Saturday, September 17, 2011

Royce tulis lirik sebelum tunai umrah


GAMBAR terbaru Royce Saayan yang mengenakan tudung dan jubah tetap menyerlahkan keayuannya.


ROYCE Saayan dikenali ramai sejak tahun 1997 bukan setakat sebagai penyanyi rock, tetapi dia juga banyak menulis sendiri lirik lagu-lagu nyanyiannya. Kebanyakan lirik nukilannya berdasarkan pengalamannya sendiri.

Intipati lirik Royce yang kebanyakannya mempunyai mesej positif secara tidak langsung memberi manfaat buat para peminatnya. Malah, lirik yang berunsurkan ketuhanan tulisannya itu turut memberi impak buat dirinya sendiri.

Rocker berusia 37 ini tidak menafikan lirik lagu sebegitu yang dihasilkannya sejak akhir-akhir ini mendorongnya mengerjakan umrah pada 31 Julai lalu selama 12 hari. Lirik Cinta Ke Langit tulisannya paling banyak meninggalkan kesan buatnya.

Menurut Royce atau Raja Rohayati Saayan, lirik lagu itu sedikit sebanyak menguatkan lagi azamnya untuk menjejakkan kaki ke Mekah. Selepas lagu itu dirakamkan, niatnya mengerjakan umrah buat pertama kali itu pun termakbul.

“Sebenarnya, saya berniat untuk mengerjakan umrah dua tahun lalu. Sejak saat itu, saya banyak mendapat ilham menulis lirik termasuklah Cinta Ke Langit yang saya tulis sebelum pergi ke Mekah. Lirik itu saya tulis selepas solat subuh.

“Ilham lirik ini datangnya dalam mimpi. Dalam mimpi itu, saya berada dalam suatu alam yang aneh dan berbeza. Ia tentang rasa kecintaan manusia terhadap Tuhannya,” katanya sewaktu ditemui S3 baru-baru ini.

Jelas anak kelahiran Johor Bahru, Johor ini, selepas album itu dirakamkan dan berada di pasaran pada April lalu, niatnya untuk menatap dari dekat Ka’abah semakin berkobar-kobar. Perasaan itu sukar digambarkannya.

Selepas tiga bulan Cinta Ke Langit yang dimuatkan dalam album terbarunya berjudul Cinta Terus Ke Langit terbitan Nakhoda Alam Enterprise diedarkan, peluangnya menunaikan umrah pun datang. Ia sesuatu yang tidak pernah diduganya.

“Sebenarnya, peluang saya pergi ke Mekah datang kerana mengikuti rombongan TV9 bersama para pemenang rancangan Akademi al-Quran musim yang kelima. Kebetulan ketika itu, anak saudara saya, Mohd. Ashrudi Borhan bekerja di TV9.

“Dia yang memberikan peluang itu kepada saya kerana ada kekosongan dalam rombongan umrah. Malah, saya juga mendapat potongan harga 30 peratus dalam pakej umrah itu selepas mereka tahu saya seorang penyanyi,” ujarnya.

Jelas Royce yang juga isteri kepada pemain bass kumpulan rock Rusty Blade, Mohd. Noor Hendrix atau M. Noor M. Zain ini, disebabkan masa yang tidak mengizinkan dia tidak dapat mengerjakan umrah bersama suaminya.

Bagaimanapun, Royce yang baru menyambut hari lahirnya yang ke-37 pada 27 Julai lalu berkata, dia berasa tenang dan selesa biarpun tanpa ditemani suami di Mekah. Malah dia sentiasa ceria bersama ahli-ahli rombongan lain.

“Saya mengikuti pakej umrah ini bersama 38 ahli rombongan dan saya tinggal sebilik dengan finalis Akademi al-Quran musim kelima, Suhaila Zulkifli. Saya seronok dan tenang sewaktu berada di sana.

“Saya bukan sahaja pertama kali mengerjakan umrah tetapi pengalaman berpuasa di sana juga sukar untuk saya lupakan. Ia sungguh berbeza berpuasa di negara ini dan yang paling seronok saya dapat berbuka puasa di depan Ka’abah,” katanya.

Ibu kepada dua anak ini berkata, album Cinta Terus Ke Langit yang mengandungi lapan buah lagu itu banyak meneruskan manifestasi daripada pengalamannya dalam mencipta lirik lagu bertemakan kerohanian akhir-akhir ini.

Sungguhpun begitu, tambah Royce lagi, dia akan meneruskan konsep muzik rock dalam lagu-lagu nyanyiannya kerana ia sesuai dengan jiwa dan suaranya. Namun, kunjungannya ke Mekah itu sedikit sebanyak mengubah penampilannya.

“Saya belum bertudung sepenuhnya tetapi sekarang saya cuba membiasakannya sedikit demi sedikit. Bagi saya, kalau sampai masanya bertudung, saya akan bertudung juga nanti. Saya tidak mahu tergesa-gesa dalam hal ini.

“Ini kerana, ‘saya baru menziarahi Mekah, dan belum berhijrah sepenuhnya’. Tetapi selepas ini, azam saya adalah untuk menunaikan ibadat haji pula. Insya-Allah,” katanya penuh harapan pada pertemuan petang Selasa lalu.

Sepanjang bernaung di bawah syarikat rakaman FMC pada 1997 Royce telah melahirkan lebih empat album antaranya berjudul Royce Saayan, Yang Lazat, Misteri Permaisuri Hari dan Blues Wanita Penggoda.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: