NAJIB melihat mata wang kertas pelbagai negara ketika melawat galeri selepas merasmikan Sasana Kijang di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR: Institusi kewangan perlu terus memberikan pinjaman secara bertanggungjawab bagi memastikan ekonomi negara berkembang pesat, di samping mendidik pengguna secara progresif mengenai aspek pengurusan kewangan.
Adalah penting bagi mana-mana institusi kewangan untuk terus mengeluarkan pinjaman, namun mereka perlu memastikan ia dilaksanakan dengan bertanggungjawab bagi elak krisis kewangan. - Najib Razak, Perdana Menteri
“Kesan buruk akibat daripada sebarang bentuk pinjaman yang tidak bertanggungjawab sudah dirasai rakyat, perniagaan dan negara di banyak negara dunia dan kita perlu memastikan kesilapan sama tidak berulang di negara ini, terutama ketika perkhidmatan kewangan negara sedang berkembang,” katanya.Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sasana Kijang, sebuah pusat latihan, kecemerlangan dan bidang perbankan serta kewangan, di ibu negara semalam. Turut hadir, Gabenor Bank Negara, Tan Seri Dr Zeti Akhtar Aziz.
Najib berkata, dengan perkembangan pesat ekonomi di negara ini, sektor perbankan perlu turut sama berganding bahu dengan kerajaan bagi meningkatkan kefahaman rakyat dalam aspek pengurusan kewangan.
“Kita perlu meningkatkan kesedaran ini menerusi pelbagai cara, termasuk menerusi Program Pendidikan Pengguna, laman web bankinfo dan pelbagai inisiatif lain. Kita mahu rakyat berasakan mereka mampu membuat keputusan kewangan yang tepat.
“Sebagai pengguna mereka perlu dididik dan diperkasakan dengan pengetahuan supaya mereka kurang terdedah kepada penipuan atau mudah terpengaruh dengan sektor tidak rasmi. Pada masa sama, pengetahuan ini membolehkan mereka menuntut perkhidmatan kewangan yang lebih baik bagi memenuhi keperluan masing-masing,” katanya.
Perdana Menteri berkata, sektor perbankan perlu bertanggungjawab dalam memastikan aspek ketelusan selain mampu membangunkan keupayaan masing-masing dan membina rangkaian antarabangsa.
“Saya mahu bank di negara ini meneroka potensi luar, mencari pasaran serta kawasan pertubuhan baru bagi mengukuhkan lagi kehadiran kita pada peringkat serantau dan antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, Zeti berkata, Sasana Kijang dilengkapi pelbagai kemudahan persidangan dan latihan moden, turut menempatkan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam Antarabangsa (IFSB) dan Pusat Latihan dan Penyelidikan Bank Pusat Asia Tenggara (SEACEN) selain galeri serta muzium mata wang.
“Sasana Kijang bakal menjadi pentas percambahan minda dan mengukuhkan lagi pengetahuan mengenai pengurusan bank pusat serta medan intelektual membincangkan segala isu kewangan global,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: