DUTA Belia Negara, Maznah Zolkifli mengakui bahawa kehidupan hariannya tidak pernah sunyi dari dihujani persoalan yang satu itu. Perbincangan melibatkan pasangan hidup yang kerap diajukan di kalangan sanak saudara dan rakan terdekat.
Reaksi wanita ini menjawab persoalan itu pula tetap sama - tak ada jodoh lagi. Pun begitu, sebagai wanita yang punya kedudukan tersendiri di kalangan masyarakat ini juga tidak terlepas dari memikirkan perkara yang sama.
“Inilah cabaran buat seorang wanita yang dikenali,” dedah awal Maznah menyingkap sisi peribadinya berkenaan persoalan tersebut.
Wanita ini mengakui sudah bersedia untuk berumah tangga sekiranya jodoh sudah sampai. Kepada Ilahi urusan tersebut dipanjatkan.
Ditanya apa kemungkinan yang menyebabkan dia masih belum punya insan istimewa, wanita ini tersenyum manis.
“Ini semua terpulang kepada pandangan masing-masing. Mungkin orang lelaki nampak luaran personaliti saya yang gemarkan aktiviti lasak dan boleh berdikari.
“Sedangkan, saya adalah wanita normal. Ada keinginan mahu berkahwin, punya anak dan menjalani kehidupan seperti pasangan suami isteri lain,” luah wanita ini lagi.
Cuba mengorek rahsia Maznah tentang jejaka yang pernah mendekati wanita ini, mengundang rona merah di mukanya.
“Tidak manis buat seorang wanita seperti saya berbicara tentang lelaki sebegini rupa. Tapi, ada ramai jejaka yang cuba mendekati saya. Saya juga tak pernah tolak untuk keluar bersama,” dedah Duta Euro Flying Club ini lagi.
Ditanya apa yang berlaku sewaktu mencari titik keserasian di kalangan lelaki berkenaan, penerima Anugerah Ikon Wanita 2007 ini kembali tersenyum.
“Semua perkara ini terpulang kepada individu masing-masing. Bagi saya, ia umpama bonus buat sang suami punya isteri ‘feminin tapi lasak’ yang boleh melakukan banyak perkara tanpa bergantung pada dirinya.
“Saya tetap menghormati lelaki yang bakal menjadi ketua rumah tangga kelak. Sebab syurga berada di kaki lelaki,” katanya penuh optimis.
Ditanya adakah Maznah adalah seorang cerewet dalam bab memilih lelaki, wanita ini punya alasan sendiri.
“Pasangan yang ingin berkahwin semua pasti menitikberatkan persoalan agama, keserasian kerja, penerimaan keluarga. Namun begitu, saya yakin urusan jodoh ini biarlah diserahkan kepada Maha Esa,” ujarnya ringkas.
Dalam perkembangan lain, aktres, ahli sukan, pelakon dan pakar motivasi ini turut menyatakan rasa tidak sabar untuk kembali bertugas sebagai pengacara.
Antara sedar atau tidak, duta taman tema Sunway Lagoon ini sepi dari dunia pengacaraan sejak 2009. Sedangkan kehidupan berkenaan sebati dalam jiwanya sejak 15 tahun lalu.
“Saya memang rindukan saat-saat bekerja di hadapan orang ramai. Ramai juga yang sudah bertanyakan bila saya kembali di kaca televisyen. Namun semuanya bergantung kepada rezeki.
“Andai diberi peluang saya ingin mengulas tentang sisi kehidupan, karier, gaya hidup dan kesenian dalam program berkenaan, ” kata pengacara Citarasa Tokoh untuk siaran Astro Ria pada 2007 ini.
Pun begitu, Maznah berazam akan manfaatkan sepenuhnya peluang itu kerana dia mahu menyuntik elemen perubahan kepada golongan belia.
Apatah lagi melihat sendiri kebanyakan program televisyen yang disiarkan masa kini kurang menekankan soal kekuatan dan sumbangan belia dalam misi pembangunan negara.
“Kekuatan televisyen tidak perlu dipertikaikan lagi. Ia banyak mempengaruhi jiwa orang muda. Jangan biarkan mereka banyak disogokkan dengan rancangan kosong semata-mata. Sebab mereka adalah pelapis negara satu masa nanti,” azam wanita ini di penghujung perbualan.
Semua perkembangan Maznah boleh diikuti menerusi laman web www.maznahzolkifli.com.my, facebook Maznah Zolkifli Fan Page atau boleh berhubung dengannya di maznah@maznahzolkifli.com.my.
antara pengacara sempoii yang aku suka... suka selebriti macam dia... memang sesuai jadi IKON REMAJA.... mudah mudahan cepat dapat jodoh...
ReplyDeletemudahan cepat dpt jodoh sebab skrg ni dok mengganggu rumahtangga org je...sedar2 la diri tu sikit dh masuk 40...jgn berlagak sentiasa umur 26...insaflah...
Delete