KETIKA artikel ini ditulis, Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatatkan bacaan sederhana di 30 bandar di seluruh negara.
Namun di sesetengah tempat seperti di Tanjung Malim, Perak, kualiti udara yang dicatatkan adalah pada paras tidak sihat apabila IPU meningkat sehingga 105.
Apabila dikaitkan dengan pencemaran udara dan jerebu, dua masalah kesihatan iaitu pernafasan dan alahan kulit memang sukar dielak.
Bagi orang dewasa yang mempunyai daya ketahanan badan atau imuniti lebih tinggi, sistem mekanisme badannya mungkin boleh menangkis penyakit bawaan jerebu itu. Namun tidak bagi kanak-kanak.
Sebab itu bukan sesuatu yang menghairankan jika klinik, hospital kerajaan dan swasta menerima banyak kes di kalangan kanak-kanak berkaitan dua masalah tersebut.
Pakar kanak-kanak dari Pusat Perubatan Taman Desa, Dr. Eric Lee Kim Hor berkata, memang banyak kes berkaitan masalah alahan dan pernafasan dilaporkan di kalangan kanak-kanak yang dimasukan ke wad kecemasan akibat pernafasan dan batuk setiap kali berlakunya jerebu.
Malah ketika negara dilanda jerebu paling teruk sekitar tahun 1997 dulu jumlah kes berkaitan alahan pernafasan dan kulit telah meningkat lebih kurang 20 peratus.
Ini kerana kedua-dua masalah tersebut amat sensitif dengan perubahan kualiti udara persekitaran mereka.
"Secara umum alahan sebenarnya satu subjek yang besar, umpama satu segi tiga yang ada dalamnya ialah asma, alergi rhinitis (sinus) dan ekzema.
"Penyebabnya adalah satu saja iaitu Ige sejenis imuniti yang ada dalam badan manusia.
"Biasanya bagi kes alahan, satu hingga tiga bayi yang baru dilahirkan akan mengalaminya. Ia mungkin akan lebih buruk kepada bayi yang tidak menyusu badan kerana sistem imuniti badan yang rendah," jelasnya yang ditemui di kliniknya baru-baru ini.
Menurut Dr. Eric, ibu bapa perlu dari semasa ke semasa memantau keadaan anak mereka apatah lagi dalam keadaan udara yang tercemar seperti jerebu.
Anak-anak perlu dibawa berjumpa doktor untuk mengenal pasti sama ada mereka mempunyai penyakit asma atau ekzema dan resdung kerana tiga penyakit itu amat berkaitan.
"Jika dilihat, alahan yang berlaku pada kanak-kanak sebenarnya bersifat sementara. Memang banyak kes alahan di kalangan kanak-kanak yang pulih dalam masa dua hingga tiga bulan sahaja.
"Mungkin yang akan kekal ialah resdung sahaja. Dalam kes yang teruk mungkin alahan akan bertukar kepada lelah," katanya.
Dr. Eric mengingatkan bahawa ibu bapa perlu peka dengan keadaan anak, kerana lelah dan batuk adalah dua perkara yang berbeza.
"Salah satu cara untuk mengenal pasti sama ada anak lelah atau tidak ialah dengan mendengar pernafasan mereka iaitu pernafasan mereka berbunyi.
"Katakan jika sudah diberi ubat pun masih batuk, mungkin anak anda sudah dijangkiti virus. Biasanya apabila anak mencecah umur tiga tahun imunisasi mereka akan meningkat dan sekali gus mengurangkan risiko untuk terkena penyakit tersebut dengan lebih kerap lagi," ujarnya.
Bagi masalah ekzema pula, kata Dr. Eric, alahan itu tidak boleh dipulihkan namun boleh dikawal.
Kawalannya pula bergantung kepada apa yang menjadi penyebab masalah tersebut.
"Jika rumah, maka kena pastikan semuanya bersih supaya anak tidak mendapat serangan kegatalan kulit yang kronik
"Memang ruam adalah satu perkara yang biasa, bintik-bintik merah di muka, namun bila bayi tidak menyusu badan, agak susah untuk sistem imunitinya sendiri bertindak, jadi ibu bapa perlu prihatin dengan memberikan susu yang sesuai yang bersifat hipo allergenic ataupun susu soya," jelasnya.
Justeru, ibu dan bapa perlu sedar bahawa bayi baru lahir mempunyai sistem imunisasi yang rendah, jadi setiap kelainan pada bayi perlu diberi perhatian," jelasnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: