KUALA LUMPUR 14 Sept. - Kemasukan pelajar lelaki ke universiti boleh ditingkatkan dengan mewujudkan pelbagai program bagi menarik minat dan membakar semangat mereka untuk belajar bersungguh-sungguh.
Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, berkata, program seperti Selangkah Ke Universiti anjuran Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) boleh memberi motivasi kepada pelajar lelaki untuk melanjutkan pelajaran ke universiti.
Selaku Yang Dipertua Bakti, beliau menyampaikan rasa prihatin badan itu terhadap fenomena tersebut justeru salah satu objektif program anjuran pihaknya adalah untuk memberi peluang kepada lebih ramai pelajar lelaki mengikutinya.
"Tujuan kita adalah bagi mengimbangi jurang kemasukan ke universiti antara pelajar lelaki dengan perempuan," katanya ketika berucap melancarkan program Selangkah Ke Universiti di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Malaya (UM), di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar; Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah dan Naib Canselor UM, Tan Sri Dr. Ghauth Jasmon.
Program sehari yang kali kedua dianjurkan oleh Bakti dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi disertai 520 pelajar tingkatan empat dari 14 kawasan Parlimen di sekitar Selangor dan Wilayah Persekutuan.
Menurut Rosmah, kejayaan program tersebut yang menarik minat seramai 3,120 pelajar pada tahun lalu dengan penglibatan 14 universiti tempatan memberi keyakinan kepada Bakti untuk meneruskannya.
Malah kata beliau, pada tahun ini Bakti menyasarkan penyertaan sehingga 4,000 pelajar dari 380 sekolah seluruh negara.
"Selain memberi pendedahan kepada kehidupan sebenar seorang mahasiswa, harapan Bakti agar program ini menjadi pendorong dan pembakar semangat peserta untuk berusaha lebih tekun agar dapat menjejakkan kaki ke universiti," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: