|
|
WANITA berhati waja ini mengakui hatinya sedikit terusik apabila mengetahui tiada pihak yang sudi menaja pementasan mega ketiga terbitan syarikatnya, Enfiniti Vision Media (EVM), The Secret Life of Nora (NORA).
Tidak seperti dua pementasan sebelum ini, Puteri Gunung Ledang the Musical (PGLM) dan P. Ramlee the Musical (PRM) yang mendapat perhatian meluas daripada syarikat korporat dan swasta yang tidak lokek untuk menjadi penaja.
Namun, bagi Datin Seri Tiara Jacquelina, kegagalan NORA untuk mendapat penajaan langsung tidak mematahkan semangatnya meneruskan pementasan.
"Sedih memanglah sedih kerana perjuangan saya dalam memartabatkan industri seni persembahan negara bukanlah untuk saya seorang.
"Sebaliknya, apa yang saya lakukan ini adalah untuk membawa nama Malaysia ke persada dunia agar satu hari nanti negara ini juga mampu menjadi hab seni persembahan setanding dengan negara Barat.
"Apa pun yang terjadi, pasukan saya kini sudah bersedia untuk mementaskan NORA dengan semangat juang yang tinggi bagi memastikan ia mendapat tempat di kalangan penonton kelak. Kami berikrar akan memberikan yang terbaik untuk mereka," ujar Tiara dalam nada yang cukup optimis sewaktu ditemui pada sesi latihan di Pusat Seni Persembahan Kuala Lumpur (KLPac), Sentul, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Tetapi, kesedihan yang ditanggung aktres dan penerbit gigih itu tidak lama apabila syarikat telekomunikasi gergasi negara, Maxis tampil menjadi satu-satunya penaja untuk NORA yang akan mula dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) bermula 29 September ini.
Ternyata, Tiara bersyukur dengan berita gembira itu dan sudah mampu menarik nafas lega dan berharap akan ada pihak lain yang sudi mengikut jejak langkah Maxis untuk pementasan ini.
Dalam masa yang sama juga, bintang utama filem Puteri Gunung Ledang dan Ringgit Kasorrga itu amat berterima kasih kepada IB kerana mereka telah banyak membantu dari mula dia menyuarakan hasrat serta membentangkan idea untuk mementaskan NORA.
Begitu juga dengan beberapa pihak seperti Pusat Membeli-Belah Pavilion, Kuala Lumpur; rangkaian kosmetik M.A.C dan TGV Cinemas yang sudi bekerjasama dalam membantu mempromosikan dan menghebahkan tentang NORA kepada khalayak.
Kata Tiara lagi, soal penajaan bukanlah perkara baru yang perlu dihadapi oleh karyawan seni tempatan baik dalam apa jua cabang seni sekali pun.
"Apabila memperkatakan tentang konteks seni persembahan terutama teater muzikal khususnya, kalau diperhatikan ia telah menunjukkan peningkatan yang sangat positif.
"Bukan mahu mendabik dada atau membangga diri, tetapi selepas pementasan PGLM dan PRM, barulah ramai pihak membuka mata tentang teater muzikal.
"Malah, ramai penerbit baru seperti Hans Isaac juga sudah berani mengeluarkan bajet yang begitu tinggi untuk menerbitkan teater muzikal. Ternyata, apa yang dilakukannya berjaya dan mendapat sambutan.
"Sebagai teman seperjuangan, saya sendiri tumpang bangga dengan pencapaian mereka yang berani mementaskan teater muzikal. Setidak-tidaknya industri kita terus meriah dengan pelbagai naskhah yang menarik untuk dipentaskan," kata Tiara panjang lebar.
Mengulas tentang watak Nora yang akan dilakonkannya dalam pementasan teater muzikal arahan Steven Dexter itu, Tiara menjelaskan dia kini begitu gigih menjalani latihan intensif.
Biarpun penat kerana perlu berlatih dari 12 hingga 14 jam sehari, isteri kepada Datuk Seri Effendi Norwawi itu gembira kerana dia sudah mendapat rentak dalam membawakan watak Nora itu.
Satu yang pasti kata ibu kepada sepasang cahaya mata itu lagi, dia cukup teruja untuk menantikan respons daripada audiens kelak.
Apatah lagi, inilah kali pertama dia membawakan watak komedi yang pastinya memberikan dimensi baru untuk Tiara sebagai seorang aktres.
"Untuk itu, saya telah menonton beberapa filem komedi dan cuba untuk mendapatkan jiwa humor itu. Saya cukup berbangga dan puas hati apabila mendapat pelakon hebat seperti Aznil Nawawi, Adibah Noor, Ryan Silverman, Tony Eusoff, Stephanie Van Driesen dan Aaron Khaled dalam muzikal ini.
"Saya cukup sedar harapan tinggi yang diletakkan ke bahu kami oleh penonton dan peminat yang ternanti-nantikan pementasan ini. Insya-Allah, kami akan memberikan yang terbaik untuk mereka yang tidak pernah jemu menyokong kami," kata Tiara dalam nada penuh teruja.
Tiket-tiket untuk menyaksikan NORA kini sudah mula dijual dengan harga dari RM30 hingga RM350. Bagi mereka yang belum mendapatkannya, bolehlah melayari laman web www.airasiaredtix.com atau berkunjung sendiri ke kaunter Box-Office, Istana Budaya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: