Saturday, September 17, 2011

Perangkap inspirasi modernisme


KARYA The Circle No.2 menguji kemahiran Anassuwandi dari segi kebolehan mewarna dan teknik kimpalan besi.


SELEPAS berjaya meraih hadiah penghargaan anugerah Salon Malaysia ke-3 (1991/1992) bagi kategori arca, nama Anassuwandi Ahmad (Anas) tidak asing lagi dalam bidang seni lukis kontemporari Malaysia.

Sebagai salah seorang pemenang pertandingan seni lukis peringkat tertinggi di negara ini, karya beliau Perangkap: Bubu telah diberi pengiktirafan yang sewajarnya.

Mengenang semula pengalaman beliau tinggal di kawasan nelayan di utara yang begitu akrab dengan aktiviti penangkapan ikan serta menahan bubu di kawasan paya dan muara sungai, Anas menyingkap semula kesinambungan daripada karya lalu dalam pameran Anassuwandi Ahmad: Perangkap.

Dalam pameran tersebut, beliau menghimpunkan sebanyak 15 karya yang dihasilkan dari tahun 2009 hingga 2011.

Menerusi arca tiga dimensi, arca dinding dan media campuran, Anas nyata kini lebih matang dalam kemahiran pertukangan dan penggunaan warna sejajar dengan kehendak peminat dekorasi seni tempatan yang dipengaruhi oleh pengaruh dan gaya Dasar Kebudayaan Kebangsaan (1974) dan Akar-Akar Peribumi (1979.

Kraf tradisi Melayu

Menurutnya, penggayaan kraf pertukangan buluh (bubu) sebagai subjek perangkap merupakan asas kepada karya beliau.

“Bubu bukan sahaja boleh dilihat sebagai salah satu cara untuk menangkap ikan selain jala dan jaring, tetapi ia juga merupakan satu peralatan dalam menggambarkan bentuk memerangkap, menjerat dan memenjarakan sesuatu mengikut persepsi kehidupan.

“Siri ini mengupas permasalahan yang melanda masyarakat kita pada hari ini yang mudah terperangkap dengan godaan kehidupan yang berlaku bukan sahaja kepada orang dewasa tetapi semua peringkat umur,” katanya.

Tambahnya, siri kali ini dibahagikan kepada tiga bentuk subjek iaitu karya yang menggunakan perangkap jaring atau jala, arca timbulan atau arca dinding serta bentukan geometrik bulatan dan segi empat.

“Dari segi formalistik, jaring ikan yang diletakkan di bahagian bawah kanvas mungkin menyarankan cara penangkapan yang dilakukan di bahagian dasar laut.

“Tali yang berbentuk vertikal dan horizontal dari jaring dan warna seperti perang dan kuning kehitam-hitaman merupakan simbol ranjau laluan mereka dalam mencari rezeki, ada hari murah rezeki (vertikal) dan ada kalanya perlu melalui hari yang sukar (horizontal),” jelasnya.

Bagi metafora subjek bubu sebagai manifestasi dalam menggambarkan permasalahan semasa pemerangkapan, Anas turut menggunakan bahan yang biasa untuk membuat perangkap seperti buluh, tali dan rotan.

Malah penggunaan bahan besi yang tajam kelihatan seolah-olah apabila mereka memasuki perangkap yang di dalamnya penuh dengan kesakitan dan sukar untuk melepaskan diri disampaikannya supaya kita beringat sebelum terkena.

Selain itu, penggunaan bahan campuran dari jerami padi memberikan kesan lebih bertenaga dalam karya-karya beliau.

Dalam pada itu, karya The Circle No.1 yang merupakan arca gantung pastinya menguji kebolehan Anas selaku pengarca untuk menyelesaikan permasalahan di antara bentuk dan ruang.

Dengan menggunakan teknik kimpalan besi, The Circle yang berbentuk geometri itu bermain dengan ruang tiga dimensi. Ia kelihatan lebih mencabar untuk dihasilkan kerana ia mungkin menyarankan kehidupan di mana di dalamnya terdapat lingkaran seperti labah-labah.

Labah-labah sering dikaitkan dengan cara unik haiwan itu memerangkap mangsanya dengan jaringan-jaringan yang dibina dan melalui karya ini, Anas menyarankan peminatnya agar berhati-hati dalam tindak tanduk seharian sebelum terjebak ke kancah yang sukar untuk mereka keluar kelak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: