Wednesday, September 28, 2011

2,309 graduan konvokesyen Polimas


Sebahagian daripada graduan Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (Polimas) pada majlis konvokesyen ke-25 politeknik tersebut di Jitra, Kubang Pasu, baru-baru ini.


KUBANG PASU 27 Sept. - Seramai 2,309 graduan Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (Polimas) Jitra di sini menerima sijil dan diploma masing-masing pada majlis konvokesyen ke-25 yang berakhir hari ini.

Mereka merupakan graduan Jabatan Perdagangan seramai 283 orang, Jabatan Kejuruteraan Elektrik (599), Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (722), Jabatan Kejuruteraan Awam (594) dan Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (133).

Konvokesyen tersebut disempurnakan oleh Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah Sultan Badlishah dan turut berangkat sama ialah Sultanah Kedah, Tuanku Haminah Hamidun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom turut hadir bagi menyampaikan sijil dan diploma tersebut pada hari terakhir majlis konvokesyen berkenaan.

Pada majlis itu, graduan jurusan Diploma Kejuruteraan Elektronik, Mohd. Hafidzul Helmi Che Azmi, 24, dari Kuala Nerang muncul sebagai penerima Anugerah Pengarah yang merupakan anugerah tertinggi pada konvokesyen Polimas.

Beliau berkata, kejayaannya itu menebus kegagalannya setelah tercicir di salah sebuah universiti tempatan beberapa tahun lalu.

"Sememangnya saya sangat kesal kerana cukup lalai ketika itu dan hilang fokus menyebabkan saya gagal. Saya telah mengecewakan ibu bapa yang sangat berharap kejayaan saya.

"Tetapi bersyukurlah kerana mendapat peluang kedua belajar di Polimas yang kemudian menjadikan saya nekad untuk berjaya," katanya yang ditemani oleh kedua-dua ibu bapanya.

Menyentuh tentang perancangan masa depan, kata anak peneroka Felcra itu, dia berhasrat menyambung pelajaran di peringkat lebih tinggi dalam bidang berkaitan.

"Langkah saya masih jauh kerana ingin memiliki ijazah doktor falsafah (Ph.D). Tetapi selepas ini saya ingin bekerja dahulu untuk mencari pengalaman dan akan menyambung pengajian secara separuh masa di universiti bagi mendapatkan ijazah," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: