk Chef Wan dan Ifa Raziah.

Pada 24 September lalu, Memey dan Norman telah diijabkabulkan di Felda Tenggaroh Selatan 1, Kota Tinggi, Johor dan sehari selepas itu majlis resepsi sebelah pengantin perempuan diadakan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: