Thursday, September 29, 2011

KL Ku tanpa prop, kurang bajet


RAJA Amy Shahril (kiri) dan Jihan Muse antara pelakon penting dalam KL ku.


SANGGAR Teater Fauziah Nawi atau Stefani Events kerap mementaskan teater sama ada yang berskala kecil mahupun besar di dalam dan luar negara sejak lebih 10 tahun yang lalu.

Sebagai aktivis yang sering berdepan masalah bajet dalam menganjurkan persembahan teater, dia tidak menjadikan faktor itu sebagai halangan. Tetapi pemiliknya Fauziah Nawi lebih mengutamakan mutu karya dan gaya lakonan para pelakonnya yang terbabit bersamanya.

Untuk pementasan terbarunya berjudul Kembang Layarku (KL Ku) yang akan dipentaskan di Stor Teater, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBKL), Kuala Lumpur mulai 3 hingga 8 Oktober ini pada pukul 9 malam, dia sekali lagi berdepan dengan masalah tersebut.

Menurut aktivis teater berusia 58 tahun ini, teater karya dan arahan Iryanda Mulia Ramly itu tidak menampilkan sebarang prop dan ia hanya menampilkan lima pelakon yang berbekalkan bakat bagi menghidupkan watak lakonan masing-masing.

"Stefani Events memang tidak ada banyak duit. Kami hanya bergantung pada kekuatan lakonan para pelakon dalam setiap pementasan yang kami anjurkan. Bagi saya bakat lebih penting.

"Bukan setakat pementasan di tempat kecil seperti Stor Teater yang boleh memuatkan tidak sampai 100 penonton, malah panggung Esplanade di Singapura juga memberi kepercayaan kepada kami kerana bakat berlakon.

"Saya telah mengadakan persembahan di Esplanade sebanyak dua kali dan memang tidak ada prop pentas yang hebat seperti pementasan teater komersial yang lain. Tetapi sambutannya tetap tidak menghampakan para penonton," katanya kepada Hits.

Dia membuka rahsia itu pada sidang akhbar pelancaran teater terbaru terbitannya itu yang membariskan lima pelakon iaitu Raja Amy Shahril, Ku Haris, Oreo, Jihan Muse dan Chi Azim yang mengenakan tiket berharga RM20 untuk pementasan tersebut.

Pelakon yang biasa melakonkan watak ibu dalam drama-drama televisyen ini menambah, dia pernah mendapat bajet yang besar dalam mementaskan teater tetapi akhirnya kelebihan itu belum memberi kepuasan sebenar kepadanya.

"Bagi saya prop cuma sekadar kosmetik di mana pengisian dalam sesebuah teater itu paling utama. Pada 2005 misalnya, saya pernah terbabit dalam pementasan teater berjudul Orang Kota Bharu karya S. Othman Kelantan di Panggung DBKL yang menelan kos RM200,000.

"Sedangkan ia tidak banyak membantu mutu pementasan teater itu. malah pada akhirnya setiap tenaga kerja teater itu cuma mendapat sekitar RM1,000 sahaja bayaran daripada pementasan tersebut," ungkapnya.

Sebagai pelakon drama, teater dan filem dia akan terus berusaha mengangkat pelbagai karya teater menerusi Stefani Events biarpun terpaksa bersaing dengan ramai lagi aktivis teater yang lebih muda dan aktif daripadanya dalam bidang tersebut.

Malah, Fauziah yang juga pelakon drama, filem dan teater terkenal tanah air itu pada masa sama enggan dilabelkan sebagai pelakon veteran biarpun lebih 30 tahun dia terbabit dalam bidang seni yang telah menjadi darah dagingnya itu.

Menurutnya yang juga pelakon dan pengarah berasal dari Ipoh, Perak itu, tiada istilah veteran dalam bidang lakonan kerana berlakon tidak seperti kerjaya lain yang mempunyai had masa tertentu. Paling penting baginya adalah bakat dan kesihatan yang baik.

"Dalam dunia ini hanya Malaysia sahaja yang melabelkan seseorang artis itu veteran apabila berusia lebih 50 tahun dan ke atas. Sedangkan negara-negara lain tiada istilah itu dan mereka terus berlakon walaupun sudah tua," ujarnya dalam nada serius.

Fauziah mengulas isu itu selepas dia diminta agar bernaung di bawah kategori artis veteran dalam Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) sebagai syarat sebelum namanya dicalonkan dalam Festival Filem Malaysia ke-24 nanti.

"Saya dicalonkan dalam kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi filem Susuk dalam festival filem itu. Sayangnya, sebelum dicalonkan saya mesti menjadi ahli Seniman dalam kategori artis veteran.

"Saya kurang setuju dengan syarat itu. Saya juga tidak setuju apabila dikategorikan sebagai artis veteran. Ia secara tidak langsung menjatuhkan reputasi saya sebagai artis kerana gelaran itu seolah-olah menggambarkan saya sudah tidak berdaya berlakon.

"Hakikatnya saya masih aktif dan mampu berlakon dan saya tidak mahu orang salah faham apabila mendapat gelaran tersebut," ujarnya mencadangkan agar gelaran veteran ditarik balik daripada dunia seni tempatan.

Sementara itu, Fauziah menjelaskan KL Ku yang mengambil durasi sekitar sejam mengisahkan tentang perjalanan manusia yang lazimnya memainkan peranan dalam kehidupan manusia-manusia yang lain. Sebarang pertanyaan sila hubungi talian 012-2429621 dan 017-3167995.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: