SERIUS...Safee dikerumuni wartawan di KLIA, semalam.
“SAYA bukan pergi makan angin ke sana,” tegas penyerang sensasi Mohd Safee Sali, kurang senang dengan persepsi segelintir pihak yang menganggap kunjungannya ke Cardiff City bagi menjalani ujian percubaan selama dua minggu sebagai kerja sia-sia.
Malah dia yang tiba ke tanah air semalam juga menolak andaian dipergunakan pengurusan kelab Liga Kejuaraan itu untuk mendapat populariti di negara ini.
“Ini peluang yang amat bagus untuk saya, biarlah orang nak kata apa, janji saya dapat menjalani latihan di negara itu sudah dianggap satu penghargaan dan saya cukup berbangga. Saya bukan pergi makan angin ke sana.
“Saya rasa mereka tidak mengambil apa-apa kesempatan, sebab daripada reaksi pengurus Cardiff City (Malky Mackay), dia berminat dan terkejut dengan kemampuan pemain dari Malaysia. Bagi saya tawaran ini cukup berharga dan dapat menyertai latihan mereka adalah satu impian,” kata Safee sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur semalam.
Safee, 27, selesai menjalani ujian pemilihan selama dua minggu bermula 12 September lalu bersama Cardiff City dalam usahanya untuk melakar impian selaku pemain Malaysia pertama beraksi dalam kancah bola sepak Inggeris.
Namun ada yang menganggap ia sebagai kerja sia-sia memandangkan syarat ketat untuk pemain Asia untuk beraksi di United Kingdom khususnya membabitkan soal permit kerja.
Sehingga kini belum ada keputusan sama ada Safee berjaya ataupun tidak pada ujian pemilihan itu melainkan kenyataan Mackay yang mencadangkan supaya penyerang Pelita Jaya FC dari Indonesia itu mengikuti ujian sekali lagi selepas ini.
Ini kerana tempoh dua minggu ujian sebelum ini dianggap tidak cukup untuk Mackay membuat penilaian.
“Memang mungkin masa tidak cukup sebab saya tidak ada perlawanan persahabatan cuma hanya latihan. Mungkin mereka tidak puas melihat aksi saya ketika latihan dan saya harap dapat pergi ke sana lagi untuk membuktikan aksi sebenar,” kata Safee.
Dalam tempoh terdekat dia dijangka mengadakan pertemuan dengan pemilik kelab divisyen dua itu, Datuk Chan Tien Ghee bagi perbincangan lanjut.
“Selepas menjalani latihan dua minggu di sana memang ada tanda positif daripada pengurusan Cardiff City dan saya amat berminat untuk bermain di sana. Apa yang saya lihat, saya memang boleh bersaing di sana kerana boleh mengikuti latihan dan tidak berdepan masalah dengan cuaca. “Saya harap akan ada perkembangan positif dan berharap bukan saya seorang saja yang akan pergi menjalani ujian pemilihan sebaliknya pemain-pemain Malaysia yang lain jika diberi peluang oleh mana-mana kelab,” jelas Safee yang terus melapor diri bersama skuad kebangsaan semalam bagi persediaan menghadapi Australia dalam aksi persahabatan antarabangsa di Canberra, 7 Oktober ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: