SAMBUTAN Aidilfitri bagaikan tidak lengkap jika tidak disusuli dengan anjuran majlis rumah terbuka bagi setiap muslimin yang berkemampuan.
Bukannya niat mahu menunjuk-nunjuk kesenangan yang diperoleh, tetapi penganjuran majlis tersebut tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mengumpulkan sanak saudara dan sahabat handai pada satu-satu masa dalam suasana yang penuh meriah.
Bagi kumpulan yang telah bertapak hampir 20 tahun, KRU, penganjuran majlis rumah terbuka bertujuan meraikan peminat, rakan media dan artis serta rakan niaga memandangkan trio tersebut kini merupakan antara usahawan selebriti paling berjaya dalam industri hiburan tempatan.
Dianggotai tiga adik-beradik, Norman, 39, Yusry, 38 dan Edry Abdul Halim, 35, mereka menganggap, majlis sebegitu adalah peluang untuk mereka bersua muka dengan rakan-rakan bisnes termasuk dalam industri hiburan secara berkelompok.
Giliran rumah Norman
ANAK sulung daripada empat adik-beradik, Norman memberitahu, tahun ini merupakan gilirannya untuk mengadakan majlis rumah terbuka mewakili kumpulan KRU yang lain kerana mereka secara bergilir-gilir menganjurkannya.
Ujar Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studios itu, memandangkan kediaman mewahnya itu baru sahaja dihuni sejak 10 Oktober tahun lalu, jadi ia masa yang sesuai baginya untuk mengadakan majlis tersebut di rumahnya untuk sambutan kali ini.
"Dua tahun lalu, majlis rumah terbuka diadakan di rumah keluarga kami yang terletak di Datuk Keramat.
"Tetapi selepas rumah itu dijual pada tahun lalu, majlis sebegini diadakan pula di rumah Edry yang terletak di Country Heights Resort, Kajang, Selangor.
"Kini, tiba giliran saya pula menganjurkannya memandangkan rumah Yusry yang berhampiran dengan rumah Edry masih lagi dalam pembinaan dan dijangka siap tidak lama lagi.
"Selepas sahaja rumah keluarga kami dijual, kami memutuskan untuk menganjurkan majlis ini secara bergilir-gilir di rumah masing-masing," katanya ketika ditemui di rumahnya yang terletak di Perdana Lakeview West, Cyberjaya, Ahad lalu.
Tambah Norman, sebagai seorang usahawan, dia agak sibuk untuk berjumpa dengan rakan-rakan artis mahu pun media.
"Jadi, dengan adanya majlis ini, ia adalah masa yang sesuai untuk bertanya khabar selain dapat berkumpul bersama menjamu hidangan yang disediakan.
"Manalah tahu, dapat pula peluang perniagaan lain yang ditawarkan tetamu kenamaan yang turut hadir pada rumah terbuka saya ini," katanya berseloroh.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: