Habsah Hassa. Gambar kecil, Moh Ke Kafe Kita gabungkan pelawak baru dan lama.
MASIH basah dalam ingatan drama terbitannya yang pernah menghiasi kaca televisyen suatu ketika dulu. Ketika projek drama swasta mula diperkenalkan, Serangkai Filem Sdn Bhd adalah antara syarikat yang menjadi perintis dan gigih menghasilkan drama bermutu.
Serangkai Filem masih aktif mengeluarkan drama. Kami ada pergi untuk pitching tetapi sehingga kini peluang masih belum terbuka buat kami. Tertanya-tanya juga apa kekurangan syarikat kami? - Habsah, Penerbit
Selain menampilkan pelakon hebat ia juga sarat dengan mesej yang berguna dan memberikan teladan yang baik kepada masyarakat. Paling menarik apabila lagu latar yang digunakan untuk drama terbitannya itu adalah lagu yang ditulis sendiri liriknya.Tidak dapat dinafikan, pengaruh drama yang diterbitkan Serangkai Filem cukup kuat pada masa itu. Namun perjalanan masa mengubah segala-galanya. Daripada sebuah syarikat yang aktif menerbitkan drama dan juga filem, kini tidak banyak kedengaran produk dihasilkan oleh penerbit yang cukup akrab di sapa Kak Chah ini.
Apa yang kedengaran adalah projek sitkom Moh Ke Kafe Kita yang diterbitkannya dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) menerusi unit Seranta di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang kini sedang rancak menjalani rakaman untuk musim ketiga. Apakah Habsah sebenarnya sudah tidak berminat untuk mengeluarkan drama dan hanya menumpukan perhatian kepada projek sitkom saja.
Bertemunya sewaktu rakaman Moh Ke Kafe Kita yang diadakan di sebuah studio di Universiti Multimedia di Cyberjaya, baru-baru ini, perkara itu turut diajukan kepada si empunya diri.
Tegas Habsah, produksinya masih berminat menerbitkan program TV namun nasib sering tidak menyebelahi dirinya.
“Serangkai Filem masih aktif mengeluarkan drama. Kami ada pergi untuk pitching tetapi sehingga kini peluang masih belum terbuka buat kami. Tertanya-tanya juga apa kekurangan syarikat kami?
“Apa yang boleh saya katakan adalah, mungkin belum ada rezeki dan kami akan tetap menunggu sehingga peluang itu datang,” katanya.
Dijolok dengan pertanyaan apakah dia tidak pernah mempertikaikan keputusan pitching itu kerana difahamkan sering berlaku berat sebelah terutama dalam pembahagian slot, Habsah tidak mahu membangkitkan isu itu kerana tidak mahu terjebak dalam kontroversi.
“Ada ketika timbul juga persoalan itu tetapi saya hanya mampu menjawabnya dalam hati. Saya juga tak mahu menuduh adanya komplot dalam pembahagian slot. Kalau ada rezeki, adalah,” kata penerbit yang banyak menghasilkan filem bermutu seperti Hati Bukan Kristal, Soal Hati dan Soalnya Siapa ini selain Qaisy Dan Laila yang diterbitkan bersama Nizarman Sdn Bhd.
Masih relevankah sitkom?
MEMASUKI musim ketiga penyiarannya, tidak dinafikan sitkom Moh Ke Kafe Kita masih mempunyai peminatnya yang tersendiri.
Dalam kerancakan program berunsur realiti menguasai sebahagian rancangan yang disiarkan, timbul juga pertanyaan apakah sitkom masih relevan untuk dihasilkan?
Tanpa perlu menunggu masa lebih lama, dengan penuh keyakinan, Habsah memberikan jawapan ya kepada persoalan itu.
“Bagi saya, sitkom masih relevan. Bukan saja di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia. Sebagai contoh, jika sitkom tidak lagi relevan mengapa kebanyakan sitkom mampu bertahan sehingga ke hari ini.
“Rancangan Friends adalah contoh terbaik sebuah sitkom yang dirakamkan dalam banyak musim memandangkan sambutan luar biasa penonton terhadap program itu,” katanya.
Apabila menyebut sitkom, tentunya ramai yang akan mengaitkannya dengan dialog berunsur lucah, sebagai jalan paling mudah untuk membuat penonton ketawa.
Namun tegas pengarah sitkom itu, Othman Hafsham, Moh Ke Kafe Kita tidak memerlukan cara seperti itu untuk menimbulkan rasa lucu kepada penontonnya.
“Kebanyakan dialog yang ditulis semuanya berkisar kepada isu semasa dan ada kaitan dengan FELDA. Contohnya macam isu rampasan kuasa yang pelakon sitkom ini tadi suarakan, bagi mereka yang faham isu itu, tentunya mereka akan ketawa.
“Penonton masa kini kebanyakannya pintar dan mereka lebih cerewet untuk memilih apa yang mahu ditontonnya, ”jelas Hafsham yang juga teman karib Habsah sejak sama-sama berkhidmat di Radio Televisyen Malaysia (RTM) suatu ketika dulu.
Sitkom Moh Ke Kafe mula ditayangkan menerusi TV3 sejak 18 Januari 2011 dan antara pelakon yang terbabit adalah Sabri Yunus, Sheila Mambo, Rashidah Jaafar, Bea Rameshan, Lan Zailan, Munir, Enot, dan Juara Raja Lawak musim pertama, Yusry Edoo.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: