Thursday, September 29, 2011

PM Thailand miliki kekayaan RM53.7 juta




BANGKOK - Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra (gambar) memiliki aset bersih berjumlah 541 juta baht (RM53.7 juta) sekali gus jauh kurang daripada kekayaan abangnya Thaksin, kata sebuah badan pencegah rasuah semalam.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Kebangsaan dalam laporannya menyatakan, anak lelaki Yingluck yang berusia sembilan tahun memiliki aset sebanyak 4.4 juta baht (RM449,233) manakala suaminya mengisytiharkan pemilikan aset berjumlah 76.8 juta baht (RM7.84 juta) bersama hutang sebanyak 369.7 juta baht (RM37.74 juta).

Yingluck yang memiliki aset termasuk hartanah dan pelaburan bukan merupakan anggota kabinet terkaya di Thailand.

Kedudukan tersebut adalah milik Menteri Sains dan Teknologi Plodprasop Suraswadi dengan aset berjumlah 963 juta baht (RM98.3 juta).

Sebelum menjadi Perdana Menteri, Yingluck merupakan Presiden firma hartanah Thailand, SC Asset Corp dan pernah memegang pelbagai jawatan dalam empayar perniagaan abangnya, Thaksin.

Pada Februari 2010, Mahkamah Tinggi Thailand merampas sejumlah AS$1.4 bilion (RM4.4 bilion) kekayaan Thaksin iaitu lebih separuh asetnya kerana dakwaan salah guna kuasa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: