JERANTUT 27 Sept. - Isu mengenai penghayatan sejarah dalam kalangan remaja dan belia antara fenomena hari ini yang cukup hangat dibincangkan oleh tokoh pendidik, sejarahwan dan ahli politik.
Ini berpunca apabila subjek Sejarah kurang diminati di peringkat remaja, manakala cetek pemahaman mengenai bahan sejarah menerusi pembacaan memberi impak luntur penghayatan golongan berkenaan terhadap pejuang kemerdekaan negara.
Lebih menjengkelkan lagi ada pihak yang memperlekeh wira bangsa yang berjuang sehingga menumpahkan darah sejak zaman silam hingga sebelum merdeka, sebaliknya menobatkan pihak lain sebagai ‘hero’ dan ‘ikon’ untuk memenuhi aspirasi peribadi masing-masing.
Lantaran itu, seramai 60 orang penuntut Universiti Malaysia Pahang (UMP) turun padang mengunjungi lawatan sehari ke Makam Pahlawan Melayu Pahang, Mat Kilau di Kampung Kedondong, Pulau Tawar, dekat sini baru-baru ini.
Kunjungan penuntut tahun dua Fakulti Kejuruteraan UMP turut diiringi seramai tiga orang pensyarah telah meluangkan masa selama tiga jam di kawasan makam tokoh pejuang Melayu Pahang pada abad ke-19 itu.
Rata-rata penuntut berkenaan menampilkan nilai rasa penghayatan sejarah berkenaan dan teruja walaupun melihat dua batu nisan yang terpacak memahat nama keramat pahlawan berkenaan.
Pengarah Kokurikulum UMP, Ramli Abid, berkata, sememangnya menjadi rutin hujung minggu penuntut UMP dari semua fakulti mengadakan kunjungan ke tempat bersejarah di Pahang antara pengisian nilai murni khususnya membangkitkan semangat patriotisme selain memperoleh pengetahuan sejarah.
“Sehingga kini, penuntut UMP telah mengunjungi tempat bersejarah di Bandar Diraja Pekan dan menyelidiki tokoh tertentu dan mendalami artifak semua bidang sejarah dan kesenian,” katanya kepada pemberita di Kampung Kedondong, Pulau Tawar itu.
Katanya, kunjungan ke makam Mat Kilau, dalam daerah Jerantut antara siri lawatan penuntut Kejuruteraan untuk menghayati sejarah tokoh berkenaan khususnya perjuangan menentang penjajah British di Pahang pada tahun 1891-1895.
“Antara pengisian program adalah bertahlil di atas makam berkenaan, pengkisahan legitimasi perjuangan Mat Kilau dan gotong-royong membersihkan kawasan pemakaman orang Islam Kampung Kedondong,” jelasnya.
Sementara itu, bagi seorang pelajar Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Sumber Asli UMP, Azuan Harun, 20, kunjungan pertama ke lokasi berkenaan memberi peluang mereka melihat lebih dekat serta dapat menghayati perjuangan tokoh berkenaan.
“Kunjungan ini menambahkan lagi pengetahuan saya mengenai sejarah perjuangan Orang Melayu Pahang bangkit menentang British bermula di Pulau Tawar setelah memperoleh maklumat dari buku sejarah,” katanya.
Azuan yang berasal dari Keluang, Johor, berharap penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) kerap mengatur lawatan ke kampung berkenaan sekali gus dapat menyelami budaya penduduk Melayu di persisiran Sungai Pahang.
Bagi pelajar dari Fakulti Kejuruteraan Komputer, Chup Soon Hee, 21, yang berasal dari Miri, Sarawak, setiap negeri mempunyai legitimasi sejarah tokoh pejuang yang tersohor untuk menafikan pemerintahan orang luar khususnya bebas dari cengkaman British.
“Seperti pejuang di negeri Sarawak juga, Mat Kilau antara tokoh yang wajar dikenali oleh generasi hari ini dan mengambil iktibar perjuangannya agar tersemat nilai jati diri dan mencintai tanah air,” katanya.
Bagi Azuani Omar, 21, kunjungan itu dapat merapatkan hubungan antara UMP dengan penduduk kampung tradisional di persisiran Sungai Pahang di kawasan Pulau Tawar, Jerantut.
“Kampung ini kaya dengan khazanah sejarah pada abad ke-18 dan ke-19 dan perlu diteroka oleh penuntut IPTA dan generasi hari ini sebagai pengetahuan sekali gus menajamkan pemahaman aspek kenegaraan,” katanya.
Katanya, sambutan penduduk tempatan yang ramah mesra dan mempamerkan kesantunan budi bahasa menambat hati ahli rombongan UMP dan menanamkan hasrat untuk berkunjung lagi pada masa akan datang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: