Thursday, September 29, 2011

Vokal tak perlu pakej


(Dari kiri) Faizal Uzir, Adzwa Saini, Azmeer, Erra Fazira, Faizal Ismail, Prof. Izzi dan Simran Latif yang terlibat sebagai tenaga pengajar dan juri dalam program Vokal.


TAMPIL dengan kelainan, program realiti televisyen terbaru TV3, Vokal... Bukan Sekadar Rupa (Vokal), bakal membuka peluang kepada orang ramai untuk mengetengahkan bakat mereka walaupun tidak mempunyai pakej lengkap sebagai seorang penghibur.

Menurut penerbit eksekutif program tersebut, Muhamad Sufian Che Isa, program realiti tersebut diwujudkan bagi mengubah tanggapan orang ramai terhadap kebanyakan program realiti yang hanya mementingkan paras rupa.

“Vokal adalah program realiti TV yang mempunyai identiti tersendiri, di mana kami mementingkan kualiti vokal peserta dan bukannya paras rupa.

“Kami ingin membuktikan bahawa program ini mampu mengubah persepsi masyarakat yang menganggap kebanyakan program nyanyian realiti banyak bergantung kepada pakej yang dimiliki artis tersebut.

“Jadi, Vokal merupakan platform yang tepat bagi mereka yang tidak mempunyai pakej lengkap namun mempunyai vokal yang baik,” katanya pada sidang akhbar menguar-uarkan tentang program terbaru, Vokal, baru-baru ini.

Vokal menampilkan Faizal Ismail sebagai pengacara manakala komposer tanah air, Azmeer dan aktres dan penyanyi popular, Erra Fazira bertindak sebagai juri tetap program tersebut.

Vokal akan mula disiarkan di TV3 setiap Ahad, pukul 9 malam, mulai 16 Oktober ini. Seramai 10 peserta akan beradu nasib di sembilan konsert sebelum layak melangkah ke peringkat akhir.

Juara akan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM50,000.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: