|
|
MEMIKUL tanggungjawab bapa kepada pelakon cilik popular, Mia Sara Nasuha bukan satu perkara mudah. Macam-macam kerenah yang perlu dilayan kerana anak kecilnya itu memerlukan perhatian sang bapa. Tambahan pula kali pertama berurusan dengan orang industri.
Bagaimanapun, kewajipan itu tidak sesukar jika dibandingkan dengan pandangan masyarakat sekeliling terhadap dirinya. Anak kecil berusia enam tahun itu disifatkan sebagai lubuk emas.
Tambahan pula banyak tawaran yang datang, sekali gus menaikkan saham dirinya sebagai orang tua kepada Mia Sara.
Lantaran itu, tersebar cerita berbaur cemburu mengenai kewibawaan dirinya yang dikatakan memakan hasil pendapatan anak sendiri. Itu termasuk meminta Mia Sara bekerja sampai lewat 2 atau 3 pagi bagi menjayakan sebuah drama bersiri.
“Saya bukan seorang bapa zalim. Membiarkan darah daging sendiri bekerja siang dan malam tanpa belas kasihan,” bicara awal Muhammad Ridhuan Muhammad Salleh membuka cerita gosip membabitkan namanya itu.
Terus-terang, dia sudah menjangkakan penyebaran cerita tidak berasas itu seawal dia membawa masuk anak ke dalam industri seni tanah air tahun lalu.
Cuma menunggu masa sahaja untuk membiarkan dirinya ‘ditembak’ dengan persoalan sedemikian rupa. Lantaran itu, Muhammad Ridhuan mengambil pendekatan bertenang menjawab semua persoalan sewaktu bertemu di sidang akhbar pelancaran drama bersiri komedi Cuak untuk siaran Astro Ceria di Ampang, Kuala Lumpur, Selasa lalu.
“Saya tahu, pasti akan ada cerita kurang manis macam ini sewaktu awal melangkah masuk dalam industri lagi. Pasti akan keluar cerita kurang senang tentang saya yang tak bekerja tetap.
“Sebenarnya, saya bekerja sebagai pegawai pemasaran dahulu tapi berhenti kerja semata-mata memberikan tumpuan kepada Mia.
“Saya memang seorang cukup cerewet dalam penjagaan Mia. Saya kena pastikan waktu rehat, tidur dan keperluan vitamin mencukupi supaya dia boleh membesar normal seperti kanak-kanak lain,” katanya lagi.
Bapa tunggal ini juga menafikan dia menggunakan sumber pendapatan berlakon Mia Sara untuk menyara tiga lagi anaknya iaitu Adriana Izzati, 10, Muhammad Danish Iman, 7, dan Amani Iman, setahun.
“Tak adil menuduh saya sebegitu seolah-olah nampak sangat teruk,” tingkah Muhammad Ridhuan menolak dakwaan tersebut.
Demi keselamatan anak ketiganya itu, Muhammad Ridhuan juga sanggup mencari penjaga wanita yang bertindak sebagai peneman Mia Sara. Walaupun hakikatnya, dia sukar untuk percayakan orang lain.
“Dia masih memerlukan saya untuk melayan kehendak dirinya. Sudah pasti cara kita melayan anak orang berbeza dengan kita melayan anak sendiri.
“Sebab itu, saya pastikan dia sentiasa dalam lingkungan pemerhatian saya. Hadir pada setiap waktu makan dia dan bagi sediakan air andai dia kehausan, walaupun terpaksa berulang ke set lokasi berulang kali,” ceritanya.
Ditanya adakah dia mengetahui gerangan siapa yang mencacatkan kredibiliti dirinya sebagai bapa Mia Sara, lelaki ini terdiam. Katanya, dia tidak mahu menuduh mana-mana pihak tetapi lebih gemar bersikap memaafkan.
Baginya, kebenaran pasti akan diketahui kelak. Apa yang mampu dibuat adalah berdoa keselamatan anaknya.
Anak jati Melaka ini juga menjelaskan bahawa dia tidak mengabaikan tanggungjawab memberi pendidikan terbaik buat Mia Sara.
“Saya tak mahu dia terlalu leka dengan lakonan dia. Memang saya ada rancang sesuatu untuk masa depan Mia. Seperti mana yang dilakukan oleh mana-mana bapa di dunia ini,” katanya penuh optimis sebelum mengakhiri pertemuan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: