Datuk Siti Nurhaliza akhirnya berjaya melancarkan album penuh berbahasa Inggeris. Kelahiran album All Your Love itu juga membuatkan dia sangat teruja kerana telah lama menyimpan hasrat ke arah itu. Akhirnya syarikat yang ditubuhkan oleh anak tirinya, Adib Khalid, What's Up Entertainment yang berjaya merealisasikan impian yang telah lama disimpan penyanyi No. 1 Malaysia itu. Bukan sekadar mahu memberi peluang kepada Adib yang tiba-tiba menyatakan hasrat terlibat dalam industri hiburan, sebaliknya Siti mencabar diri dan memberi kepercayaan kepada syarikat yang didokong oleh tenaga muda. Dia mahu menggunakan tenaga muda dalam memasarkan produk seni terbarunya itu."Kalau tanya saya sejak dulu... apakah impian yang belum terlaksana, saya pernah mengatakan mahu merakam album Inggeris. Nampaknya rezeki saya datang bersama Adib. Telah lama saya impikan dan baru sekarang ia menjadi kenyataan," kata Siti. Kalau sebelum ini Siti selalu dikririk kerana ketidakupayaannya menguasai Bahasa Inggeris, tapi hari ini dia sudah memiliki sebuah album berbahasa Inggeris. Dia juga tidak mahu menjadi `orang putih' bila merakamkannya sebaliknya masih mahu mengekalkan identiti Melayu. "Saya tidak cuba menyanyi seperti orang lain. Nyanyian saya masih ada loghat Melayu. Saya tak nampak ia sebagai kesalahan. Kalau kita dengar nyanyian Syakira atau Celine Dion... ada loghat mereka masing-masing," kata Siti kepada media pada majlis pelancaran album All Your Love di Kuala Lumpur baru-baru ini. Dia juga mendapat panduan daripada penerbit pasal sebutan khususnya apabila ada bait yang memerlukan dia memendek atau mempercepatkan nyanyian. Setakat ini album itu dipasarkan di Malaysia dahulu oleh Warner Music Malaysia. Baru beberapa lama dipasarkan, album itu sudah diulang cetak kali kedua. Sebanyak 3,000 unit cetakan pertama sudah habis di pasaran. Ia menandakan sambutan baik, apatah lagi keadaan pasaran muzik yang membimbangkan hari ini. "Saya dapat feedback yang bagus apabila ada peminat baru di kalangan bukan Melayu yang menyukai lagu-lagu saya," kata Siti lagi. Duet Sean Kingston Siti juga berpeluang merakam lagu duet bersama penyanyi antararabangsa dari Amerika, Sean Kingston menerusi lagu Remember You. Ia memberi kekuatan kepada album tersebut. Ia hasil hubungan yang ada di antara karyawan yang terlibat dalam album itu.Album tersebut menggunakan khidmat penerbit dari Australia, Bryan Bouro. Rata-rata lagu ditulis oleh Christian Alexander dan Bryan Bouro sendiri. Album itu juga mendapat khidmat juruadun Richard Furch yang pernah bekerjasama dalam album Prince, Macy Gray, Usher, Whitney Houston dan ramai lagi. Juru mastering yang terlibat pula Eddie Schreyer yang pernah terlibat dalam album Lady Gaga, Kenya West dan ramai lagi. Pastinya kos besar dikeluarkan untuk menerbitkan album ini. "Memang kosnya lebih tinggi daripada penerbitan album saya sebelum ini, tapi bab kos bukan urusan saya," kata Siti. Adib juga enggan menguar-uarkan kos yang dikeluarkan untuk menerbitkan album Siti. Namun pihaknya akan berusaha memasarkan album tersebut ke pasaran luar mengikut peringkat demi peringkat. "Sekarang kami pasarkan di Malaysia dulu, kami juga sedang berbincang dengan pihak di Indonesia untuk membawa album ini ke sana. Kami juga ada kerjasama untuk memasarkan album ini secara belian online yang sudah boleh ditempah untuk ke seluruh dunia," jelas Adib. |
Wednesday, September 28, 2011
Siti teruja lancar album Inggeris
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: