Thursday, September 15, 2011

Melangkah ke kehidupan baru


Suasana sewaktu sesi pendaftaran bagi kemasukan penuntut baru disalah sebuah universiti tempatan baru-baru ini. - Gambar hiasan


MINGGU ini semua universiti menerima kehadiran penuntut baru yang akan menjadi pemastautin tetap dalam tempoh tiga atau empat tahun.

Bagi yang bertuah, ini adalah peluang keemasan yang perlu dimanfaatkan sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

Kepada yang belum biasa dengan suasana di asrama, pasti agak janggal dengan kehidupan di kampus yang segalanya serba berlainan.

Mungkin di benak mereka ketika ini masih tertanya-tanya, bagaimanakah suasana dan keadaan alam universiti ini? Mampukah berjuang di sana?

Sebenarnya belajar di universiti menuntut banyak pengorbanan. Malah, kehidupan di situ pula sangat berbeza dan perlu banyak berdikari.

Menurut pakar Kaunseling Keluarga dan Perkahwinan, Noraniza Anwar, peralihan zaman yang berstatuskan pelajar sekolah kepada mahasiswa bukan sesuatu yang mudah.

"Sememangnya pada peringkat awal, ramai penuntut akan kembali takut dan curiga pada diri sendiri, keadaan ini membuatkan mereka hilang keyakinan pada diri untuk melangkah sendirian di alam kampus.

"Situasi ini adalah perkara biasa yang akan berlaku, bagaimanapun keadaan itu akan beransur hilang apabila mereka bertemu dengan kawan-kawan dan mula boleh berkongsi cerita,'' ujarnya

Bagi yang pernah tinggal di asrama, mungkin tiada masalah. Bagaimanapun keadaan itu sangat berbeza bagi yang belum pernah keluar dari rumah.

"Mereka perlu berdikari bukan sekadar dari sudut pengurusan masa tetapi merancang kewangan juga perlu difikirkan sendiri,'' katanya.

Keadaan ini jelas beliau jika tidak ditangani secara betul akan mempengaruhi kehidupan pelajar itu.

"Sebab itu, dalam situasi sedemikian ibu bapa perlu memainkan peranan untuk membantu anak-anak menyesuaikan diri," katanya.

Katanya, pada peringkat permulaan anak-anak di universiti, ibu bapa digalakkan supaya sering berhubung dengan anak bagi mengelakkan mereka kesunyian.

"Lagipun pada ketika itu, mereka masih belum dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran baru,'' ujarnya lagi.

Malah peranan rakan sekuliah mahupun sebilik juga memainkan penting dalam menguasai kehidupan di alam kampus.

Bagaimanapun tegas beliau, keseronokan berkawan juga kadang-kadang mampu merosakkan prestasi diri.

"Sebab itu sebagai seorang penuntut perlu mempunyai perancangan diri supaya dapat mengatur kehidupan diri," katanya.

Terangnya, setiap impian atau cita-cita yang ingin dicapai harus dimulai dengan perancangan yang teratur.

Malah, ujarnya, apabila bergelar mahasiswa, segala tindak tanduk juga perlu berubah dan bertindak secara matang.

"Ia melambangkan satu penanda aras sekali gus menunjukkan kita sebenarnya adalah layak bergelar mahasiswa,'' ujarnya lagi.

Selain itu, mahasiswa ini juga harus diingatkan terus berusaha walaupun sedang berada di menara gading.

"Alam kampus adalah tangga untuk menuju kepada alam sebenar, sekiranya lancar perjalanan maka akan mudah perjalanan di alam sebenarnya,'' ujarnya.

Bagi yang mendapat peluang melanjutkan pengajian di universiti, gunakanlah peluang tersebut sebaiknya, gunakanlah masa selama beberapa tahun di alam kampus sebaik-baiknya untuk mengumpul pengalaman buat bekalan di sepanjang perjalanan masa depan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: