Sunday, September 18, 2011

Bienda alami alahan teruk




SUDAH lumrah kehidupan artis, bila sudah berkahwin pasti ditanya bila pula menimang cahaya mata sekali gus melengkapkan lagi rumah tangga yang dibina.

Mungkin segelintir selebriti tanah air yang sudah lama berkahwin tapi belum dikurniakan cahaya mata menganggap soal anak itu agak sensitif jika sering diasak pihak media dengan soalan yang sama setiap kali ditemubual.

Selepas mendirikan rumah tangga bersama suami tercinta, Kamarul Zariman Abdul Rahman pada Oktober tahun lalu, kini Bienda, anak kepada penyanyi terkenal tanah air sebelum ini, Sheeda kini sedang menghitung hari untuk melahirkan anak sulungnya.

Pengalaman mengandungkan anak pertama bagi setiap ibu adalah satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

Mana tidaknya, kebanyakan ibu-ibu akan mengalami alahan yang teruk, namun ada juga yang tidak mengalami apa-apa alahan ketika usia kandungan mereka semakin meningkat.

Bagi artis kita kali ini, Bienda atau nama sebenarnya Nor Razlinda Razali, dalam tempoh mengandung ini, dia turut mengalami alahan yang sangat teruk.

“Alahan yang saya sedang alami sekarang ni membuatkan berat badan saya semakin naik, saya suka sangat makan tak kira masa.

“Jika sebelum ini, saya hanya akan makan pada sebelah petang sahaja, tapi sejak mengandung masa makan saya tidak menentu, saya akan makan setiap masa.

“Kalau saya tidak makan kepala saya akan pening dan saya akan merasa mual dan muntah,” ujar Bienda ketika ditemui Pancaindera baru-baru ini.

Tambahnya lagi, keadaan seperti ini hanya berlaku sebelah siang sahaja, sebelah malam keadaan akan kembali normal seperti biasa.

“Keadaan ini saya alami sebelah siang sahaja, sebelah malam memang tiada masalah, sebelah siang saya akan lebihkan rehat saya.

“Suami saya turut berpesan supaya saya lebihkan rehat, maklum la ini bakal anak kami yang pertama.

“Yang peliknya apa makanan yang saya boleh makan sebelum ini sekarang ni saya tidak boleh makan, kalau saya makan saya akan berasa mual, apa-apa pun saya tetap tabah menghadapi ujian ini,” katanya.

Katanya lagi, dalam tempoh mengandung ini juga, suaminya turut menjaga serta memberikan semangat yang lebih kepadanya supaya lebih bersabar mengharungi perkara ini.

“Suami saya cukup banyak memberikan semangat kepada saya, alhamdulillah saya dapat suami yang cukup faham keadaan yang sedang saya hadapi ketika ini,” jelas Bienda.

Memang suka budak kecil

Ternyata penyanyi ini sememangnya menyukai budak kecil sejak sebelum mendirikan rumah tangga lagi, perkara ini juga turut dikongsi bersama suaminya.

“Saya dan suami memang suka pada budak kecil, selepas mendirikan rumah tangga, kami berdua memang mengimpikan untuk mendapat anak.

“Ternyata tuhan telah memberikan rezeki tersebut kepada kami, doa saya sebelum ini telah termakbul, saya amat bersyukur,” ujarnya.

Tambahnya lagi, selepas melahirkan bayinya nanti, kehidupan dia dan pasangannya berkemungkinan tidak lagi sunyi.

“Jika sekarang hanya saya dan suami sahaja yang ada kat rumah, jadi selepas kehadiran orang baru nanti keadaan ini akan berubah.

“Sinar baru akan hadir selepas ini, saya dijangkakan akan melahirkan bayi ini pada bulan Mac tahun depan, saya harap semuanya akan berjalan dengan lancar walaupun saya sedikit gementar,” katanya.

Katanya lagi, ketika ini persediaan bagi melayari kehidupan sebagai ibu sudah pun dilakukan dari segi mental dan rohani.

“Saya sudah bersedia untuk jadi mak, memang saya sangat teruja nak timang cahaya mata pertama ini.

“Sejak awal tempoh kandungan lagi, saya sendiri sudah tahu bagaimana peritnya mak saya dahulu mengandung dan melahirkan saya, saya amat menghargai mak saya menjaga dan mendidik saya selama ini.

“Nak Jadi mak bukan senang, segala cubaan perlu di tempuhi dengan seikhlas hati,” katanya.

Tidak akan tinggal bidang seni

Jelas Bienda lagi, setelah mempunyai anak selepas ini, bidang seni yang menjadi kerjayanya selama ini tidak akan ditinggalkan.

“Saya tidak akan meninggalkan bidang seni ini, ini adalah bidang yang paling saya suka, suami saya sendiri juga telah memberikan dorongan kepada saya untuk terus bergerak aktif dalam bidang ini.

“Saya juga turut merancang untuk membuat serta menerbitkan rancangan sendiri, ini adalah cita-cita saya sejak dulu lagi.

“Mungkin selepas ini saya akan lebih aktif berbanding sebelum ini, saya tidak akan meninggalkan bidang seni walaupun ada anak selepas ini,” ujarnya.

Terbaru, Bienda telah muncul sebagai pengacara di stesen televisyen terkenal TV9 dalam rancangan Sirah Ameerah.

Pelakon ini juga baru sahaja selesai sesi penggambaran drama bersiri 13 episod berjudul Sebelum Ku Jatuh Cinta bersama pelakon lain seperti Zed Zaidi dan Marsha.

Antara lakonannya sebelum ini hanya watak pembantu iaitu filem Empat Madu, drama Sebumbung dan Sumpah Bunian.

Tambah rezeki raya

Bagi Bienda yang juga pelakon dan pengacara, tahun ini merupakan tahun ketiganya bergelar peniaga tudung di bazar larut malam, Cheras.

Akibat dari sambutan hangat yang diterima pada tahun-tahun sebelum ini, Bienda memutuskan untuk meneruskan perniagaan tudung jenamanya sendiri itu meskipun kini sedang berbadan dua.

“Sepanjang puasa saya tidak banyak sangat kerja, jadi fokus saya hanya untuk perniagaan sahaja. Penat memang penat, tambahan sekarang kandungan saya mencecah tiga bulan, saya juga alami alahan, tetapi nasib baik suami banyak membantu,” katanya.

Jelasnya, tudung jualannya berharga daripada RM10 sehingga RM20 sahaja. Disebabkan itu tudung jualannya cukup laris terjual.

“Ada di antara tudung yang dijual merupakan tudung rekaan saya sendiri, jadi tidak sama dengan tudung yang dijual ditempat lain.

“Sebenarnya saya sangat suka berniaga kerana bukan sahaja dapat menambah pendapat tetapi saya puas apabila melihat orang menghargai barang yang kita jual, tahun hadapan juga saya akan meneruskan perniagaan ini.

Tambahnya lagi, dia begitu berpuas hati berniaga tudung di tempat terbuka seperti ini, bukan sekadar sambutan yang menggalakkan tetapi cukup gembira dapat berjumpa dengan peminat-peminatnya sendiri,” katanya.

“Bagi saya, berniaga di bazar seperti ini juga merupakan platform buat saya untuk bertemu peminat kerana hanya pada bulan Ramadan sahaja mereka dapat berjumpa saya dan artis lain dengan lebih dekat,” katanya yang teringin membuka empayar perniagaannya sendiri suatu hari nanti.

“Saya sangat seronok apabila dapat berjumpa dengan para peminat, mereka turut mengambil kesempatan membeli tudung sambil berjumpa dengan saya.

“Sekarang memang saya akui saya kurang menyanyi, jadi kesempatan seperti ini lah saya gunakan sebaik-baik mungkin untuk lebih rapat lagi dengan peminat saya,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: