|
|
SUDAH menjadi impian setiap penyanyi di negara ini yang mahu membuat persembahan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) yang dianggap sebagai pentas penuh prestij dan gah.
Lalu, apabila mana-mana artis diberi peluang tersebut, maka, ia ibarat bulan jatuh ke riba kerana sesungguhnya bukan mudah untuk beraksi di pentas eksklusif itu.
Sekalung tahniah harus diberikan kepada komposer dan penyanyi wanita yang semakin gah namanya di persada antarabangsa iaitu Yunalis Zarai atau lebih dikenali sebagai Yuna.
Manakan tidak. Usia pembabitannya dalam bidang seni baru setahun jagung tetapi Yuna sudah mendapat kepercayaan pihak DFP untuk membuat persembahan di sana.
Pastinya, kemunculan Yuna selama dua malam di DFP akan mengundang rasa cemburu kepada artis muda mahupun senior yang hanya mampu menyimpan angan-angan untuk menikmati peluang serupa seperti Yuna.
Menyedari popularitinya yang kini semakin melonjak tinggi, kemunculan anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu di DFP dilihat sebagai tepat pada waktunya.
Sehinggakan, pihak DFP perlu menambah satu hari lagi kerana kesemua tiket yang berharga RM80 untuk malam pertama lalu (12 September) semuanya habis dijual dalam masa yang cukup singkat.
Begitulah penangan Yuna yang kini dilihat sebagai pelapis bakat baru negara yang semakin diminati dan tidak mustahil untuk dia membina empayar seninya dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Tampil elegan dan menawan dengan gaun labuh berwarna nilakandi (royal blue) lengkap dengan pemakaian turban di kepalanya dan sepatu tumit tinggi, kehadirannya di pentas itu memberikan aura yang cukup luar biasa.
Memulakan persembahannya dengan lagu Someone Out Of Town, Yuna sudah berjaya memukau hadirin dengan alunan indah menerusi vokalnya yang cukup unik itu.
Begitu juga dengan lagu Rocket yang merupakan karya sepenuhnya oleh Yuna yang begitu asyik dan membuai jiwa audiens sehingga tidak sedar ada yang menggerakkan bahu mengikut rentak lagu.
“Lagu Gadis Semasa merupakan luahan perasaan saya terhadap masyarakat yang mahu saya menjadi seperti mana yang mereka mahu,” kata Yuna sebelum menyampaikan lagu yang cukup pantas menangkap halwa telinga itu.
Seterusnya, Yuna menyampaikan lagu Decorate yang merupakan judul album sulungnya sebelum mendendangkan lagu raya ciptaannya, Raya Oh Yeah.
Dalam persembahannya yang diiringi oleh lima pemuzik dan tiga pemain strings itu, Yuna tidak lupa untuk memberikan penghormatan kepada Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee apabila menyampaikan lagu Gelora Jiwa.
Barangkali ada yang tidak tahu, Gelora Jiwa merupakan sebuah lagu yang ditampilkan dalam filem klasik lakonan P. Ramlee iaitu Anjoran Nasib dan Yuna telah merakamkan semula lagu tersebut yang dimuatkan dalam album projek khas, P. Ramlee: Satu Indiepretasi.
Sungguh padan sekali lagu itu dengan lenggok suara Yuna sewaktu dia menyanyikannya di atas pentas DFP yang mendapat tepukan gemuruh.
Ternyata Yuna berjaya menggelorakan jiwa peminatnya sebelum meneruskan persembahan dengan lagu yang telah memperkenalkan namanya kepada khalayak, Dan Sebenarnya.
Penyandang gelaran Artis Baru Terbaik Anugerah Industri Muzik Ke-17 tahun lalu ini juga telah menyampaikan lagu Come As You Are dengan susunan muzik yang boleh dianggap sebagai cukup dramatik.
Memang wajar Yuna mendapat pujian dan pengiktirafan daripada seorang blogger dan personaliti televisyen terkenal Amerika Syarikat (AS), Perez Hilton yang turut kagum dengan kemampuan Yuna menyanyikan lagu itu sewaktu di Los Angeles, AS beberapa bulan lalu.
Tidak menghampakan para peminatnya yang memenuhi setiap tempat duduk di dewan itu, Yuna turut melagukan Random Awesome dan Cinta Sempurna sehingga seluruh dewan menjadi senyap sunyi dan khusyuk menonton persembahannya.
Secara eksklusif dalam persembahan itu juga, graduan bidang undang-undang dari Universiti Teknologi Mara ini juga menyampaikan lagu-lagu yang bakal dimuatkan dalam albumnya untuk pasaran AS kelak.
Antaranya Fears & Frustrations, Coffee dan Memo yang menyaksikan sentuhan baru dan segar oleh Yuna dalam menterjemahkan jiwanya untuk setiap lagu itu.
Yuna semakin berani dan bijak mewarnai setiap lagu dengan elemen baru dalam muziknya sekali gus membuktikan dia adalah permata seni yang cukup berharga dan perlu dipelihara demi masa depan industri hiburan negara.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: