Saturday, September 17, 2011

Whitney kembali ke filem


WHITNEY HOUSTON


SELEPAS kali terakhir mewarnai dunia perfileman dengan filem The Preacher’s Wife pada tahun 1996, penyanyi wanita unggul dunia, Whitney Houston kini bersedia untuk kembali ke layar perak.

Mengakui cukup merindui untuk beraksi dalam filem, Whitney dikhabarkan sedang menimbang tawaran membintangi sebuah filem muzikal, Sparkle.

Sparkle merupakan filem yang dibikin semula dengan judul yang sama di mana versi asalnya pernah ditayangkan pada tahun 1976 dengan menyaksikan penyanyi, pelakon dan komposer wanita terkenal, Irene Cara memegang watak utamanya.

Untuk filem yang baru ini, watak Sparkle yang dipegang Irene itu akan dibawakan oleh juara American Idol musim keenam, Jordin Sparks manakala Whitney pula akan memegang watak ibu kepada Sparkle.

Dikatakan projek ini sudah lama berada di fikiran Whitney sejak tahun 2001 lagi di mana dia turut berperanan sebagai penerbit eksekutif selain akan membintangi filem tersebut.

Ketika itu, Whitney cukup berminat untuk melihat penyanyi dan komposer, Aaliyah membawakan watak utama itu. Namun, hasrat itu tidak kesampaian apabila Aaliyah terbunuh dalam satu nahas kapal terbang pada tahun yang sama.

Secara ringkasnya, Sparkle yang diinspirasikan daripada kisah kumpulan penyanyi wanita terkenal, Supremes itu mengisahkan bagaimana tiga penyanyi gereja bercita-cita tinggi untuk menjadi penyanyi.

Lalu, mereka membentuk sebuah kumpulan dan berjaya mengecapi kegemilangan seperti yang dikehendaki. Namun, masalah mula timbul apabila salah seorang anggotanya terlibat dengan dadah lalu membuatkan Sparkle mengejar impiannya seorang diri.

Whitney mula menceburkan diri dalam bidang lakonan pada tahun 1992 menerusi filem The Bodyguard dan seterusnya membintangi dua buah filem lagi iaitu Waiting To Exhale (1995) dan The Preacher’s Wife (1996).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: