|
SELAIN rancangan Masterchef versi Malaysia yang akan disiarkan tidak lama lagi, sebenarnya terdapat beberapa lagi rancangan masakan bersifat realiti yang sememangnya cukup popular di seluruh dunia.
Sama seperti rancangan Masterchef, ada di antara rancangan tersebut bukan sahaja mendapat perhatian ramai di negara asal ia dihasilkan, tetapi turut dihasilkan untuk versi di beberapa buah negara yang lain.
Berikut adalah beberapa rancangan masakan yang menggunakan tema realiti TV yang telah mencuri minat audiens yang berasa program realiti masakan mempunyai 'seni' tersendiri terutama dari segi penyediaan kulinari itu sendiri selain cuba mencuri resipi secara percuma untuk dipraktik di rumah sebagai menu baharu.
1. Top Chef
Rancangan Top Chef adalah sebuah rancangan realiti TV masakan yang sememangnya mendapat sambutan yang menggalakkan di Amerika Syarikat dan sehingga kini sudah bersiaran sehingga musim yang ke-9.
Berbanding dengan rancangan Masterchef di mana para pesertanya adalah bertaraf amatur, untuk rancangan Top Chef pula peserta terdiri daripada kalangan mereka yang sudah bergelar chef dan mereka turut diberi gelaran sebagai 'cheftestant.'
Mula disiarkan pada tahun 2006, setiap peserta yang menyertai rancangan adalah merupakan chef-chef yang dipilih di serata negeri di Amerika Syarikat untuk bertanding sesama sendiri bagi merebut gelaran Top Chef.
Dua orang juri yang merupakan chef terkenal iaitu Tom Colicchio dan Gail Simmons yang merupakan seorang pengkritik pemakanan yang bekerja di syarikat majalah Food & Wine telah dipilih untuk mengadili peserta.
Sepanjang sembilan musim, rancangan berkenaan juga turut dilakukan di beberapa buah negeri seperti San Fransisco, Los Angeles, Miami, Chicago, New York, Las Vegas, Washington DC dan Texas.
|
|
Jika pada musim pertama membabitkan chef seramai 12 orang, peserta musim-musim yang berikutnya mengalami peningkatan dari jumlah peserta. Untuk musim yang kesembilan pula membabitkan seramai 29 peserta dan akan bermula pada 2 November ini.
2. Iron Chef
Tidak keterlaluan sekiranya dikatakan bahawa Iron Chef adalah rancangan masakan cukup popular. Ia merupakan rancangan yang berasal dari negara Jepun dan mula menemui penonton pada tahun 1993, tetapi ia telah pun berakhir pada tahun 1999.
Pada asalnya, ia adalah sebuah rancangan masakan biasa, di mana beberapa orang chef telah dipilih untuk memasak sesuatu hidangan dalam tempoh yang ditetapkan selama satu jam dengan menggunakan bahan-bahan masakan rahsia.
Setelah menghentikan siaran, pada tahun 2001 sebuah saluran televisyen di Amerika Syarikat iaitu UPN telah mengadaptasi program masakan yang sama dan dikenali sebagai Iron Chef USA. Namun begitu rancangan tersebut kurang mendapat sambutan dan dihentikan siarannya setelah baru dua episod ke udara.
Kemudian empat tahun selepas itu rancangan tersebut sekali lagi diadaptasikan dan telah dikenali sebagai Iron Chef America dan menggunakan format realiti TV dan berbentuk pertandingan.
Dengan mengekalkan tema yang sama seperti rancangan asal, Iron Chef America membabitkan pertandingan dua orang chef yang akan bersaing dengan menggunakan bahan masakan rahsia dan perlu memasak dalam tempoh sejam. Menariknya, setiap chef yang bertanding mempunyai bidang kepakaran dalam masakan tertentu.
Sehingga kini, rancangan berkenaan telah ke udara sebanyak 160 episod dan dihoskan oleh pelakon aksi terkenal iaitu Marc Dacascos. Malah, pelakon itu dikatakan adalah anak saudara kepada hos rancangan Iron Chef yang asal iaitu Takeshi Kaga.
3. Hell's Kitchen
Kepada sesiapa yang meminati rancangan The Apprentice yang diperkenalkan oleh Donald Trumph, pastinya mereka akan turut meminati rancangan Hell's Kitchen kerana ia menggunakan format yang hampir sama.
Dalam rancangan Hell's Kitchen yang dihasil dan dihoskan oleh chef selebriti terkenal iaitu Gordon Ramsay, setiap peserta akan dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu kumpulan merah dan kumpulan biru yang dianggotai antara enam hingga sembilan peserta.
Kedua-dua kumpulan akan saling bekerjasama dan diberikan tugas untuk memasak hidangan-hidangan tertentu. Kepada kumpulan yang menang akan diberi ganjaran, manakala kumpulan yang tewas pula berdepan risiko kehilangan ahli kumpulan yang akan disingkirkan.
Apa yang menarik tentang rancangan ini adalah melihat kepada telatah setiap peserta yang sering bertelingkah sesama sendiri di dalam kumpulan yang sama serta sikap Gordon sendiri yang terlalu cerewet dan gemar memaki hamun peserta yang membuat kesilapan tenyata mewarnai lagi rancangan tersebut.
Sudah ke udara sebanyak sembilan musim, rancangan tersebut turut mendapat sambutan yang menggalakkan dan pernah tercalon untuk kategori rancangan Realiti TV Pilihan di acara People's Choice Awards 2011 dan Gordon juga turut tercalon dalam kategori Pengacara TV Pilihan.
4. Junior MasterChef Australia
Berbanding dengan rancangan realiti tv masakan yang sedia ada, ternyata rancangan Junior MasterChef Australia menampilkan kelainan apabila menampilkan peserta di kalangan kanak-kanak.
Memulakan siaran pada tahun 2010, ternyata sambutan untuk rancangan sangat luar biasa apabila menerima hampir 5,500 penyertaan, namun hanya 50 peserta sahaja yang dipilih iaitu di antara usia lapan sehingga 12 tahun.
Pada pertandingan yang sebenar, 50 peserta yang bertanding akan dibahagikan kepada lima kumpulan. Kemudian semua peserta akan bersaing dan juri hanya akan memilih empat peserta terbaik pada setiap kumpulan.
Dengan hanya 20 peserta yang bertanding, mereka akan berdepan dengan dua cabaran besar dan lapan orang peserta lagi akan disingkirkan dan tinggal 12 peserta yang akan meneruskan cabaran ke peringkat akhir.
Ternyata tuah telah memihak kepada peserta berusia 12 tahun iaitu Isabella Bliss apabila menjadi peserta pertama yang muncul juara pada tahun lalu. Rancangan Junior Masterchef Australia musim kedua telah pun bermula pada 25 September yang lalu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: