SERINGKALI kita mendengar ungkapan teknologi hijau, penjimatan tenaga dan istilah-istilah dalam bidang sains alam sekitar yang adakalanya sukar disebut, apatah lagi difahami.
Disebabkan alam sekitar dan manusia saling memerlukan, cukup membimbangkan jika istilah-istilah tersebut terus dianggap sukar sehingga tiada inisiatif untuk memahaminya.
Tanpa kesedaran dan pemahaman tentang kepentingan menjaga alam sekitar, generasi akan datang tidak akan berpeluang menikmati kehidupan sihat seperti yang kita dikecapi hari ini.
Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Denmark pada 2009 untuk mengurangkan 40 peratus pengeluaran karbon dioksida menjelang tahun 2020 merupakan langkah bijak kerajaan dan menunjukkan komitmen negara dalam menangani isu alam sekitar di peringkat global.
Penstrukturan semula Pusat Tenaga Malaysia (PTM) dan ditukar menjadi Malaysian Green Technology Corporation (Greentech Malaysia) merupakan kesinambungan dan langkah susulan daripada pengumuman tersebut.
“Bangunan ini menjadi penting bagi negara kerana diiktiraf sebagai ‘bangunan hijau’ pertama di Malaysia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Greentech Malaysia, Dr Nazily Mohd Noor kepada Mingguan mStar.
Melangkah masuk ke kawasan bangunan Green Energy Office (GEO) yang terletak di Bangi ini, suasana damai dan segar dapat dirasai kerana lebih daripada 50 peratus kawasan ini dilitupi tanaman hijau.
Suasana di bahagian dalam bangunan juga lebih tenang dan terang dengan refleksi pencahayaan matahari secara langsung yang masuk ke dalam bangunan.
Menurut Dr Nazily, tenaga elektrik sebenar di bangunan berkeluasan 4,800 kaki persegi ini hanya digunakan pada waktu-waktu tertentu seperti pada waktu malam, cuaca gelap atau hari hujan.
Malah, produk yang digunakan seperti lampu juga merupakan jenis jimat tenaga.
“40 peratus daripada penggunaan tenaga elektrik di sini adalah dari tenaga solar yang dikumpul menggunakan sistem solar photovoltaic (PV) di bahagian bumbung.
“Ini sangat menjimatkan kerana dalam sebulan kita cuma perlu bayar RM50 hingga RM60 sahaja untuk bil elektrik,” katanya.
‘Sungai’ di bumbung
Bumbung bangunan GEO bertindak sebagai kawasan tadahan hujan dan mempunyai sistem yang hampir sama dengan sebatang sungai.
“Air hujan yang ditadah kita gunakan untuk siram pokok bunga dan untuk kegunaan harian,” ujarnya.
Pertama di Asia Tenggara, bumbung yang dipanggil ‘The River Roof’ ini juga berfungsi sebagai penyejuk dan pemanas sistem singki bangunan.
“Saluran air yang mengalir hampir sama dengan sungai yang menyah-haba kepada suhu persekitaran sebenar,” katanya sambil memberitahu bumbung ini turut bertindak sebagai penjana tenaga.
Rekaan dan teknologi penjimatan tenaga serta memulihara alam sekitar ini kebanyakannya dibawa masuk dari negara seperti Jerman, Australia, Belgium dan Jepun.
Kawal suhu jimat tenaga
Bagi memberi lebih penjimatan, suhu di keseluruhan ruang bangunan ini turut dikawal secara teknikal dan fizikal.
Tidak hairanlah mengapa suhu di segenap ruang dalam bangunan ini begitu selesa, tidak terlalu panas dan tidak pula terlalu sejuk.
Dr Nazily berkata, pendingin hawa masih digunakan, tetapi menggunakan suhu tinggi kerana apabila suhu dilaraskan ke tahap rendah, semakin banyak tenaga diperlukan.
“Sama ada di dinding batu atau cermin, terdapat material khas di bahagian tengah yang berfungsi sebagai penebat suhu.
“Walau cuaca terik, suhu dalam bangunan ini tetap sejuk tanpa perlu merendahkan suhu pendingin hawa kerana penebat telah menyerap haba tersebut,” katanya.
Direka khas dan dilengkapi Indeks Tenaga Bangunan (BEI) dengan kadar tenaga sebanyak 65kWh/m2tahun berbanding bangunan konvensional sebanyak 250-300kWh/2tahun, strategi binaan bangunan ini terbukti menggunakan tenaga secara efisyen.
Gaya kerja sihat, menjimatkan
Dari segi cara kerja, pekerja di bangunan ini dilatih untuk mengamalkan gaya kerja sihat dan menjimatkan.
“Untuk ke tingkat atas, pekerja dan tetamu perlu menaiki tangga, bukan lif,” katanya.
Pun begitu, Dr Nazily berkata lif tetap disediakan di bangunan ini, tetapi sengaja diletakkan tersembunyi dan tidak dapat dilihat.
“Secara tak langsung, mereka perlu menaiki tangga. Ia merupakan satu senaman dan dapat menjimatkan tenaga,” ujarnya.
Selain itu, penggunaan kertas kitar semula juga diamalkan di sini.
“Kita akan cetak dokumen ikut keperluan. Kalau tak penting, tak perlu cetak,” katanya.
Semua pekerja juga perlu menggunakan komputer riba kerana tenaga yang diperlukan adalah lebih rendah berbanding komputer biasa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: