|
|
SEWAKTU menemu bual Shahz Jaszle, 23, di lokasi penggambaran filem Rentaz di Prangin Mall, Pulau Pinang baru-baru ini, pihak media tidak melepaskan peluang bertanya siapakah kekasihnya ketika ini setelah putus cinta dengan Maria Farida.
Shahz Jaszle yang pernah digosipkan dengan Neelofa selepas itu, dengan tenang memberitahu dengan penuh terbuka bahawa dia sedang bercinta dengan pelakon Miera Leyana Kasmi, 18.
"Yes, I'm seeing Miera right now," itulah jawapan ringkas Shahz yang memegang watak Jeff dalam filem Rentaz.
Jawapan Shahz atau nama sebenarnya, Shahrizal Jaszle Jasmin dianggap tidak serius kerana dia dan Miera memang berlakon sebagai pasangan kekasih dalam filem arahan Mamat Khalid itu.
Kata Shahz, perkenalan mereka wujud sejak lapan tahun lalu kerana masing-masing bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.
"Miera adalah junior saya. Dulu saya memang ada hati padanya tapi tidak kesampaian kerana dia rapat dengan kawan baik saya.
"Kelakarnya, bila diungkap balik cerita lama, kami pernah berlakon bersama dalam drama Luna Fantasiku. Waktu itu Miera di tingkatan dua dan kini selepas digandingkan dalam Rentaz, barulah kami rapat. Dulu tidak berpeluang untuk mengenali antara satu sama lain," cerita Shahz yang cukup popular dengan drama bersiri Asmara dan Gemilang ini lagi.
Shahz yang mengaku lebih gemar lepak di rumah apabila tidak menjalani penggambaran berkata, selepas putus cinta dengan Maria, dia tidak mempunyai teman wanita selama lapan bulan.
Meskipun Shahz dengan Miera baru rapat ketika penggambaran Rentaz yang bermula sebelum Ramadan lalu, namun hubungan mereka mendapat restu keluarga.
"Saya bukan sekadar kenal Miera tapi juga abang dia kerana kami berkawan. Saya jenis yang suka berterus terang. Sejak dulu lagi kalau orang tanya siapa teman wanita, saya akan beritahu," akuinya yang akan muncul dengan filem Azura 2011 arahan Aziz M. Osman, Februari depan.
Shahz yang sering dikelilingi wanita jelita berkata, dia selesa berkawan dengan Miera kerana perangai pelakon itu yang sempoi dan tidak hipokrit.
"Dia memang muda tapi matang dan saya senang berkomunikasi dengannya dalam apa jua hal. Pengalaman mengajar saya bahawa kecantikan bukanlah segalanya kerana yang penting adalah persefahaman," jelasnya.
Menyedari hubungannya dengan Miera yang pernah mencetuskan kontroversi gara-gara berpakaian seksi bakal diperkata ramai, Shahz berkata, biarlah apa orang hendak cakap kerana yang penting mereka tidak mengganggu hidup orang lain.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: