Hasrat kerajaan untuk membantu industri perfileman mendapat respons begitu memberangsangkan. Menerusi Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) satu dana khas ditubuhkan. Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN) memperuntukkan RM200 juta dilihat sebagai pemangkin dan membuka ruang kepada kelompok masyarakat berbakat terutama generasi muda untuk berkarya sama ada dalam aspek multimedia, seni budaya atau warisan budaya dalam menghasilkan sesuatu yang kreatif. Dana ini merangkumi penerbitan filem, muzik, animasi, pembangunan dan aktiviti-aktiviti seni yang berkaitan.
Bagi memperhalusi skop perbincangan, ZASS menerusi kolum Interaksi Seni ini, ingin membincangkan mengenai dana perfileman yang mana selalu menjadi rungutan para penerbit dan pengarah di negara kita. Sejak dulu lagi, isu ini selalu dibangkitkan. Bagi penerbit yang boleh dikategorikan dalam kelas A, ia mungkin tidak menjadi bebanan untuk mereka. Malah mereka juga dikatakan orang yang paling mudah untuk mendapatkan dana. Mungkin kerana berpengaruh, mereka mudah menembusi dana itu.
Kelas B pula perlu melalui beberapa proses tapisan sebelum filem mereka mendapat tanda lulus permohonan. Namun mereka ada potensi untuk mendapatkan dana itu berdasarkan kredibiliti dan kejayaan mereka menghasilkan beberapa filem sebelum itu.
Namun berbeza dengan penerbit Kelas C yang selalunya kurang bernasib baik dalam 'permainan' ini. Mereka dalam kategori ini biasanya orang yang baru ingin mencuba nasib atau ingin bergelar penerbit. Sudahlah tiada pengaruh, tiada pula pengalaman. Maka tidak hairanlah mereka sukar mendapat kerjasama daripada pihak bank mahupun KPKK sendiri.
Situasi ini pastinya tidak adil bagi mereka yang benar-benar ingin berkarya. Apakah sebenarnya kriteria yang diperuntukkan oleh pemegang dana ini untuk meluluskan sesebuah permohonan. Adakah memerlukan nama-nama popular menghiasi sesebuah filem? Atau syarikat penerbitan perlu mempunyai aset yang bernilai jutaan ringgit? Atau dana ini diperuntukkan untuk sesebuah karya yang begitu terkesan kepada masyarakat?
Ada dalang
di sebalik dana
- Nik Nor Ashikin
Nik Abdul Majid
Bagi penerbit filem Bravo 5, Nik Nor Ashikin Nik Abdul Majid permohonan dana untuk filemnya ditolak dengan alasan yang tidak relevan. Filem Bravo 5 mendapat sokongan daripada Kementerian Pertahanan serta menterinya dikatakan tiada potensi untuk mendapat pulangan modal mahupun keuntungan.
“Saya akui, filem ini bukan filem komersial tetapi filem kenegaraan dan patriotik. Ia memfokuskan kehidupan komando.
"Sudah pasti filem patriotik tidak boleh untung di pawagam. Tetapi filem sebegini mendapat pulangan berdasarkan tayangan amal.
“Pihak Kementerian Pertahanan ada memberikan saya senarai tayangan amal. Ini menguatkan azam saya. Namun apabila pihak bank memberi alasan, saya terkejut dan rasa tidak wajar,” katanya.
Tambahnya, ketika permohonan dibuat, syarikatnya Karya Prima Productions tidak ada masalah hutang dan apa sahaja senarai hitam di bank.
Namun apabila dana tidak diluluskan, pihaknya mengalami kerugian RM500,000 apabila semua kelengkapan dan set telah diuruskan bersama Kementerian Pertahanan.
“Bukan Karya Prima sahaja mengalami masalah dan kesukaran yang sama, malah pernah juga mendengar beberapa rakan lain mengadu perkara yang sama.
Katanya lagi, beberapa hari selepas dimaklumkan mengenai perkara itu, salah seorang ahli panel yang menilai skrip saya bertemunya dan minta Nor menjual skrip Bravo 5 dengan harga RM300,000.
"Bukan hanya mahu membeli malah dia minta saya berhenti menerbitkan filem dan tumpukan pada kerjaya lain. Saya hairan, mengapa dia mahu membeli skrip saya sedangkan katanya filem ini tidak dapat pulangan jika ditayangkan? Dia juga mohon saya tutup mulut setelah jual beli terlaksana.
"Saya berang mendengar kata-katanya. Saya akan simpan skrip saya sekiranya saya tidak dapat terbitkan sendiri. Saya tidak akan menjualnya kepada sesiapa," katanya dengan nada pelik mengenai ahli panel yang dilantik untuk menilai sesebuah skrip.
Nor berharap pihak KPKK perlu lebih peka dalam hal sebegini dan mohon DIKN digubal dan diteliti semula peranannya sekiranya benar mahu membantu penerbit tempatan.
"Biarpun dana saya tidak diluluskan, saya masih meneruskan usaha untuk filem ini apabila mendapat kerjasama daripada Koperasi Bahagian Tentera Pulau Pinang (Berhad) yang juga penerbit bersama filem ini.
“Alhamdulillah, mereka memberi sepenuh komitmen kerana tahu bahawa filem berkonsepkan patriotik masih kurang diterbitkan. Mereka mengambil inisiatif untuk bekerjasama menjayakan Bravo 5,” katanya yang sudah berkecimpung dalam industri hiburan sejak 20 tahun lalu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: