Wednesday, September 28, 2011

Warga kampus PMM gempur denggi


Sebahagian pelajar Politeknik Merlimau Melaka membersihkan kawasan persekitaran taman perumahan pada Kempen Gerak Gempur Ganyang Aedes di Melaka, baru-baru ini.


MELAKA 27 Sept. – Dalam usaha menghapuskan wabak denggi dan meningkatkan kesedaran masyarakat menghapuskan pembiakan nyamuk aedes, Politeknik Merlimau Melaka (PMM) menganjurkan Kempen Gerak Gempur Ganyang Aedes di sekitar kampus dan taman perumahan berdekatan di sini baru-baru ini.

Pengarah PMM, Dr. Arshad Kassim berkata, kempen bukan saja disertai pelajar PMM malah, turut disertai penduduk tempatan dalam usaha membantu PMM melaksanakan salah satu tanggungjawab sosial (CSR) kolej itu setiap tahun.

Menurutnya, usaha itu diambil ekoran kebimbangan pihak berkuasa berhubung kekurangan tahap kesedaran masyarakat terhadap langkah membasmi penularan wabak denggi serta bilangan mangsa wabak itu yang meningkat dari semasa ke semasa.

‘‘Program ini bertujuan membina sikap prihatin warga kampus dan komuniti mengenai kepentingan aspek kebersihan terutama kawasan yang dikenal pasti sebagai zon panas wabak denggi.

‘‘Kempen ini juga didorong dengan bilangan penuntut PMM iaitu seramai 4,200 yang tinggal di beberapa kawasan perumahan sekitar politeknik ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis sambutan Hari Denggi ASEAN peringkat PMM disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pemulihan Projek, Pembangunan Pekan Kecil dan NGO negeri, Datuk Seet Har Cheow.

Menurut beliau, melalui penganjuran kempen itu, PMM berpeluang melaksanakan kempen gotong-royong sekali gus membolehkan pelajarnya membantu penduduk membersihkan kawasan sekitar kampus dan kediaman penduduk.

Ujarnya, antara pengisian sambutan Hari Denggi ASEAN adalah gotong-royong, pameran dan taklimat kesedaran bahaya Aedes termasuk teknik pencegahan denggi dan pengagihan bubur lambuk.

‘‘Program ini bertujuan membina sikap prihatin warga kampus dan komuniti tentang kepentingan menangani permasalahan di kawasan wabak denggi,” kata beliau.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: