Wednesday, September 28, 2011

Aksi Empat Pelumba Malaysia Pada MotoGP Malaysia

EDISI ke-21 perlumbaan Grand Prix Motosikal (MotoGP) Shell Advance Malaysia 2011 semakin menjadi perhatian dengan kehadiran empat pelumba tempatan untuk bersaing bersama pelumba-pelumba handalan dunia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 21 hingga 23 Oktober ini.

Jika sebelum ini, peminat permotoran tanah air hanya memberi tumpuan kepada penunggang tunggal bagi kelas 125cc, Muhammad Zulfahmi Khairuddin, tetapi tahun ini SIC bakal digegarkan dengan kehadiran tiga lagi pelumba menerusi tiket wild card.

Bakal bergandingan dengan Fahmi musim ini ialah seorang lagi pelumba 125cc, Muhammad Farid Badrul Hisham yang telah mencipta nama pada kejohanan kebangsaan Malaysian Super Series (MSS). Dia juga dipilih berdasarkan sesi ujian di Oulton Park dengan mencatat keputusan terbaik catatan bagi kategori ini.

Farid, 18, kini beraksi pada Kejohanan British Superbike 600cc bersama pasukan Aztec GP Team akan mempamerkan kemahirannya di Silverstone dan Brand Hatch pada 9 Oktober sebelum kembali ke tanah air untuk latihan intensif menggunakan jentera Aprilia yang akan ditunggang pada perlumbaan di SIC nanti.

Stoner antara pelumba yang akan menjadi perhatian di Litar Antarabangsa Sepang, bulan depan.

Sementara itu, dua lagi tempat bakal diisi oleh dua pelumba dalam kategori Moto2 yang menyaksikan tahun lalu, pelumba pasukan Petronas SIC TWMR Malaysia, Mohamad Zamri Baba berjaya mendapat tiket untuk beraksi bagi kategori ini.

Bagaimanapun, nasib Zamri tahun ini masih belum selamat memandangkan ada dua lagi pelumba yang bersaing untuk merebut dua kedudukan teratas bagi kategori ini iaitu, Azlan Shah Kamaruzaman (Boon Siew Honda Racing Malaysia) dan Hafizh Syahrin Abdullah dari pasukan Petronas Synthium Moto Yamaha Raceline.

“Berdasarkan ujian sebelum ini, saya berpuas hati kerana berjaya mencatat keputusan lebih baik berbanding tahun lalu. Namun saya sedar untuk mendapat tiket sebagai pelumba Petronas belum terjamin kerana saya perlu bersaing dengan dua lagi pelumba yang turut berusaha keras untuk mendapat tiket ini.

“Pun begitu saya yakin dengan latihan dan persiapan sebelum aksi kelayakan terakhir awal bulan depan, saya yakin nama saya akan terpilih,” kata Zamri kepada Mingguan mStar.

Zamri turut dicabar dua lagi pelumba tempatan untuk mendapatkan tiket wild card bagi kategori Moto2.

Sementara itu, Azlan turut menaruh harapan tinggi untuk beraksi dalam kategori Moto2 ini dan akan memberi aksi terbaik pada sesi kelayakan nanti.

“Ini peluang terakhir saya dan pastinya saya akan berusaha untuk mendapat salah satu tempat dalam kategori ini. Sedar dengan persaingan sengit ini, saya lebihkan waktu latihan untuk membaiki corak tunggangan kerana ia agak berbeza dengan jentera bagi perlumbaan lain,” katanya.

Manakala, pelumba muda, Hafidz turut berharap namanya akan terpilih biar pun berhadapan dengan dua pelumba yang lebih berpengalaman ini.

Keputusan dua pelumba yang akan memegang tiket ini bakal diketahui pada 5 oktober nanti selepas ujian kelayakan terakhir yang akan berlangsung pada 26 hingga 28 September ini.

Selain pelumba tempatan yang bakal mencuri tumpuan penonton, sudah pasti aksi-aksi pelumba dunia menjadi tarikan utama di SIC terutama Casey Stoner (Australia) yang kini mengumpul 284 mata, meninggalkan pencabar terdekat Jorge Lorenzo dari Sepanyol (240 mata).

Pusingan ke-16 daripada 17 pusingan ini juga bakal menjadi pertemuan terakhir dengan pelumba Itali, Loris Capirossi yang telah mengumumkan persaraannya pada saingan di San Marino awal bulan ini.

Capirossi dilabelkan sebagai pelumba berpengalaman dalam MotoGP dengan 22 musim kejuaraan dan telah dinobatkan sebagai juara dalam semua kategori selain daripada Rossi.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Ahmad Razlan Ahmad Razali berkata, dengan penambahan aksi pelumba tempatan, pihaknya menjangkakan kehadiran penonton selama tiga hari itu lebih daripada jumlah tahun lalu.

“Tahun lalu seramai 105,000 penonton hadir memenuhi litar yang menyaksikan Jorge Lorendo dinobatkan sebagai juara untuk kali pertama. Saya yakin tahun ini rekod itu akan berubah kerana pelbagai faktor.

Razlan yakin kehadiran penonton menyaksikan perlumbaan MotoGP Malaysia di Litar Sepang tahun ini bakal meningkat daripada jumlah tahun lalu.

“Saya mensasarkan kehadiran penonton akan mencecah 65,000 pada perlumbaan hari Ahad berdasarkan penjualan tikat setakat ini, manakala untuk tiga hari perlumbaan kami yakin akan mencatat 110,000 pengunjung,” katanya.

Razlan berkata, sasaran ini juga amat realistik kerana pasukan negara bakal diserikan dengan empat pelumba wild card termasuk Fahmi yang telah mempamerkan aksi terbaik pada perlumbaan sebelum ini.

“Fahmi beraksi di luar jangkaan musim ini selepas mengutip 20 mata dan sekarang di kedudukan ke-17 dalam kategori 125cc dan saya yakin dia akan memberi persembahan terbaik di depan peminat sendiri bulan depan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: